DUNIA akan menyaksikan pandemik Covid-19 bertukar menjadi endemik mulai tahun depan selepas dihantui virus pembunuh itu sejak penghujung Disember 2019.
Bagaimanapun, Covid-19 akan tetap menjadi pandemik jika terdapat varian yang lebih berbahaya muncul dan berlakunya masalah tentang ketidaksamaan untuk mendapatkan vaksin di beberapa buah negara di dunia.
Walaupun, negara-negara di dunia berusaha untuk menangani varian baharu dan benua Eropah pula menghadapi musim sejuk, pakar-pakar kesihatan menyatakan bahawa penularan pandemik tersebut akan dapat dikawal mulai tahun depan.
Semua pengetahuan dan peralatan yang diperlukan untuk mengawal virus itu sudah tersedia manakala semakin banyak stok vaksin yang selamat serta berkesan selain terdapat kewujudan rawatan baharu pencegahan Covid-19.
Namun, masih tidak jelas kita akan membuat pilihan sukar atau membenarkan pandemik itu terus mengganas sekali gus membuka jalan ke arah situasi yang lebih buruk.
"Trajektori (penularan Covid-19) pandemik ini masih berada dalam tangan kita," kata pakar utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Maria Van Kerkhove mengenai krisis Covid-19 kepada para pemberita baru-baru ini.
Adakah kita boleh mencapai keadaan dengan mengawal penularan pandemik itu pada tahun 2022?
"Sudah tentu," kata Kerkhove seperti dilaporkan oleh AFP.
Setahun selepas vaksin Covid-19 dipasarkan di dunia, lebih 7.5 bilion dos telah diuruskan penggunaannya di peringkat global.
Dunia ketika ini berada dalam landasan untuk menghasilkan kira-kira 24 bilion dos menjelang Jun tahun depan iaitu satu bilangan yang lebih daripada mencukupi untuk penduduk planet ini.
Meskipun begitu, kekurangan vaksin yang teruk di negara-negara miskin dan rintangan bagi sebahagian orang untuk mendapatkan suntikan Covid-19 telah menyebabkan negara-negara terdedah kepada kemunculan varian baharu seperti Delta.
Kemunculan varian itu telah mencetuskan gelombang penularan kes pandemik itu di seluruh dunia.
Justeru, situasi pesakit-pesakit yang dimasukkan tiub ke dalam badan dengan tujuan merawat mereka di hospital-hospital dan barisan panjang yang menunggu untuk mendapatkan bekalan oksigen bagi orang tersayang masih lagi berlaku.
Gambar-gambar kayu-kayu pembakaran mayat di India yang dilanda dengan varian Delta telah memberikan gambaran mengenai kos yang terpaksa ditanggung akibat Covid-19 itu.
Secara rasmi, lebih 5.1 juta orang telah meninggal dunia di seluruh dunia walaupun WHO menyatakan bahawa jumlah sebenar kematian kemungkinan adalah dua hingga tiga kali ganda daripada jumlah tersebut.
Di Amerika Syarikat (AS) pula, ia kekal menjadi negara yang teruk dilanda pandemik covid-19 sehingga menyebabkan kematian hampir kepada 800,000 orang.
Masih lagi terdapat pemberitahuan ringkas tentang kematian akibat Covid-19 di akaun Twitter di negara itu termasuk bagi golongan yang tidak mendapat suntikan vaksin.
Ramai pakar-pakar telah mencadangkan bahawa fasa pandemik akan berakhir dengan segera.
Menurut mereka, Covid-19 tidak akan hilang sepenuhnya tetapi akan menjadi endemik yang dapat dikawal seperti selesema.
Namun, ketidaksamaan dalam mendapatkan vaksin Covid-19 masih kekal menjadi cabaran yang tinggi.
Ini adalah kerana kira-kira 65 peratus penduduk di negara-negara berpendapatan tinggi sudah mempunyai satu dos suntikan vaksin tetapi hanya lebih tujuh peratus yang telah menerima suntikan tersebut di negara-negara miskin, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pakar-pakar kesihatan telah menekankan bahawa membenarkan Covid-19 menular tanpa henti di beberapa tempat secara mendadak telah meningkatkan kemungkinan varian baharu dan lebih berbahaya kepada manusia akan muncul.
Kebimbangan itu dapat dapat dirasakan apabila munculnya varian baharu, Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan baru-baru ini. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca