SHAH ALAM - Masih ramai dalam kalangan individu positif HIV enggan memulakan rawatan terapi aktif antiretrovirus (HAART) kerana kurang kesedaran mengenai kepentingannya.
Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM), Datuk Dr Christopher Lee berkata, HAART merupakan kombinasi ubat-ubatan yang digunakan untuk mengurangkan pertumbuhan virus HIV dan berfungsi melumpuhkan proses pembentukan asid deoksiribonukleik (DNA) virus tersebut.
"Kurangnya kesedaran terhadap keberkesanan HAART dan stigma untuk mengakses rawatan di fasiliti kesihatan menjadi faktor jumlah pesakit yang mahu menerima rawatan tersebut agak rendah.
"Selain itu, ada juga pesakit yang terlewat memulakan proses rawatan tersebut di fasiliti kesihatan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, pada masa ini, dianggarkan sekitar 45,000 orang di negara ini yang hidup dengan HIV (PLHIV) masih dalam proses rawatan HAART.
Katanya, rawatan HAART kini meningkat kepada 58 peratus peratus pada tahun 2020 berbanding 28 peratus pada 2015.
Usaha tersebut bagaimanapun katanya, dianggap masih rendah berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 95 peratus bagi membolehkan penyakit berbahaya itu dapat dihapuskan menjelang tahun 2030
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 38 juta manusia sedang hidup bersama HIV atau AIDS di seluruh dunia ketika ini.
Jangkitan HIV yang tidak dirawat akan berkembang menjadi AIDS, iaitu sejenis keadaan di mana daya imunisasi atau daya ketahanan seseorang menjadi begitu lemah sehingga tidak dapat melawan jangkitan kuman dan mengekang perkembangan sel-sel kanser.
Tanpa rawatan, seorang pesakit yang dijangkiti HIV dijangka mempunyai jangka hayat yang lebih pendek, bergantung kepada subjenis HIV.
Antara cara HIV merebak ialah melalui hubungan seksual, penyebaran daripada ibu kepada anak, perkongsian jarum suntikan, pemindahan darah, serta mencacah tatu dan bertindik.
Dalam pada itu, Christopher berkata, Malaysia pernah mencatatkan bilangan kes HIV baharu tertinggi pada tahun 2002 iaitu sebanyak 6,978 kes.
"Pelaksanaan aktiviti pencegahan, kawalan, rawatan dan penjagaan yang berkesan telah menyaksikan penurunan kes HIV baharu pada tahun 2020 dengan 3,146 kes,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan sejak 2005 dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta bukan kerajaan yang diterajui oleh MAM juga telah berjaya mengurangkan jangkitan HIV/AIDS dalam kalangan pengguna dadah secara suntikan yang merupakan punca utama jangkitan HIV peringkat awal.
Jelasnya, peratusan jangkitan HIV baharu dalam kalangan pengguna dadah secara suntikan telah menurun daripada 74.2 peratus (5,176 kes) pada tahun 2002 kepada 3.9 peratus (122 kes) pada 2020.
"MAM juga telah memperluas program Perkhidmatan HIV Terbeza untuk Populasi Tertumpu (DHSKP) di mana pakej komprehensif ini telah diintegrasikan di klinik kesihatan bagi memastikan golongan berisiko tinggi jangkitan HIV mendapatkan saringan di peringkat lapangan.
"Mereka boleh dirujuk ke klinik kesihatan jika positif HIV dan memulakan rawatan HAART. Pendekatan ini berkesan dan akan diperluas ke seluruh negara,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca