SAYA memang takut dengan doktor. Bukan takut sikit-sikit tetapi takut sangat-sangat. Kalau budak-budak lain boleh pucat lesi jika dengar orang sebut tuk mudim, saya pula sebaliknya.
Saya tak kisah. Malah, saya sentiasa tidak sabar hendak bercelapak di atas batang pisang, menghadap tuk mudim. Kalau disunatkan hari-hari pun tidak mengapa asalkan saya cepat jadi ‘budak besar’, cepat dewasa dan cepat boleh berumah tangga – salah satu cita-cita utama saya semasa kecil.
Tetapi jangan sebut doktor di depan saya. Ia boleh menyebabkan saya hilang selera makan, selera bermain dan segala-galanya. Membayangkan jarum picagari yang halus tajam itu sahaja sudah cukup untuk saya terasa ngilu sehingga ke tulang sum-sum.
Sebenarnya saya tidak bersendirian. Ramai lagi orang yang takut doktor. Bukan sekadar budak-budak, yang tua-tua, yang gigi susunya luruh sejak sebelum Perang Dunia Kedua pun dua kali lima.
Saya juga mengenali seseorang yang badannya macam Dyawne Johnson (The Rock) tetapi boleh terkencing dalam seluar kalau disebut hendak dibawa ke doktor. Biar demam menggeletar, dia lebih rela terbaring bertemankan air cap badak berhari-hari daripada pergi ke klinik atau ke hospital. Biar luka selebar mana, dia lebih percaya pada minyak gamat, kapas dan plaster daripada jururawat dan doktor.
Lama saya tidak mendengar cerita mengenainya, jadi saya tidak pasti sama ada masih dengan ‘penyakit’ lamanya atau tidak.
Tetapi saya tidak terkejut jika diberitahu dia sekarang ini salah seorang rakyat Malaysia yang belum divaksinasi. Saya juga tidak terkejut kalau dia sekarang ini menjadi geng ‘kelab’ anti vaksin, walaupun saya tahu yang dia anti sebenarnya bukanlah vaksin tetapi doktor.
Dalam bahasa perubatan, penyakit takut doktor ini dikenali sebagai ‘iatrophobia’. Ia penyakit sejagat yang sama tua dengan profesion doktor itu sendiri. Seperti fobia yang lain, ketakutan itu berpunca daripada pelbagai sebab dan selalunya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Bagi diri saya, sehingga sekarang saya tidak tahu apa sebabnya. Yang saya tahu, sejak zaman kanak-kanak saya takut doktor.
SH: TIDAK SUKA
Lumrah hidup, adakala kita mendapat apa yang kita tidak suka dan terpaksa berdepan dengan apa yang kita takuti. Sebab itulah orang yang takut hantu lebih sering ternampak hantu atau diusik hantu berbanding orang yang tidak takut.
Sekali peristiwa itulah yang berlaku pada diri saya.
Kisahnya begini. Pada hari bersejarah itu, suatu pagi pada 2006 tatkala matahari menyimbahkan sinar indahnya ke Bandar Manjalara di Kepong, saya meninggalkan rumah dengan penuh bersemangat.
Memandu Kancil, kenderaan yang bagi saya sudah cukup mewah ketika itu. Destinasi perjalanan saya ialah Sungai Besar, kampung halaman dan daerah kebanggaan saya. Tujuannya pula bukanlah untuk memancing atau menikmati kelazatan daging landak yang memang sinonim dengan Sungai Besar. Tidak. Saya ada tujuan lain yang ada kaitan dengan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
Maaflah, cakap berbelit-belit. Orang politik memang begitu. Untuk meringkaskannya, tujuan saya adalah untuk merasmikan mesyuarat Pemuda UMNO salah sebuah cawangan dalam Bahagian Sungai Besar.
Perjalanan saya lancar. Maklumlah waktu itu mana ada Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), prosedur operasi standard (SOP), tidak boleh rentas daerah, tidak boleh rentas negeri dan sebagainya.
Kancil saya pula, walaupun kecil sama sahaja seperti Kancil-Kancil yang lain. Pantang diusik. Nama sahaja Kancil tetapi ia lebih banyak mengejar daripada dikejar.
KEMALANGAN
Tetapi kelancaran itu terhenti apabila tiba di Jalan Ban Kenal, Parit 4. Kereta itu tiba-tiba terbabas dan terlanggar sepohon pokok mempelam. Saya tidak tahu salah sayakah atau salah pokok mempelam sebab tumbuh di situ.
Saya juga tidak pasti apakah kemalangan itu disebabkan kereta gagal dikawal atau saya yang gagal mengawal. Yang saya tahu dan saya pasti, kemalangan itu menyebabkan saya mengalami kecederaan yang agak parah dan terlantar di hospital.
Memang benar, hospital di negara kita boleh dikatakan serba lengkap dan selesa dari segi kemudahannya. Amat jauh bezanya jika dibandingkan dengan hospital-hospital di Sierra Leone, Myanmar, Venezuela, Congo, Liberia dan banyak lagi negara lain yang tersenarai dalam kelompok yang buruk perkhidmatan kesihatannya.
Bertilam empuk dan berhawa dingin dengan layanan mesra daripada jururawat budiman seperti saya juga, ia akan menjadi pengalaman sangat menarik jika anda berada di hospital kerana mahu berehat atau bercuti. Masalahnya, saya terlantar di situ atas sebab lain. Saya cedera. Saya pesakit. Saya perlu dirawat.
Yang akan merawat saya pula bukanlah pawang, dukun atau bomoh. Bukan juga sinseh atau tabib tetapi doktor – manusia yang selama ini sangat saya takuti. Memang betul ketika itu saya bukan lagi budak-budak.
Umur sudah mencecah 34 tahun tetapi ketakutan adalah ketakutan. Ia tidak mengenal usia. Ia juga tidak mengenal status dan kedudukan.
Saya berani katakan pengalaman menanti dirawat doktor ketika itu adalah antara pengalaman paling menakutkan dalam hidup saya.
Macam-macam yang berlegar dalam fikiran saya. Apa yang dia akan beritahu saya nanti? Tulang saya patahkah? Urat-urat saya habis putuskah? Ada pendarahan teruk dalam badankah? Semuanya mengerikan.
Selepas itu apa yang dia akan lakukan kepada saya? Gunakan pisau yang tajam untuk menghiris kulit saya, mengopaknya dan memeriksa tempat yang cedera?
Adakah dia akan menusukkan jarum yang tajam untuk menjahit tempat yang luka? Kemudian akan ditusuk pula badan saya dengan jarum picagari yang kalau ditekan kuat, senang-senang boleh tembus sampai ke tulang itu? Semuanya menambahkan kengerian.
Kengerian itu sampai ke kemuncak apabila saya disorong ke bilik bedah. Gemuruh di dada tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya pasrah.
Dipendekkan cerita, kemalangan pada jam 11.30 pagi itu menyebabkan saya dua kali terpaksa ‘menimba pengalaman’ di bilik bedah.
Mula-mula untuk masukkan besi dan kemudian keluarkan cangkuk besi. Tidak ada satu pun daripada kedua-duanya yang boleh dikategorikan sebagai ‘syok’ atau ‘sedap’.
Disebabkan kemalangan itu juga ibu jari kiri saya kurang sensitivitinya sehinggalah sekarang. Ia bermakna saya boleh dikategorikan sebagai ‘OKU’ juga. Tetapi saya tidak pernah meratapinya. Nikmat yang ALLAH ambil balik itu sangat kecil jika dibandingkan dengan pelbagai nikmat lain diberikan oleh-Nya kepada saya selama ini.
Kata bijak pandai, lakukanlah perkara paling anda takuti, nescaya anda tidak akan berasa takut terhadapnya lagi.
Saya bersetuju dalam banyak perkara, tetapi bukan dalam hal melibatkan doktor. Pengalaman yang diperoleh daripada kemalangan itu dan pengalaman beberapa kali bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan atau nasihat selepas itu, tidak pernah mengurangkan rasa takut saya kepada mereka.
Setiap kali berdepan dengan mereka saya menjadi berdebar-debar. Lebih-lebih lagi kalau doktor itu perempuan dan cantik. #dush!
* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia
Klik di sini untuk terus membaca