TULAR baru-baru ini berita hidangan ikan siakap yang mencecah harga lebih RM1,000 di sebuah restoran di Langkawi. Kedah. Terbaharu timbul pula berita seorang pelanggan yang terpaksa membayar RM100 untuk dua ekor sotong di sebuah restoran... Klik di sini untuk terus membaca

TULAR baru-baru ini berita hidangan ikan siakap yang mencecah harga lebih RM1,000 di sebuah restoran di Langkawi. Kedah. Terbaharu timbul pula berita seorang pelanggan yang terpaksa membayar RM100 untuk dua ekor sotong di sebuah restoran nasi kandar di Pulau Pinang.

Sama ada pelanggan cuai kerana tidak menyelidik harga sebelum memesan atau restoran yang mengenakan harga mahal, kita nampak ramai dalam kalangan mereka yang kemaruk makan di fasa endemik Covid-19. Jika mereka pilih makanan ringkas, tentulah mereka tidak dikenakan bayaran sebegitu tinggi.

Ironinya, tatkala serangan Covid-19 memuncak, telah berlaku fenomena kibaran bendera putih kerana ada keluarga yang malang merayu bantuan makanan. Maknanya, ada masyarakat kita tiada wang untuk membeli makanan dan ada pula yang berduit hingga tidak berkira bila hendak makan.

Ketika dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, hanya kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi kerana makanan adalah antara essential item. Sebab itulah apabila baru-baru ini sebuah akhbar melaporkan tentang kenaikan harga sayur dan beberapa pengeluar barangan makanan pula mengumumkan kenaikan harga, ia menjadi bualan rakyat.

Sekali lagi isu yang diperkatakan adalah betapa harganya dikawal oleh orang tengah. Siapakah orang tengah? Mereka ialah pemborong.

Dalam rangkaian ekosistem peruncitan, mereka memperoleh bahan makanan daripada pengeluar. Pemborong membekalkan kepada pengedar sebelum pengedar menjualnya kepada peruncit.

Dalam setiap rantaian perbekalan itu, harga akan ditokok. Akhirnya, pengguna pula yang menanggung segala kos dengan harga paling tinggi dalam rantaian tersebut. Yang malang mendapat harga rendah adalah di hulu ekosistem itu iaitu golongan pengeluar. Yang terpaksa membeli dengan harga paling tinggi adalah golongan di hilir iaitu pengguna.

Berbalik kepada soal makanan, laporan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada 2020 menunjukkan negara kita hanya mengeluarkan 70 peratus bahan makanan. Namun, defisit bahan makanan adalah RM16.8 bilion pada 2013 dan meningkat kepada RM18.6 bilion pada 2018. Defisit itu terus meningkat.

Menurut laporan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pula, pada 2020 kita hanya mampu mengeluarkan 70 peratus beras, 74 peratus sayur-sayuran, 78 peratus buah-buahan, 86 peratus ikan, 32 peratus daging dan hanya 18 peratus susu.

Kementerian itu telah melancarkan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 setelah tiga Dasar Pertanian Negara dilaksanakan sebelum ini.

Dasar itu indah di kertas iaitu kita boleh cukupkan pengeluaran di semua sektor makanan tetapi hodoh di lapangan apabila golongan pengeluar diupah dengan harga ciput, sementara orang tengah menikmati keuntungan melalui penguasaan harga. Mangsanya adalah kita semua sebagai pengguna.

Pihak pemerintah telah cuba pelbagai cara untuk membantu golongan pengeluar iaitu petani dan nelayan melalui agensi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pemerintah juga telah berusaha melindungi pengguna melalui pemantauan di lapangan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetapi mengapa rakyat selalu tersentak setiap kali harga makanan meningkat secara tiba-tiba?

Cari jalan agar FAMA menjelma menjadi agensi gergasi sebagai pemborong utama negara. KPDNHEP pula harus menjadi penguat kuasa lebih tegas. ‘Saman dahulu, kemudian balai cerita’ harus dilaksanakan seperti penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. Bila tindakan tegas dan pantas, barulah semua pihak segera patuh. Analisis dan bertindaklah sewajarnya setelah memutuskan apakah pemborong sebuah konsortium atau segerombolan kartel?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca