SHAH ALAM - Ilmuan terkenal negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berpendapat sistem pendidikan kebangsaan negara mempunyai dua matlamat iaitu pertamanya untuk memandaikan anak bangsa dan kedua, menyatukan anak bangsa.
Menurut Kok Seong, untuk matlamat pertama iaitu memandaikan anak bangsa, beliau melihat ia tidak mempunyai apa-apa masalah besar dan berada di landasan yang betul walaupun berkemungkinan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama akan dipertikaikan.
"Bagi saya, bahasa Melayu memang ada kemampuan untuk memandaikan anak bangsa. Hanya kita atau sesetengah daripada rakyat tidak yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu untuk memandaikan anak bangsa.
"Matlamat kedua iaitu sistem pendidikan kita untuk menyatupadukan anak bangsa, yang ini ada masalah besar. Buktinya polarisasi kaum dan ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun.
"Ia telah wujud iaitu anak-anak bangsa kita tidak bergaul pada kadar yang sepatutnya atau pergaulan itu tidak ada langsung,” katanya kepada Sinar Harian mengulas mengenai cadangan untuk masa depan sistem pendidikan negara yang lebih baik.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak bersama 54 orang lagi tokoh masyarakat, bekas pemimpin dan tokoh korporat bergabung tenaga membentuk apa yang dinamakan Better Malaysia Assembly atau Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik untuk berbincang, berbahas dan mengemukakan idea-idea dan syor ke arah Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.
Kumpulan tersebut yang bakal berkolaboratif secara musyawarah selama dua tahun akan membentangkan syor atau cadangan tentang bagaimana demokrasi, institusi dan ekonomi negara kita harus berfungsi dengan lebih baik serta berkesan.
Keutamaan
Mengulas lanjut, Kok Seong yang juga merupakan Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, apa yang boleh dilakukan oleh kumpulan ini mengenai sistem pendidikan ialah tentang tujuan kedua terbabit iaitu masalah dalam menyatupadukan anak bangsa.
"Bagi saya itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan untuk kelompok 55 orang ini (tentang) sistem pendidikan negara kita,” ujarnya.
Menurut Kok Seong, tidak dapat dinafikan bahawa sistem pendidikan negara ini khususnya di peringkat sekolah rendah menggalakkan pengasingan etnik berlaku pada usia yang cukup muda.
"Sewaktu tadika lagi anak-anak kita dipisah-pisahkan. Yang Melayu dengan tadika Melayu-Islam dan begitu juga lain-lain. Seterusnya, di sekolah rendah pun berpecah-pecah. Yang sekolah vernakular, sekolah kebangsaan dan yang Melayu ada yang ke sekolah agama.
"Pada usia yang begitu muda iaitu ‘usia rebung’ itu sepatutnya kita menyatupadukan mereka, tetapi sebaliknya kita memecahbelahkan mereka melalui sistem terbabit.
"Jadi, perlu sangatlah sistem itu diperbaiki supaya ada usaha penyatupaduan di situ, bukan usaha pemecahan pada usia begitu muda,” tegas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca