SHAH ALAM - Sering kali apabila isu HIV dibicarakan, pasti ada yang menganggapnya seperti satu ‘hukuman mati’ malah pesakit turut dibelenggu kemurungan sehingga ada yang sanggup membunuh diri. Menurut seorang pesakit, Adam, 25, dia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sering kali apabila isu HIV dibicarakan, pasti ada yang menganggapnya seperti satu ‘hukuman mati’ malah pesakit turut dibelenggu kemurungan sehingga ada yang sanggup membunuh diri.

Menurut seorang pesakit, Adam, 25, dia didiagnosis HIV positif sejak empat tahun lalu ketika bergelar pelajar tahun akhir pengajian universiti.

Baginya, HIV bukanlah satu pengakhiran tetapi peluang untuk berubah menjadi seseorang yang lebih baik.

"Mula-mula saya nak tangguh semester sebab fikirkan tak larat sebab apabila makan ubat saya tidak boleh bangun untuk lakukan rutin harian.

"Salah seorang penasihat akademik tahu tentang keadaan saya dan menasihatkan supaya teruskan pengajian dan jangan tangguh.

"Jadi saya dengar nasihat dia dan kawan-kawan sebab saya fikirkan kalau saya tangguh, saya akan sendirian dan mungkin akan rasa lagi sedih. Jadi saya kuatkan diri makan ubat macam biasa lama-lama ia menjadi normal bagi saya,” ceritanya kepada Sinar Harian.

Adam berkata, ujian yang menimpanya bukan satu kesusahan tetapi peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik dan hidup sihat.

"Saya fikir apabila mengambil rawatan dengan disiplin, kehidupan akan menjadi seperti biasa macam orang normal.

"Alhamdulillah selepas tiga tahun, saya sudah ‘Undetected Viral Load’ (UVL) yang bermaksud virus dalam badan saya berada pada peringkat yang rendah dan tidak perlu pakai perlindungan.

"Saya diberi peluang untuk teruskan hidup, berdisiplin dan saya positifkan diri untuk hidup seperti biasa,” ujarnya.

Mengulas stigma masyarakat yang meminggirkan golongan HIV, Adam berkata, itu adalah antara senario yang perlu ditempuhi golongan ini.

Menurutnya, orang ramai perlu tahu bahawa virus tersebut bukan tersebar melalui udara tetapi melalui darah.

"Orang ramai perlu melayan pesakit HIV ini sama rata dan jangan memperlekeh mereka lebih-lebih lagi ketika musim pandemik ini.

"Ini kerana, penyakit HIV bukan diminta dan kadang-kadang kami tidak sedar sudah dijangkiti sebaliknya sokongan kuat perlu diberikan kepada kami bukannya pandangan sinis dan stigma kepada kami,” ujarnya.

Seorang lagi pesakit HIV, Hakim, 28, berkata baginya ajal, mati semua di tangan Tuhan dan kematian itu adalah pasti serta sukar dijangka bila akan tiba masanya.

"Perkataan mati itu sikit pun tidak terkesan pada saya. HIV ini bukan penamat hidup!

"Daripada terus memikirkan tentang kematian ada lebih baik untuk kita fikir apa yang perlu kita lakukan serta bekalan kita nanti untuk masa hadapan. Sampai masa untuk kita pergi juga,” ujarnya.

Hakim, seorang pekerja kilang disahkan positif HIV sejak 2014 dan baginya penyakit itu bukan penghalang untuk dia meneruskan mencapai cita-citanya.

Menurutnya, walaupun menghidap penyakit HIV, dia tetap meneruskan kerjayanya malah melakukan dua hingga tiga kerja dan sudah mampu membeli rumah kedua pada tahun 2020.

"Alhamdulillah, saya tidak pernah abaikan cita-cita saya. Walaupun saya perlu memakan ubat seumur hidup tetapi tidak pernah rasa beban,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hakim berkata, stigma masyarakat perlu diubah dan dididik berkenaan sikap masyarakat yang takut kepada pesakit HIV.

"Bagi saya kenapa mereka ada stigma, mungkin ada pada pesakit HIV punya perangai, kisah lampau mereka yang membuat masyarakat pandang buruk kepada mereka.

"Sehinggakan mereka ini malu untuk pergi klinik dapatkan rawatan dan buat ujian HIV,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penjawat awam, Alif, 26, berkata, dia disahkan positif pada 2015 seawal usia 21 tahun bukan hanya HIV tetapi juga penyakit kelamin, hepatitis B dan sifilis.

"Semasa bangun pagi, saya perasan ada cecair kuning pada kemaluan. Saya sudah tidak sedap hati serta melakukan pemeriksaan kesihatan. Doktor sarankan buat pemeriksaan penuh dan keputusannya tidak baik.

"Saya cakap pada diri saya yang ini adalah salah sendiri bukan sesiapa dan kena terima. Apabila doktor beritahu keputusan, dia pun terkejut saya tidak menangis atau rasa tertekan sebab kebanyakan pesakit kalau tahu mereka akan menangis.

"Daripada awal saya hadap perkara ini seorang diri, tiada sokongan luar yang boleh beri kekuatan kepada saya. Cuma cakap kepada diri, teruskan hidup kalau saya tiada penyakit mungkin akan lebih teruk,” jelasnya.

Mengulas lanjut, dia berkata, keluarga merupakan perkara yang penting dalam membantu meneruskan kehidupan sebagai pesakit HIV.

"Kalau saya rasa murung, tidak mahu makan ubat akan menyebabkan lagi teruk kerana ini semua demi mak, ayah dan adik beradik saya.

"Walaupun perlu makan ubat selalu tetapi saya hadap sahaja,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca