SHAH ALAM - Had kemampuan bagi umat Islam untuk menunaikan ibadah haji telah berubah berikutan kos bagi menunaikan rukun Islam kelima itu meningkat disebabkan pandemik Covid-19 dan cukai nilai tambah (VAT) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, disebabkan situasi itu, bilangan umat Islam yang dapat menunaikan haji akan berkurangan sebagaimana tahun 50an dahulu.
"Maknanya, hanya mereka yang benar-benar berkemampuan sahaja dapat menunaikan haji.
"Orang kampung yang pendapatan rendah terpaksa berjimat cermat dengan mengumpulkan pendapatan di mana lebihan wang keperluan harian akan disimpan sedikit demi sedikit sampailah mungkin 10 tahun atau lebih, baru mereka mampu menunaikan haji,” ujarnya.
Kata Wan Salim, ALLAH SWT mewajibkan haji ke atas orang yang beriman dan berkemampuan.
"Mampu pula diukur dari segi perbelanjaan, kesihatan, keselamatan perjalanan pergi balik dan semasa berada di sana,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kos haji yang dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, VAT itu meningkat kepada 15 peratus berbanding lima peratus sebelum ini menyebabkan jangkaan peningkatan kos haji sebanyak lebih 50 peratus.
Wan Salim dalam pada itu berkata, peningkatan kos tersebut adalah disebabkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang perlu dipatuhi oleh semua bakal jemaah.
"Kerajaan Arab Saudi terpaksa menaikkan harga kerana ada keperluan suntikan tertentu dan perbelanjaan dari segi tempat tinggal. Kalau dulu, satu bilik boleh muatkan lima ke enam orang, sekarang mungkin dua orang sahaja. Jadi kos tersebut lebihlah.
"Saya nasihatkan individu yang pernah mengerjakan haji tidak perlu pergi, manakala mereka yang belum pergi pula kena sabarlah. Maknanya kalau belanja tidak mencukupi, tidak perlu pergi. Pahala haji tetap dapat sebab dia berniat untuk menunaikan rukun Islam yang kelima tetapi tidak termampu, jadi pahala Insya-ALLAH dapat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca