SHAH ALAM - Kos bagi bakal jemaah haji yang menggunakan khidmat syarikat pelancongan tempatan berlesen daripada Tabung Haji (TH) dijangka meningkat lebih 15 peratus tahun depan. Pengerusi Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd (Andalusia), Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kos bagi bakal jemaah haji yang menggunakan khidmat syarikat pelancongan tempatan berlesen daripada Tabung Haji (TH) dijangka meningkat lebih 15 peratus tahun depan.

Pengerusi Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd (Andalusia), Datuk Md Daud Che Ngah berkata, secara anggarannya setiap bakal jemaah haji mungkin perlu menambah sekurang-kurangnya RM6,000 daripada kadar pakej terdahulu.

MD DAUD

Menurutnya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana pelbagai faktor termasuk kenaikan cukai nilai tambah (VAT) dan perubahan prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi ketika pandemik Covid-19 .

"Jika kadar haji ditetapkan RM30,000, ia tambahan sehingga RM7,000 daripada tahun lalu yang perlu dibayar oleh jemaah swasta dan tidak termasuk kos dalam pakej yang kami tawarkan.

"Buat masa ini, kami tidak dapat memberikan jumlah kenaikan pakej akan datang kerana bergantung kepada harga yang diletakkan oleh TH namun menjangka kenaikan lebih 15 peratus berbanding dua tahun lalu.

"Ia membabitkan harga perkhidmatan seperti bas selain SOP hotel yang memerlukan satu bilik untuk dua orang. Selain itu, pakej kami juga meliputi lawatan dalaman kepada jemaah. Jadi, kami tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga,” katanya.

Pada Sabtu, kerajaan menjangkakan kos untuk menunaikan ibadah haji bagi jemaah dari negara ini meningkat lebih RM30,000 seorang tahun depan berbanding RM23,000 ketika ini. Menurutnya, jika dua tahun lalu, jemaah haji yang memilih pakej swasta paling rendah perlu membayar sekitar RM34,000 termasuk dengan kadar kos haji pada ketika itu iaitu RM22,900.

"Jadi, jika kos naik kepada RM30,000, maka seorang bakal jemaah haji mungkin perlu membayar sekurang-kurangnya RM40,000,” katanya.

Justeru, beliau merayu kepada kerajaan untuk turut mempertimbangkan subsidi kepada bakal jemaah swasta supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung.

"Kami tidak tahu jumlah kenaikan dan bantuan yang akan diberikan kerajaan kepada jemaah haji muassasah. Namun, dua tahun lalu jemaah haji ini diberi subsidi sehingga 56 peratus dan hanya perlu membayar RM9,980 daripada RM22,900.

"Jika pergi melalui pakej swasta, mereka perlu bayar penuh RM22,900 kepada TH dan kemudian bayaran pakej wang tambahan yang menjadi keistimewaan kepada mereka yang pergi dengan pakej itu.

"Kenapa ada perbezaan subsidi di antara jemaah muassasah dan jemaah yang pergi dengan pakej swasta? Jadi tidak wujud keadilan sosial dalam Islam. Kami merayu supaya subsidi turut diberikan kepada jemaah haji swasta,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca