SHAH ALAM - Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu mengenepikan sengketa peribadi dan mengambil pendekatan pragmatik untuk bekerjasama dengan parti-parti lain dalam blok pembangkang bagi membentuk khemah besar blok itu dalam menghadapi Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu mengenepikan sengketa peribadi dan mengambil pendekatan pragmatik untuk bekerjasama dengan parti-parti lain dalam blok pembangkang bagi membentuk khemah besar blok itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam kenyataan bersama enam Ketua Pemuda kawasan Parti Amanah Negara (Amanah), kumpulan itu menggesa kepimpinan PH berjiwa besar untuk bekerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Negara (Warisan) dan parti-parti lain yang sehaluan bagi mengelakkan kegagalan blok pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berulang.

Jelas mereka, faktor kadar peningkatan peratusan besar pengundi Melayu yang lebih memilih Perikatan Nasional (PN) dan bukan PH sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN) untuk sebilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU Melaka adalah isyarat membimbangkan.

"Sebagai pimpinan muda Amanah, kami dengan sepenuh hati berpendirian bahawa episod kegagalan dalam PRN Melaka yang terkini mesti menjadi pengajaran yang dapat dipelajari oleh semua pemimpin PH.

"Peningkatan peratusan besar pengundi Melayu juga memilih PN dan bukan PH sebagai alternatif kepada BN untuk sebilangan kerusi.

Peluang PH untuk mengembalikan magis PRU14 pada PRU15 agak berliku susulan terdapat kemungkinan peratusan pengundi Melayu dan bukan Melayu, terutama etnik Cina untuk tidak lagi mengundi pakatan itu semakin meningkat.

"Pemimpin PH digesa untuk berjiwa besar dan mengetepikan sengketa peribadi. Pendekatan pragmatik perlu diambil segera untuk bekerja bersama Pejuang, Muda, Warisan dan parti-parti lain yang sehaluan untuk mendirikan khemah besar gabungan pembangkang bagi mengelakkan kegagalan sama berulang kembali pada PRU15," kata mereka kepada media pada Selasa.

Pada PRN Melaka, BN berjaya mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai majoriti dua pertiga kerusi DUN Melaka atau 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN negeri itu.

PH pula mencatatkan prestasi teruk apabila hanya mampu mengekalkan lima kerusi DUN daripada keseluruhan 15 kerusi yang dimenangi blok pembangkang itu pada PRU14.

Daripada lima kerusi DUN yang dipertahankan itu, empat daripadanya milik DAP, satu kerusi DUN dimenangi Amanah menerusi bekas Ketua Menteri, Adly Zahari, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal menang sebarang kerusi daripada 11 kerusi DUN ditandingi.

PRN Melaka turut menyaksikan keputusan undi popular BN yang merangkumi UMNO, MCA dan MIC adalah sebanyak 38 peratus, PH melibatkan PKR, DAP dan Amanah (36 peratus) dan PN iaitu koalisi antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Gerakan (24 peratus).

Sementara itu, kepimpinan Pemuda Amanah kawasan Lembah Pantai, Kepong, Bandar Tun Razak, Batu dan Bukit Bintang itu turut menegaskan rakyat berhak mendapat barisan pemimpin berjiwa rakyat yang kompeten bagi berganding bahu mentadbir Malaysia dengan lebih baik.

Klik di sini untuk terus membaca