SHAH ALAM - Kadar pengangguran negara menyaksikan penurunan kepada 4.6 peratus sejak Ogos lalu, susulan lebih banyak aktiviti ekonomi mula dibenarkan beroperasi.
Pemulihan kadar pengangguran tersebut dilihat sebagai salah satu petunjuk positif kepada KPI 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengetuai Putrajaya sejak 21 Ogos lalu.
Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, kelonggaran sekatan menyebabkan pelbagai sektor kembali bernyawa terutamanya melibatkan negeri dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara.
"Antara petunjuk penting yang berkait rapat dengan kelonggaran PKP adalah kadar pengangguran. Contohnya, kadar pengangguran mula mengalami penurunan sekitar bulan Ogos iaitu 4.6 peratus dan sekarang ini dalam 4.5 peratus.
"Kadar pertukaran wang asing juga menampakkan sedikit pemulihan iaitu AS$1 bersamaan dalam RM4.20, namun ia juga berkait rapat dengan banyak faktor luaran jadi agak sukar sekiranya kita ingin menjadikannya sebagai asas,” katanya.
Ahmad Azrin menambah, perbelanjaan sektor swasta juga meningkat terutamanya melibatkan sektor ekonomi.
"Apabila banyak negeri sudah beralih kepada fasa keempat, kita boleh nampak pemulihan itu berlaku. Perbelanjaan sektor swasta juga meningkat terutama sektor pelancongan.
"Dari sektor pelancongan domestik, semua negeri di fasa keempat menunjukkan pemulihan yang sangat ketara dan ia akan memberi kesan kepada sektor-sektor lain seperti sektor makanan,” katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, pemulihan negara tidak dapat dilihat dengan kadar segera kerana memakan masa yang lama khususnya seperti keinginan kerajaan yang ingin membasmi kemiskinan negara.
"Kerajaan ingin membasmi insiden kemiskinan di mana pada tahun 2025, purata pendapatan isi rumah adalah RM10,000. Realitinya, perkara ini sukar untuk dicapai kerana banyak lagi yang kita tidak dapat betul-betul faham seperti insiden kemiskinan bandar.
"Lebih-lebih apabila ada setengah kelompok yang sepatutnya dikategorikan orang miskin tetapi isytiharkan diri dengan data tidak tepat untuk membolehkan mereka berada dalam kelompok miskin,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca