PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melancarkan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia hari ini. Di bawah tadbir urus Menteri di Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, beberapa pelan telah dihasilkan... Klik di sini untuk terus membaca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melancarkan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia hari ini.

Di bawah tadbir urus Menteri di Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, beberapa pelan telah dihasilkan selari dengan pelancaran Dasar Perpaduan Negara 2021-2030.

KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia juga salah satu daripadanya.

Perancangan Halimah jelas untuk memastikan kesemuanya saling lengkap melengkapi dan bersifat resiprokal khususnya bagi membawa konsep Keluarga Malaysia seiring usaha ‘merakyatkan perpaduan’.

Empat rukun menjadi teras Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia iaitu (Karib, Aksesibiliti, Majmuk dan Inklusiviti) yang diikat sebagai KAMI.

Keluarga Malaysia hadir ketika kita sedang berdepan krisis nasional kesihatan dan keselamatan yang turut menjejaskan keadaan ekonomi tanah air.

Upah atau nyawa menjadi pertarungan tatkala kedudukan politik juga tidak menentu.

Hatta untuk membina Malaysia yang didominasi sifat ‘kepunyaan’ dan ‘perkongsian’, selain mengukuhkan jambatan kepelbagaian serta merobohkan dinding penghalang, Keluarga Malaysia memacu nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Prinsip ‘kerajaan untuk semua’ dan ‘satu negara, satu matlamat’ menjadi aspirasinya.

Ia penting untuk menunjukkan walaupun berbeza agama, etnik, ritual, gender dan fahaman politik sekalipun, semuanya bersama dalam kelangsungan membina satu keluarga yang rencam, pelbagai, majmuk serta aneka ragam dengan memastikan ke-sejahteraan, kemakmuran dan kestabilan menjadi agenda rakyat.

Rukun ‘Karib’ (keakraban) yang dibina termasuk daripada keluarga yang menjadi telapak penting mencorakkan nilai di sebalik ‘manusia dilahirkan untuk saling kenal-mengenali’, sebagaimana peranan pendidikan yang dianggap signifikan dalam proses sosialisasi seseorang individu.

Begitu juga fungsi rakan sebaya, antara ejen berpengaruh dalam mencari keyakinan di sebalik persoalan perpaduan.

Media massa juga mempunyai sumbangan besar bagi membina keserasian masyarakat. Empat indikator itu memberi suluhan kepada proses sosialisasi yang dilalui masyarakat.

Rukun ‘Aksesibiliti’ berbentuk formal dan tidak formal. Ia termasuk yang ada nilai fizikal dan bukan fizikal.

Beberapa indikatornya adalah maklumat, kemudahan, perkhidmatan dan ruang. Akses maklumat penting untuk mengelak daripada pertelingkahan yang berlawanan dengan perpaduan.

Sikap dan kesedaran palsu boleh dihentikan jika maklumatnya jelas serta tidak berpihak.

Begitu juga kemudahan dan perkhidmatan yang penting untuk mobiliti sosial sebagaimana ruang terbuka, menyeluruh dan mesra kepada semua.

Rukun ‘Majmuk’ pula menerokai nilai amalan yang difahami, diterap dan dijadikan amalan termasuk mengutamakan nilai faham, hormat serta terima.

Maka, empat indikator di bawah rukun tersebut adalah bahasa sebagai alat perpaduan, jati diri patriotisme, kepercayaan dan agama.

Kesemuanya bertujuan untuk diikat dengan pemahaman ke atas ‘silang budaya’ yang dapat menjernihkan kecairan perpaduan di Malaysia.

Rukun ‘Inklusiviti’ pula adalah maklum balas ke atas pilihan yang ada dan dilakukan rakyat, peluang untuk libat serta, interaksi yang mengukuhkan skil komunikasi tanpa ada perasaan ragu-ragu dan sikap yang boleh memberikan gambaran ke atas keupayaan meraikan ke-pelbagaian di negara ini.

KAMI bersifat menyeluruh dan menggunakan pendekatan pelbagai dengan memastikan tidak ada kumpulan etnik, gender, umur, kelas dan persempadanan negeri tercicir.

Pelan berkenaan mempunyai perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang dengan menentukan sasaran, selain penetapan agensi peneraju serta pelaksana.

Sama-samalah kita raikan pelan tersebut di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca