SHAH ALAM - Seorang penghidap HIV mengakui ketika disahkan dijangkiti virus itu, dia merasakan dunia ini menjadi gelap. Juliana, 54, pada masa itu baru berusia 33 tahun.
Menurutnya, ketika doktor memberitahu keputusan pemeriksaan kesihatannya, dia tidak menangis cuma merasakan kehidupannya sudah hancur.
"Soalan pertama yang saya tanya doktor ialah bilakah saya akan mati? Doktor itu menjawab, dia bukan Tuhan hendak tentukan bila saya akan mati.
"Dia beritahu saya, orang mati bukan sebab HIV tetapi sebab ajal yang telah ditakdirkan buat mereka. Akhirnya, saya reda dan mula menjalani rawatan yang disarankan,” katanya kepada Sinar Harian.
Juliana berkata, selama 21 tahun penyakit itu menghantuinya, dia tegar melawan cemuhan dan kata nista masyarakat.
Katanya, selain dia, salah seorang anaknya turut diuji penyakit berkenaan.
"Saya cuba merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum.
"Ketika anak saya berusia enam tahun, dia pernah bertanya kenapa perlu ambil ubat-ubatan sedangkan dia tidak sakit.
"Walaupun penyakit kami dirahsiakan, akhirnya ia terbongkar apabila guru sekolah anak bertindak mendedahkannya kerana bimbang ia berjangkit kepada pelajar lain,” ceritanya.
Selain itu, Juliana berkata, tahap sel darah putihnya (CD4) tiada masalah kerana sudah melebihi bacaan 1,000.
"Pakar perubatan memaklumkan jarang-jarang menemui pesakit yang kedudukan CD4 mereka melebihi 1,000 kerana rata-ratanya di bawah 500.
"Cuma mereka sarankan saya menjaga kesihatan dengan bersenam dan menjaga pemakanan dengan mengawal gula,” ujarnya.
Tambah Juliana, ujian itu juga merupakan satu peringatan daripada ALLAH SWT supaya tetap bersedia untuk menghadapi kematian.
Klik di sini untuk terus membaca