SHAH ALAM - Jurang pendapatan bagi golongan kaya dan miskin di negara ini kini semakin melebar susulan golongan berpendapatan rendah (B40) hanya memperolehi 16 peratus daripada kek pendapatan negara ketika ini. Pengarah Eksekutif... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jurang pendapatan bagi golongan kaya dan miskin di negara ini kini semakin melebar susulan golongan berpendapatan rendah (B40) hanya memperolehi 16 peratus daripada kek pendapatan negara ketika ini.

Pengarah Eksekutif Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, daripada jumlah keseluruhan pendapatan negara, sekitar 35 peratus adalah milik pekerja yang mewakili kadar purata keseluruhan golongan itu dari tahun 2010 sehingga 2017.

Berikutan itu, beliau menjelaskan selebihnya iaitu 65 peratus adalah milik majikan dan pemilik modal dengan kadar ini masih dianggap rendah berbanding negara-negara maju.

"Bagaimanapun, dalam konteks kelas pendapatan, 47 peratus daripada pendapatan negara dimiliki oleh kumpulan berpendapatan tinggi (T20) yang berkemungkinan besar merupakan majikan atau pemilik modal.

"Lebih memeritkan kumpulan berpendapatan B40 yang umumnya terdiri daripada pekerja, hanya memperolehi 18 peratus daripada kek pendapatan negara. Akibatnya jurang pendapatan kaya-miskin semakin melebar," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Noor Azlan berpandangan perancangan pertumbuhan ekonomi di bawah kerajaan Keluarga Malaysia mesti memberi perhatian serius untuk memastikan manfaat pertumbuhan yang dapat dikecapi oleh seluruh ahli keluarga secara saksama dan bukan sama rata.

Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali

"Tingkatkan kesaksamaan pasaran tenaga kerja dan peluang berkualiti untuk semua dengan penekanan khusus kepada kumpulan B40.

"Matlamat pertumbuhan perlu 'go inside the box, beyond achieving high growth rate. Inside the box atau bermaksud menyentuh permasalahan di peringkat akar umbi amat penting dalam merapatkan kembali jurang ekonomi yang semakin melebar," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Noor Azlan turut mendedahkan sekurang-kurangnya sembilan negeri masih 'terkebelakang' dalam konteks pertumbuhan dan pendapatan (low growth-low income) selain terperangkap di kotak 'bawah-kiri' iaitu kadar pendapatan isi rumah di bawah RM6,000 sebulan.

Sembilan negeri itu adalah Sabah, Sarawak, Perak, Pahang, Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganudan Negeri Sembilan.

Katanya, pada saat Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi purata sekitar enam peratus setahun sejak tahun 1970, pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) perlu mensasarkan 'catch-up' atau peningkatan pertumbuhan ekonomi untuk negeri-negeri ini dengan strategi pertumbuhan mesti berbeza.

"Perancangan pembangunan ekonomi masih tidak boleh bersifat 'Putrajaya-centric' tetapi perlu dibuat secara khusus melibatkan pemegang taruh untuk setiap negeri ini.

"Secara ringkas, negara perlu mewujudkan satu model pembangunan ekonomi yang baharu.

"Persoalan sama ada sembilan negeri disebutkan saya sebelum ini akan berganjak ke kotak 'atas-kanan' dengan menjadi negeri yang mencatatkan kadar pertumbuhan dan peningkatan pendapatan isi rumah yang tinggi pada tahun 2025 adalah terserah kepada iltizam dan kesungguhan semua pihak," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca