DI saat seluruh negara sedang memperkatakan tentang kenaikan harga sayur-sayuran, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tampil dengan jaminan bahawa harga jualan produk sayuran mereka kekal pada harga rendah dan berpatutan. Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

DI saat seluruh negara sedang memperkatakan tentang kenaikan harga sayur-sayuran, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tampil dengan jaminan bahawa harga jualan produk sayuran mereka kekal pada harga rendah dan berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dalam satu kenyataan berkata, PKPS melancarkan kempen jualan mega jimat untuk memastikan rakyat Selangor terus mendapat akses kepada sayur-sayuran berkualiti pada harga rendah.

"Sebagai contoh, sayur pak choy yang dijual pada harga RM9 sekilogram (kg) di pasaran, kami jual hanya pada harga RM3.50 per kg manakala kacang buncis yang dijual pada harga RM15 sekilo di pasaran, kami jual pada harga RM6 sekilo,” katanya.

Jelas sekali, PKPS mempunyai mekanisme kawalan harga tersendiri memandangkan ladang mereka iaitu Selangor Fruit Valley di Bestari Jaya turut mengeluarkan hasil sayur-sayuran sendiri.

Senarai sayuran yang dihasilkan oleh PKPS antara lain ialah sawi hijau, brokoli, cili merah, cili hijau, kangkung, bayam merah, terung dan timun.

Apa yang menarik ialah PKPS turut menggunakan kelebihan laman media sosial untuk memasarkan produk mereka dan berkongsikan lokasi serta kaedah jualan.

Mereka memanfaatkan laman Facebook dan Instagram PKPS.

Pendek kata, PKPS sebagai peneraju Inisiatif Jaminan Bekalan Negeri, telah berjaya membawa aspirasi kerajaan negeri untuk kemandirian hidup tatkala krisis dan akhirnya yang mendapat faedah secara langsung ialah warga Selangor itu sendiri.

Untuk itu kita wajar mengucapkan syabas dan tahniah kepada negeri Selangor dan agensi-agensi sokongan di bawahnya.

Dalam keadaan keperluan mendesak seperti inilah peranan PKPS amat penting dan menyerlah malah amat-amat diperlukan.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga melancarkan kempen jualan mega jimat sebagai sebahagian daripada promosi memperkenalkan jenama komersil PKPS iaitu ‘Ehsan kepada orang ramai’.

Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan akan turut mengadakan sesi jualan sayuran murah menerusi aplikasi dalam talian ‘mypasarborong’ dalam masa terdekat sebagai alternatif kepada pembeli yang mahu kemudahan penghantaran ke rumah.

Sebarang maklumat lanjut mengenai jualan sayuran murah ini boleh hubungi talian 019-316 2400 pada waktu pejabat.

Hebat tidak hebat hinggakan CEO PKPS sanggup beri jaminan: "Jangan risau, Insya-ALLAH, PKPS ada. Mungkin negeri lain boleh belajar sesuatu daripada PKPS."

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca