SHAH ALAM - Tuntutan kemalangan jalan raya khususnya sewaktu pergi dan pulang dari tempat kerja adalah yang paling banyak dikemukakan bagi semua tuntutan kemalangan yang dilaporkan oleh pencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso, Dr Azlan Darus berkata, pada tahun 2019, seramai 38,000 pencarum telah membuat tuntutan kepada Perkeso akibat kemalangan jalan raya.
"Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding 30,833 pencarum yang membuat tuntutan pada tahun 2020 kerana ketika itu kita kurang berada di jalan raya susulan pandemik Covid-19.
"Bagaimanapun, jumlah tersebut bukan angka kemalangan yang kecil, lebih 30,000 rakan kita pergi kerja tidak balik ke rumah pada hari tersebut kerana ditimpa kemalangan jalan raya.
"Manakala 581 orang pada tahun 2020 pergi kerja terus tidak balik kerana maut dijalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-307 yang bertajuk 'Jalan Raya Bukan Destinasi Terakhir' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Mohamad Hafiz Usman dan Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Kulanthayan K.C Mani manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Mengulas lanjut, Azlan berkata, pihaknya telah menjalankan dua kajian iaitu pada tahun 2014 dan 2019 berkenaan kemalangan yang melibatkan pekerja sewaktu pergi dan pulang dari tempat kerja.
Ujarnya, pada permulaannya ramai yang menjangkakan kemalangan ini berlaku ketika pulang kerja atas faktor keletihan, mengantuk atau kerja lebih masa.
"Tetapi kedua-dua kajian yang dijalankan menunjukkan kemalangan lebih banyak berlaku sewaktu hendak pergi ke tempat kerja yang mana ia berlaku dalam jarak kurang daripada lima kilometer daripada destinasi.
"Kita mendapati situasi tergesa-gesa untuk sampai ke tempat kerja adalah punca yang perlu dilihat semula.
"70 peratus daripada laporan yang datang ke pejabat kami adalah melibatkan motosikal, manakala 30 peratus adalah lain-lain kemalangan,” jelas beliau.