SHAH ALAM - Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sebenarnya sudah bermula selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018. Berikutan kekalahan itu, empat parti komponen utama iaitu Parti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sebenarnya sudah bermula selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018.

Berikutan kekalahan itu, empat parti komponen utama iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) membuat keputusan drastik keluar daripada BN Sarawak.

Keempat-empat parti diketuai oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg itu kemudiannya sepakat menubuhkan satu gagasan parti politik baharu dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara rasmi pada 12 Jun 2018.

Mereka membuat keputusan menubuhkan GPS selepas mempertimbangkan secara mendalam dan mengambil kira perkembangan politik pasca PRU14 termasuk layanan buruk diberikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap Sarawak selain meneruskan pelbagai tuntutan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (M63) terutama royalti Petroleum.

GPS kemudiannya diluluskan pendaftaran secara rasmi oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) mengikut Akta Pertubuhan 1966 sebagai 'Gabung Parti Politik' sah dan boleh menggunakan lambangnya sendiri dalam mana-mana pilihan raya di Sarawak, pada 19 November 2018.

Malah, secara prinsipnya mereka hanya akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara dan hak negeri Sarawak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

Justeru itu tidak pelik difahamkan jika mengikut perancangan awal, Abang Johari dan GPS bercadang mengadakan PRN Sarawak pada November atau Disember 2020 selepas PRN Sabah diadakan pada 26 September 2020.

Namun, perancangan berkenaan terbantut selepas PRN Sabah menjadi pencetus gelombang kedua pandemik Covid-19 sehingga kerajaan terpaksa mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Pemulihan (PKPP) bagi menyekat penularan wabak terbabit di seluruh negara, tidak terkecuali Sarawak.

Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kemudiannya menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, supaya mengisytiharkan 'Darurat Kesihatan' dikuatkuasakan di seluruh negara, mulai 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021, bagi mengekang penularan Covid-19.

ABDUL GHANI

Apabila tempoh darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong kemudiannya mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.

Bagaimanapun, perintah darurat di Sarawak ditarik balik pada 3 November lalu, sekali gus membolehkan SPR mengadakan PRN Sarawak dalam tempoh 60 hari seperti ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November dan memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-12 yang mempunyai 82 kerusi DUN.

Malah, segala teka-teki akhirnya terjawab apabila, pada 24 November lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan 18 Disember 2021 sebagai tarik keramat PRN Sarawak ke-12 iaitu selepas 21 hari Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan Proklamasi Darurat Sarawak, pada 3 November lalu.

Abdul Ghani dalam sidang medianya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di Kuching, Sarawak, juga mengumumkan bahawa 6 Disember sebagai hari penamaan calon, manakala undi awal pada 14 Disember.

Berikutan itu, SPR juga menetapkan tempoh berkempen PRN Sarawak adalah selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Dis, iaitu hari Isnin, sehingga jam 11.59 malam 17 Disember 2021.

"PRN Sarawak ke-12 juga dijangka menelan belanja sebanyak RM150 juta dengan sebanyak 82 pusat penamaan calon dan 82 pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan, dengan 46,565 orang petugas dilantik mengendalikan PRN Sarawak," katanya dalam sidang medianya baru baru ini.

Dalam sidang media itu, Abdul Ghani berkata, seramai 1,252,014 orang pengundi di negeri itu layak mengundi dalam PRN12 dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.

Sebanyak 1,866 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta," katanya.

Abdul Ghani berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya itu akan mula dijual pada 1 Disember dan pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka.

Mereka juga boleh berbuat demikian menerusi laman sosial SPR iaitu pengundi.spr.gov.my atau menghubungi talian 03-88927018 atau menerusi aplikasi MySPR Semak dengan semakan boleh dibuat mulai 1 Disember," katanya.

"Bagi urusan permohonan undi pos luar dan dalam negara, permohonan undi pos untuk mengundi Kategori Borang 1B dan Kategori Borang 1C dibuka mulai 8 November lalu sehingga 24 November.

"Bagi kategori Borang 1A pula bermula 24 November sehingga 3 Disember manakala permohonan undi pos bagi kategori 1B dan 1C dilaksanakan secara dalam talian berbanding secara manual sebelum ini.

"Permohonan untuk mengundi secara pos boleh dilakukan menerusi MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my.," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca