IPOH - Seorang perunding perkahwinan, Muhammad Zainudin Mohd Nadzri menjelaskan kos perkahwinan yang melonjak adalah disebabkan kesan pandemik Covid-19. Menurutnya, kelengkapan perkahwinan untuk pelamin dan bunga hiasan contohnya, banyak... Klik di sini untuk terus membaca

IPOH - Seorang perunding perkahwinan, Muhammad Zainudin Mohd Nadzri menjelaskan kos perkahwinan yang melonjak adalah disebabkan kesan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kelengkapan perkahwinan untuk pelamin dan bunga hiasan contohnya, banyak dibeli dari China, tetapi disebabkan Covid-19, harga dan kos penghantaran barangan tersebut telah alami peningkatan.

Ujar beliau, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia di luar kawalan mereka.

"Tambahan pula pengusaha hadapi masalah untuk dapatkan bekalan barangan serta peralatan perkahwinan.

"Trend peningkatan harga memang berlaku pada semua barang ketika ini, tidak terkecuali bidang perkahwinan.

"Begitu juga bagi perkhidmatan katering, pengusaha terpaksa menaikkan pakej sedia ada sehingga 30 peratus bagi mengimbangi kenaikan harga bekalan makanan ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau yang mengusahakan butik perkahwinan Nazha Weddings di Bagan Datuk bagaimanapun, masih mengekalkan pakej perkahwinan pada harga yang sama.

Katanya, kebanyakan pelanggan butik berkenaan adalah kalangan mereka yang menunda majlis perkahwinan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ramai pelanggan dulu datang balik untuk teruskan majlis yang tertangguh ketika PKP, jadi nak naikkan harga pun tak sampai hati.

"Setakat ini belum ada rombakan harga lagi, jika ada pun dijangka pada tahun hadapan bergantung kepada situasi semasa kenaikan harga barangan,” katanya.

PENGUSAHA BIMBANG HARGA TERUS NAIK

Perancang perkhidmatan majlis perkahwinan tidak menolak kemungkinan terpaksa menaikkan harga pakej ditawarkan sekiranya harga barangan dan bahan mentah terus meningkat di pasaran.

Pengusaha perkhidmatan majlis perkahwinan yang mahu dikenali sebagai Che Teratai berkata, khidmat yang ditawarkan meliputi andaman, pelamin, kanopi, dekorasi, baju, kek dan katering.

Beliau yang mempunyai butik andaman di Pasir Gudang berkata, perkhidmatan katering paling terjejas dengan kenaikan harga barangan keperluan harian dan bahan mentah yang berlaku sejak kebelakangan ini sekaligus memberi kesan kepada faktor peningkatan harga pakej perkahwinan lengkap yang ditawarkan.

"Buat masa sekarang harga pakej perkahwinan lengkap yang ditawarkan sebelum pandemik pada tahun lepas masih digunakan iaitu bermula dengan harga RM15,000 bagi 500 pek makanan.

"Walaupun harga barang keperluan harian dan bahan mentah seperti ayam dan cili naik mendadak ketika ini, harga pakej perkahwinan lengkap itu masih digunakan. Saya tidak mahu susahkan pelanggan memandangkan mereka sudah membuat tempahan lebih awal.

"Cuma yang merisaukan sekarang adalah harga pakej perkahwinan lengkap pada tahun depan jika kenaikan barang berterusan. Bukan kita sesuka hati hendak naikkan harga tetapi perlu mengikut kepada caj katering,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca