PADA 16 November lalu, negara telah menerima berita tragedi pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang. Ia bukan kes terpencil kerana sebelum ini turut berlaku... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 16 November lalu, negara telah menerima berita tragedi pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Ia bukan kes terpencil kerana sebelum ini turut berlaku tragedi aset TUDM terhempas ketika menjalankan operasi atau menjalani latihan.

Tragedi-tragedi itu telah menimbulkan persoalan mampukah aset-aset TUDM mempertahankan ruang udara negara? Sejauh mana kesedaran masyarakat tentang kuasa udara dan kepentingannya?

Kuasa udara adalah sebahagian pertahanan dan keselamatan negara.

Kuasa udara boleh didefinisikan sebagai kemampuan untuk menyerang dan mempertahankan menggunakan pesawat.

Ia juga membawa maksud kekuatan angkatan tentera udara sesebuah negara merangkumi penggunaan bersepadu pesawat dan aset pertahanan seperti peluru berpandu dalam operasi ketenteraan demi mencapai dasar sesebuah negara.

Terdapat beberapa ciri penting kuasa udara berbanding kuasa darat dan laut.

Pertama, kepantasan - kuasa udara mempunyai kelebihan berbanding darat dan laut.

Pesawat khasnya pesawat pejuang boleh bergerak dan sampai ke destinasi dalam masa singkat.

Aspek itu amat penting terutama ketika berdepan konflik. Operasi udara moden juga sangat fleksibel dan boleh ditukar antara serangan, pertahanan dan sokongan bergantung kepada keperluan semasa.

Kedua, ketinggian - pesawat boleh terbang tinggi, maka ia lebih terlindung dan sukar ditembak oleh musuh berbanding aset-aset laut dan darat.

Pesawat jenis Stealth direka cipta khas untuk mengelak daripada dikesan radar dan gelombang radio.

Ketiga, kawasan liputan lebih luas kerana pesawat boleh terbang ke destinasi jauh dari pangkalan udara. Misalnya, ketika Operasi NATO di Kosovo pada 1999, pesawat jenis Tornado milik Tentera Udara Diraja Britain yang berpangkalan di Jerman telah melancarkan serangan di Kosovo.

Misi itu telah disokong dengan kemampuan mengisi minyak di udara atau air refuelling.

Ketika peperangan, kuasa udara boleh digunakan untuk operasi serangan dan pertahanan.

Serangan udara atau Offensive Counter Air (OCA) merupakan serangan udara ke atas kedudukan musuh dengan tujuan untuk melemahkan kemampuan ketenteraan, ekonomi dan semangat mereka.

Defensive Counter Air (DCA) pula adalah penggunaan tentera udara untuk mempertahankan sempadan dan kawasan-kawasan strategik daripada dicerobohi musuh.

KESELAMATAN RUANG UDARA

Kuasa udara bukan terhad untuk operasi ketika peperangan tetapi pada waktu damai.

Misalnya, untuk operasi tinjauan atau reconnaissance memerlukan penerbangan yang tinggi bagi memperoleh informasi dan gambaran mengenai lokasi yang jelas.

Selain itu, pesawat pengangkut boleh digunakan untuk membawa bekalan ketika kecemasan di lokasi yang jauh dan bahaya.

Kuasa udara juga memainkan peranan penting dalam operasi penyelamat.

Di Malaysia, ketika operasi menentang pengganas komunis, askar-askar yang tercedera di hutan diangkut oleh helikopter jenis S-61A-4 Nuri ke pangkalan untuk mendapatkan rawatan segera.

Kuasa udara digunakan operasi pencarian, misalnya ketika operasi mencari pesawat MH370 yang hilang.

Malaysia tidak bebas daripada pencerobohan negara-negara jiran.

Misalnya, pada 31 Mei lalu, pesawat tentera jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 milik Tentera Udara Pembebasan Rakyat China atau People’s Liberation Army Air Force (PLAAF) dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu, Sabah.

Pergerakan pesawat PLAAF yang semakin menghampiri ruang udara telah dikesan melalui kawalan darat TUDM yang telah meminta untuk mengenal pasti identiti dan niat mereka.

Namun, pesawat PLAAF tidak memberi apa-apa reaksi sehingga TUDM telah menghantar pesawat pejuang jenis Hawk 208 yang merupakan Light Combat Aircraft (LCA) bagi memintas pesawat pengangkut PLAAF.

Pesawat pejuang jenis Hawk 208 adalah jenis sama dengan pesawat pejuang yang terhempas baru-baru ini di Butterworth dan Terengganu pada 2017.

Pesawat pejuang jenis Hawk 208 kini sudah berusia 25 tahun dan harus diganti sejajar dengan apa yang telah dicadangkan dalam Kertas Putih Pertahanan 2019 agar TUDM dilengkapi dengan Medium Range Air Defence (MERAD) dan lebih radar pertahanan.

Pada masa sama, negara sedang menghadapi kegawatan ekonomi akibat pandemik yang menyukarkan pembelian aset pertahanan baharu.

Namun, ia tidak bermakna kepentingan mempertahankan ruang udara dan keselamatan anggota TUDM boleh diabaikan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca