PENGUNDI di Melaka telah menzahirkan pilihan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini. Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan yang besar. Ia memberi isyarat kerajaan Melaka adalah sebuah kerajaan yang stabil dan boleh... Klik di sini untuk terus membaca

PENGUNDI di Melaka telah menzahirkan pilihan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan yang besar.

Ia memberi isyarat kerajaan Melaka adalah sebuah kerajaan yang stabil dan boleh meminda Undang-Undang Tubuh Negeri kerana memiliki majoriti lebih dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebelum ini saya pernah mengusulkan kerajaan-kerajaan negeri agar meminda Undang-Undang Tubuh masing-masing dengan memasukkan klausa tentang penubuhan Mahkamah Syariah.

Halangan sebelum ini adalah kerajaan tidak mempunyai keupayaan meminda Undang-Undang Tubuh mereka kerana tidak memiliki majoriti dua pertiga sebagaimana syarat dalam undang-undang.

Dengan kemenangan besar BN, sudah tiada alasan bagi kerajaan negeri tidak meminda undang-undang berkenaan.

Memasukkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Negeri akan memberi kesan kepada taraf Mahkamah Syariah itu sendiri.

Ia disebabkan Mahkamah Sivil ditubuhkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, adalah wajar penubuhan Mahkamah Syariah diperuntukkan dalam undang-undang tertinggi negeri.

Dengan itu tidak akan ada lagi yang memperkecilkan Mahkamah Syariah kerana penubuhannya hanya terdapat dalam enakmen negeri, sedangkan penubuhan Mahkamah Sivil dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, ada dalam kalangan hakim juga berpandangan oleh sebab penubuhan Mahkamah Syariah hanya disebut dalam enakmen negeri, ia hanyalah sekadar setaraf dengan sebuah tribunal.

Kepincangan itu perlu diatasi dengan meminda Undang-Undang Tubuh negeri tersebut.

Melaka mesti memulakan usaha itu bagi menunjukkan kerajaan yang dipilih rakyat benar-benar merasai denyut nadi rakyat, khususnya orang Islam.

Setakat ini hanya Terengganu sahaja pernah meminda Undang-Undang Tubuh bagi memasukkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalamnya.

Negeri-negeri lain pernah berusaha berbuat demikian tetapi kekurangan majoriti menjadikan usaha itu terbengkalai.

Ada negeri yang telah mendapat perkenan sultan dan merangka draf pindaan tersebut, namun sehingga kini masih belum mendengar perkhabaran tentang pindaan berkenaan.

Jika kerajaan Melaka tidak meminda Undang-Undang Tubuh mereka, ia akan menzahirkan kurang cakna kerajaan Melaka dalam isu perundangan Islam walaupun kerajaan mereka adalah sebuah kerajaan yang kuat.

DIPERLEKEHKAN

Kita tidak mahu Mahkamah Syariah terus diperlekehkan mana-mana pihak, hanya disebabkan instrumen penubuhannya tidak setanding Mahkamah Sivil.

Kerajaan perlu mengambil pendirian - apa yang dinikmati Mahkamah Sivil perlu juga dinikmati Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah adalah sebuah mahkamah yang menjalankan keadilan kepada pihak-pihak yang hadir di hadapannya.

Tahniah BN kerana mendapat kemenangan besar, namun ketahuilah kemenangan tersebut adalah tanggungjawab besar yang digalas di pundak setiap wakil rakyat.

Ia bukan suatu kemuliaan yang mahu dibanggakan ke sana sini.

Apalah gunanya mempunyai majoriti besar tetapi tidak tahu menggunakan kelebihan tersebut bagi kepentingan agama.

Adakah kita harus menunggu lagi sehingga jatuhnya kerajaan Melayu/ Islam bagi memartabatkan perundangan dan Mahkamah Syariah dari aspek ini.

Sejak 2018 iaitu setelah penghakiman dalam kes Indira Ghandi, ramai menyuarakan kepentingan meminda Undang-Undang Tubuh, namun ia seperti mencurah air ke daun keladi kerana tidak diberi perhatian oleh mana-mana pihak berwajib termasuklah kerajaan yang dikuasai orang Melayu/Islam.

Ayuh Melaka! Tunjukkanlah kerajaan yang baru dipilih berbeza daripada yang dahulu.

Berilah penekanan kepada isu-isu perundangan Islam yang pada pandangan saya sudah agak lama dikesampingkan.

Pindaan itu jika dibuat Melaka, pasti akan diikuti negeri-negeri lain.

Dengan cara itu, hujahan tentang kedudukan Mahkamah Syariah yang rendah akan dapat diatasi dengan pindaan yang dicadangkan ini.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca