"TAUKE-tauke sayur, ikan dan ayam kebanyakannya adalah penyokong tegar sebuah parti pembangkang dan mereka mula menaikkan harga barang manakala pemimpinnya mula kempen agar membenci pemerintah, tambahan pula nak dekat pilihan raya di Sarawak dan Pilihan Raya Umum (PRU),” begitulah satu pautan Facebook yang ditularkan dalam media sosial minggu lepas.
Ia seolah-olah tauke-tauke ini hidup bukan mencari rezeki tetapi untuk menyusahkan orang, kononnya sebagai barua orang politik dan mereka sendiri tidak menderita apabila inflasi membinasakan ekonomi.
Itulah kerja teori konspirasi - meringkaskan masalah yang rumit kepada satu punca yang palsu tetapi boleh dibayangkan supaya kemarahan rakyat dialihkan sampai lupa menanyakan penyelesaian. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Bangsa-Bangsa Bersatu telahpun memaklumkan kenaikan harga makanan sedunia pada awal bulan November. Di Malaysia, harga sayur-sayuran meningkat 30 hingga 40 peratus kerana hujan yang lebih lebat daripada tahun lepas, kekurangan tenaga buruh dan kenaikan kos pengeluaran.
Kenaikan harga hanya dapat ditangani dalam jangka panjang dengan perubahan dalam dasar kerajaan, daripada mementingkan sektor pertanian dan kedaulatan makanan, sampailah pengurangan pelepasan karbon.
Akan tetapi memahami masalah dan mengetahui penyelesaian boleh 'membebankan' apabila kita menyedari kita sebenarnya berupaya mengubah nasib kita.
Shah Rukh Khan pernah berkata sedemikian, "Anda tidak pernah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Andalah kesesakan lalu lintas!” Maksudnya, kalau anda tidak memandu, macam mana anda terperangkap?
Akan tetapi, naluri manusia memang suka mencari orang yang boleh dituduh daripada memikul tanggungjawab mengubah nasib. Maka, setiap kecelakaan dan kehampaan yang kita alami dalam hidup, bagus kalau ada pihak yang kita boleh salahkan dan pindahkan tanggungjawab. Ini sebabnya mengapa teori konspirasi menjadi popular. Ia membina dalam bayangan kita, satu kuasa jahat yang berupaya untuk kita melontarkan segala tuduhan dan memindahkan segala tanggungjawab dan berasa sama ada kita murni, malah mulia dan pandai kerana kita tahu teori konspirasi sedangkan orang lain masih tertipu.
Bila kepalsuan teori konspirasi dibongkarkan, pengikut biasanya melihat pembongkaran itu bukti kuasa jahat itu menjadi semakin kuat dan merasa dirinya semakin dimangsakan. Teori konspirasi telah banyak membinasakan masyarakat Amerika Syarikat, sampai bukan sahaja ramai yang menolak vaksin malah juga ramai yang menolak keputusan pilihan raya dan demokrasi bila pemimpin mereka kalah.
Malaysia bertuah kerana kemelut politik sungguhpun teruk belum sampai ke tahap menggilakan kita semua. Akan tetapi, kita tidak boleh mengambil ringan penjaja teori konspirasi yang sentiasa cuba membakar masyarakat kita. Mungkin mereka harap muncul sebagai wira yang memadamkan api. Mungkin mereka penjual bahan api. Mungkin mereka cuma suka lihat orang bersengketa. Tak kira apa motivasi si penghasut, kita sebagai rakyat mesti pandai, jangan termakan hasutan untuk membenci satu sama lain dan akhirnya membakar tanah air.
Sudah cukup masalah inflasi, tak perlulah tambahkan lagi perkauman.Pemimpin politik mestilah berhemah dan melarang anak buah mereka menyebar teori konspirasi dan kebencian terhadap pesaing mereka. Kepada kerajaan, janganlah fitnah pembangkang sebagai pembinasa masyarakat. Di pihak pembangkang juga janganlah menghasut ketidakpuasan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti larangan bersolat rapat.
*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca