SHAH ALAM - Keselamatan kanak-kanak di atas jalan raya merupakan tanggungjawab bersama oleh ibu bapa dan semua pengguna jalan raya. Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keselamatan kanak-kanak di atas jalan raya merupakan tanggungjawab bersama oleh ibu bapa dan semua pengguna jalan raya.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Kulanthayan K.C Mani berkata, kanak-kanak khususnya yang berumur lapan tahun ke bawah tidak mempunyai kapasiti untuk membuat keputusan tepat atau selamat atas jalan raya.

"Kita tidak boleh sama sekali membiarkan kanak-kanak secara berseorangan di atas jalan raya.

"Bagi kanak-kanak terutamanya bawah lapan tahun, dari segi pemandangan mereka hanya satu per tiga daripada orang dewasa. Kalau orang dewasa boleh nampak 180 darjah, kanak-kanak nampak 60 darjah.

"Jadi kalau ada kenderaan yang tidak masuk dalam pandangan 60 darjah tersebut, mereka tidak akan nampak. Kita tidak boleh salahkan kanak-kanak, ini limitasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Sinar edisi ke-307 yang bertajuk 'Jalan Raya Bukan Destinasi Terakhir' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Mohamad Hafiz Usman dan Ketua bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Dr Azlan Darus manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Kulanthayan

Mengulas lanjut, Kulanthayan berkata, antara limitasi lain kanak-kanak adalah dari segi pendengaran di mana mereka hanya boleh mengenal pasti bunyi atau suara dari jarak dekat, namun ada kemungkinan besar mereka akan terlewat untuk menyedari kehadiran suara tersebut hingga boleh mengakibatkan kemalangan.

Tambahnya, kanak-kanak juga sukar untuk membuat keputusan sama ada kenderaan atas jalan raya itu dalam keadaan bergerak atau statik disebabkan keadaan jalan yang rata.

"Dia (kanak-kanak) mungkin akan terus berjalan kerana beranggapan kereta yang datang tersebut tidak bergerak, ini juga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

"Selain itu, ada juga kanak-kanak yang beranggapan kenderaan bukanlah sesuatu yang boleh membawa bahaya atau membunuh kerana mereka sering melihat kereta diparkir di luar rumah dan kereta yang sama juga digunakan untuk membawanya ke sekolah.

"Jadi inilah antara limitasi yang perlu diketahui semua ibu bapa dan pengguna jalan raya supaya beban untuk menjaga keselamatan kanak-kanak ini tidak dipindahkan kepada mereka,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca