SHAH ALAM - Pakar berpendapat Tabung Haji (TH) mempunyai tiga opsyen bagi membolehkan mereka membantu jemaah haji negara ini yang ingin menunaikan rukun Islam yang kelima. Pakar ekonomi dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar berpendapat Tabung Haji (TH) mempunyai tiga opsyen bagi membolehkan mereka membantu jemaah haji negara ini yang ingin menunaikan rukun Islam yang kelima.

Pakar ekonomi dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, opsyen pertama TH akan membiayai sepenuhnya dan mengekalkan harga asal yang perlu dibayar oleh pendeposit.

Opsyen kedua pula katanya, melibatkan pembiayaan seperti biasa, namun disebabkan peningkatan kos lebih tinggi berbanding sebelum ini, ada kemungkinan bayaran yang dikenakan ke atas jemaah akan meningkat.

"Mungkin berlaku peningkatan dalam dua peratus, maknanya pendeposit kena bayar lebih sedikit berbanding sebelum ini.

"Opsyen terakhir, TH tidak akan biayai kos peningkatan ini, tetapi saya yakin ia tidak akan menjadi pilihan mereka terutamanya mengambil kira sentimen pilihan raya yang akan datang.

"Saya menjangkakan TH akan melaksanakan opsyen kedua. Bagaimanapun, ada kemungkinan mereka akan mengekalkan harga asal dan ini bermakna TH perlu berkorban dari segi kewangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kos haji dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini susulan peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Ahmad Azrin berkata, peningkatan kos haji sebenarnya bukan isu baharu dan keuntungan yang diperoleh oleh TH itu nanti akan digunakan untuk mengurangkan beban jemaah dengan mengekalkan harga asal.

Tambahnya, bayaran yang perlu ditanggung oleh jemaah haji ketika ini hanyalah RM9,980 sedangkan kos keseluruhan adalah antara RM23,000 hingga RM25,000.

"Ini bermakna, lebih RM13,000 perbelanjaan ditanggung oleh TH menerusi subsidi yang diberikan dan saya melihat situasi sama juga akan berlaku kali ini.

"TH bertanggungjawab memudahkan pelaksanaan urusan rukun Islam kelima bagi semua umat Islam di negara ini termasuklah memastikan jemaah dapat menunaikan haji dengan kos paling minimum.

"Saya percaya ada usaha untuk mereka membiayai jemaah haji berikutan prestasi mereka yang bertambah baik didorong oleh faktor pelaburan TH yang mula mencatatkan keuntungan dan tadbir urus yang baik,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca