PROTES secara aman yang bermula pada Rabu lalu bertukar ganas selama tiga hari berturut-turut di bandar Honiara. Ia bagaimanapun berjaya dikawal oleh kerajaan Kepulauan Solomon di Timur Papua New Guinea dengan penglibatan tentera dari... Klik di sini untuk terus membaca

PROTES secara aman yang bermula pada Rabu lalu bertukar ganas selama tiga hari berturut-turut di bandar Honiara.

Ia bagaimanapun berjaya dikawal oleh kerajaan Kepulauan Solomon di Timur Papua New Guinea dengan penglibatan tentera dari Australia.

Dalam kejadian itu, para perusuh bertindak membakar bangunan-bangunan kerajaan selepas cuba untuk menyerbu bangunan Parlimen di bawah rancangan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Manasseh Sogavare.

Manasseh Sogavare

Premis perniagaan di bandar Chinatown di ibu negara turut menjadi sasaran kumpulan protes yang melanggar perintah lockdown dilaksanakan oleh pemerintah bertujuan untuk mengekang rusuhan tersebut.

Rusuhan itu disertai oleh golongan muda yang menganggur di tengah-tengah perbalahan berhubung sama ada Kepulauan Solomon sepatutnya menjalin hubungan erat dengan China berbanding Taiwan sebelum ini.

Media tempatan melaporkan kebanyakan penunjuk perasaan sanggup melakukan perjalanan dari Pulau Malaita ke Honiara semata-mata untuk menyertai demonstrasi membantah kekurangan pelaburan kerajaan pusat dan keputusan untuk meminggirkan Taiwan sebagai sekutu negara Pasifik tersebut.

Kepulauan itu yang mempunyai sebilangan kecil komuniti Cina merupakan tempat berkembangnya pengaruh China dan Taiwan.

Sejak sekian lama, Kepulauan Solomon telah mengiktiraf Taiwan sebagai sekutunya tetapi keadaan mula berubah sejak Sogavare menjadi Perdana Menteri pada 2019 apabila beliau memutuskan hubungan dengan Taipei dan menjalin hubungan dengan Beijing.

China pula dilaporkan membawa pelaburan besar kepada Solomon tetapi tindakan itu tidak menjadikan pentadbiran Sogavare popular kerana penduduk Pulau Malaita di kepulauan tersebut telah mendapat manfaat menerusi projek-projek dari Taiwan.

Rusuhan yang mengakibatkan beberapa kematian itu didakwa mirip dengan insiden protes yang berlaku pada April 2006 selepas Snyder Rini dilantik sebagai Perdana Menteri.

Anggota keselamatan Australia membantu menjaga ketenteraman di Honaira. - AFP

Rusuhan tersebut tercetus apabila perniagaan milik etnik Cina menjadi sasaran penunjuk perasaan kerana Taiwan didakwa menyalurkan bantuan kewangan kepada Rini bagi merealisasikan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri.

TOKOH PERNIAGAAN

Pada masa tersebut, penduduk tempatan juga tidak berpuas hati dengan tokoh perniagaan asing yang kebanyakannya terdiri daripada etnik Cina berasal dari Taiwan, China, Malaysia dan Filipina selain berang dengan isu rasuah, ketidaksamaan dan eksploitasi sumber di negara tersebut.

Berikutan itu, China terpaksa menyewa pesawat bagi memindahkan penduduknya dari Solomon manakala Australia dan New Zealand menghantar pasukan pengaman untuk membantu memulihkan semula ketenteraman di negara kepulauan tersebut.

Insiden rusuhan terbaharu ini menyaksikan rumah Perdana Menteri Solomon nyaris dibakar, namun dapat dikawal apabila kira-kira 100 anggota polis dan tentera Australia bersama 34 anggota keselamatan Papua New Guinea membantu pasukan keselamatan tempatan bagi mengawal situasi tersebut.

Sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison pernah memaklumkan pasukan keselamatan dari Canberra akan dihantar ke Solomon atas permintaan negara kepulauan tersebut.

Scott Morrison

Menteri Utama Pulau Malaita, Daniel Suidani yang merupakan pengkritik pengiktirafan Solomon ke atas Beijing dilaporkan terus mengekalkan hubungan dengan Taiwan sekali gus mengingkari arahan kerajaan pusat.

Daniel Suidani

Pada awal tahun lalu, Suidani dilaporkan dirawat di sebuah hospital di Taiwan.

Data Bank Dunia menunjukkan China merupakan rakan perdagangan terbesar Solomon ketika ini dengan kebanyakan import datang dari Australia, Singapura dan New Zealand.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk setiap penduduk di negara kepulauan itu telah meningkat daripada AS$780 (RM3,306) pada 2003 kepada AS$2,258 (RM9,571) pada 2020 yang disebabkan oleh eksport kayu ke China.

Rusuhan itu juga berlaku selepas hampir dua tahun pelbagai sekatan dilaksanakan untuk memerangi Covid-19.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Palang Merah St John, Douglas Kelson berkata, kebanyakan penduduk kelaparan kerana mereka hanya makan sekali sehari berikutan sektor ekonomi dan pelancongan yang terjejas teruk hingga memberi kesan kepada sumber pendapatan rakyat.

Susulan rusuhan tersebut, China turut mengutuk kejadian itu dan menegaskan bahawa ia akan memastikan keselamatan rakyat mereka dan kepentingannya di Solomon terpelihara setelah berlaku protes menentang pemimpin pro-Beijing.

Sudah terbukti, pengaruh China dan Taiwan dari segi ekonomi di Solomon sedikit sebanyak menjadi punca krisis terbaharu di negara kepulauan tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca