SHAH ALAM - Usaha untuk meneruskan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bersama Singapura ketika ini dilihat bukan masa yang sesuai memandangkan negara masih dalam tempoh pemulihan pandemik Covid-19.
Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, kewangan negara ketika ini perlu difokuskan kepada keutamaan perbelanjaan yang sepatutnya iaitu menyediakan dan melebarkan bantuan kepada rumah tangga serta perniagaan kecil yang terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Dalam keadaan kewangan kerajaan sekarang dan keutamaan perbelanjaan yang sepatutnya, saya tidak bersetuju sekiranya kerajaan ingin meneruskan juga projek ini.
"Keseluruhan pembiayaan projek ini akan dipinjam dan pembayaran balik berpuluh tahun akan datang melalui peruntukan belanjawan kerajaan yang sudah pun berkeadaan tenat.
"Projek tidak kritikal dan boleh ditangguh, sebaliknya keutamaan diberikan kepada pemulihan negara. Kita masih tidak pasti selama mana Covid-19 mengekang pemulihan ekonomi negara atau dunia,” katanya kepada Sinar Harian. Pada Isnin, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, Singapura terbuka menerima cadangan baharu mengenai projek HSR walaupun kedua-dua negara sebelum ini mencapai persetujuan untuk menamatkan projek tersebut.
Mengulas waktu sesuai meneruskan projek itu, Nungsari berkata, ia boleh dilakukan apabila kedudukan kewangan negara bertambah baik selain masalah Covid-19 hampir selesai.
Katanya, rangkaian rel kargo menghubungkan Padang Besar, Butterworth, Port Klang dan Tanjung Pelepas menjadi keutamaan dan lebih penting dilaksanakan berbanding HSR.
Jelas beliau, ia berpotensi dan mendatangkan kesan kepada ekonomi yang lebih meluas.
"HSR hanya berdaya maju jika ia menyambungkan Singapura dengan Kuala Lumpur. Saya juga pasti Singapura mendapat manfaat yang lebih pada peringkat awal kerana mereka adalah hab pengangkutan utama dunia,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca