SEKURITI makanan adalah isu asas yang penting dalam kehidupan manusia. Ia merujuk kepada kewujudan bekalan makanan dan kemampuan untuk memperolehnya. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), sekuriti makanan... Klik di sini untuk terus membaca

SEKURITI makanan adalah isu asas yang penting dalam kehidupan manusia. Ia merujuk kepada kewujudan bekalan makanan dan kemampuan untuk memperolehnya.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), sekuriti makanan wujud apabila semua manusia pada bila-bila masa memperoleh makanan berkhasiat secara mencukupi. Kesan buruk ketiadaan sekuriti makanan adalah masalah kebuluran, kelaparan dan malnutrisi.

Mengikut FAO, terdapat empat komponen utama dalam sekuriti makanan iaitu ketersediaan makanan – ketersediaan kuantiti makanan yang mencukupi dan berkualiti yang dibekalkan melalui pengeluaran domestik atau import.

Kedua, akses makanan – akses kepada sumber makanan mencukupi oleh individu. Ketiga, penggunaan ke atas makanan yang lengkap berterusan, air bersih dan semua keperluan makanan dapat diperoleh.

Keempat ialah kestabilan – untuk memastikan sekuriti makanan, individu atau isi rumah mesti mempunyai akses makanan sepanjang masa.

Sekuriti makanan berkait rapat dengan iklim dan cuaca, khususnya fenomena pemanasan global serta perubahan iklim.

Laporan Kumpulan Kerja Pertama Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) 2021 menjangkakan suhu permukaan bumi bakal meningkat dari 1.1 hingga 6.4 darjah Celsius menjelang 2100.

Natijahnya, perubahan iklim bukan sahaja memberi impak kepada sistem semula jadi, malah kehidupan manusia seperti pengeluaran makanan dan rantaian pasaran komoditi dengan implikasinya terhadap ketersediaan makanan serta keupayaan untuk diakses oleh masyarakat.

Rentetan itu, perbincangan di peringkat global memberi fokus kepada kemusnahan terhadap jaminan makanan dunia terutama dengan pengurangan pengeluaran makanan dan keberhasilan sektor agrikultur dan perikanan.

Adakah dan bagaimanakah isu perubahan iklim mempengaruhi sekuriti makanan?

Umumnya, perubahan iklim mempunyai kesan kemusnahan besar kepada sektor pertanian. Sejarah pasaran beras dunia bagi tempoh empat dekad lalu menunjukkan krisis harga sering berlaku apabila penawaran terganggu dengan kebanyakannya disebabkan perubahan cuaca dan bencana alam.

Cuaca juga antara faktor menyebabkan krisis makanan dunia pada 2008 apabila perubahan cuaca menjejaskan pengeluaran bijirin di Eropah Utara, Rusia, Australia dan Afrika Barat.

SEKURITI MAKANAN

Rekod menunjukkan sekuriti makanan negara terjejas berikutan Malaysia mengalami pertambahan purata hujan tahunan setiap dekad berdasarkan rekod hujan tahunan selama 40 tahun iaitu dari 1978 hingga 2017.

Tanaman padi adalah antara paling berpotensi terkesan disebabkan perubahan iklim, sekali gus mengancam sekuriti bekalan beras negara.

Fenomena iklim meningkatkan risiko dan kejadian bencana seperti banjir, kemarau berpanjangan, anjakan musim hujan serta kenaikan aras air laut sehingga mempengaruhi ketersediaan air yang diperlukan untuk tanaman padi.

Kesan perubahan iklim terhadap tanaman itu semakin ketara kebelakangan ini apabila dalam tempoh lima tahun dari 2017 hingga 2021, sebanyak 40,828.28 hektar tanaman padi di Semenanjung Malaysia musnah akibat banjir, manakala 9,336.45 hektar pula terjejas oleh kemarau.

Bagi mengatasi masalah perubahan cuaca, rangka pelan jangka panjang dan jangka pendek diperlukan untuk memastikan sektor pertanian terus berdaya saing dan mampan dalam membekalkan makanan yang mencukupi kepada rakyat.

Antara solusinya adalah membuat kajian berterusan dalam menghasilkan benih atau varieti tahan lasak terhadap aspek perubahan iklim kesan daripada fenomena pemanasan global seperti penghasilan benih padi IS21 yang berdaya tahan tinggi terhadap cuaca tidak menentu dan mempunyai rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering merugikan pesawah.

Hasil tuaian varieti itu juga meningkat sebanyak 40 hingga 67 peratus bergantung kepada kawasan tanaman dan budaya serta amalan petani.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca