SHAH ALAM - Peranan mufti yang sering dilihat sebagai seorang pembaca doa dalam majlis-majlis rasmi dan menyokong usul-usul kerajaan berhubung agama perlu diubah.
Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpandangan, mufti seharusnya menjadi individu yang benar-benar mewakili agama dan bukannya mewakili pemerintah dalam mengeluarkan fatwa.
"Pemerintah tidak semestinya seiring dengan agama," katanya dalam Program Bersama Dr Maza dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan menerusi semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Johan terdahulu bertanyakan pandangan Dr Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza mengenai peranan mufti dalam era zaman moden.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan beliau yang kerap kali muncul sekiranya ada isu berkait dengan umat Islam berbanding mufti lain, Dr Mohd Asri berkata, setiap orang seharusnya meyakini tugasan yang perlu dilakukan olehnya.
"Kita bukan sahaja wajib berusaha menjadi orang yang baik tetapi kita juga mesti berusaha mengajak masyarakat kita ke arah yang baik. Jadi mungkin setiap orang dengan alasan mereka tetapi itu adalah alasan saya," jelasnya.
Beliau pada masa sama memaklumkan bahawa dirinya sukakan kepada kesederhanaan.
"Saya menerima idea progresif tetapi pada masa sama keyakinan saya memegang akar asas-asas penting agama," tegasnya.