Selepas sepanjang hayat bergelut menentang tentera Myanmar, pemenang Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991, Aung San Suu Kyi yang kini berusia 76 tahun sekali lagi berada di bawah belas kasihan jeneral-jeneral tentera di negara itu.
Ini kerana beliau menghadapi beberapa siri tuduhan di negara tersebut sehingga menyebabkannya boleh dihukum penjara selama beberapa dekad jika didapati bersalah oleh hakim mahkamah.
Bekas pemimpin itu telah ditahan sebelum bermulanya satu rampasan kuasa tentera pada awal pagi 1 Februari lalu sekali gus menyebabkan sebuah kerajaan awam digulingkan ketika amalan demokrasi dilaksanakan dalam tempoh yang singkat di Myanmar.
Sejak rampasan kuasa itu berlaku, negara berkenaan terjerumus ke dalam pergolakan apabila lebih 1,200 orang terbunuh dalam tindakan keras yang dilakukan oleh pihak tentera ke atas orang awam yang membantah sebuah kerajaan awam digulingkan.
Situasi itu terjadi selepas parti politik pimpinan Suu Kyi iaitu Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) menang besar dalam pilihan raya umum Myanmar yang diadakan pada November tahun lalu dan bersedia untuk meneruskan lagi penggal pemerintahan selama lima tahun lagi.
Rampasan kuasa itu dilakukan selepas pihak tentera menuduh bahawa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum itu tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya negara tersebut kemudian menafikannya.
Namun, rampasan kuasa tersebut telah menamatkan pemerintahan Suu Kyi dan penahanannya juga menyebabkan bekas Kaunselor Negara itu diketepikan daripada arus gerakan demokrasi Myanmar.
TAHANAN RUMAH
Suu Kyi merupakan anak perempuan kepada wira kemerdekaan negara itu, Jeneral Aung San dan wanita berkenaan pernah menghabiskan masa selama hampir dua dekad menjalani tahanan di rumah ketika pemerintahan rejim tentera negara tersebut.
Bagaimanapun, imejnya di luar negara juga telah tercalar ekoran isu etnik Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar yang berlaku dua tahun selepas kemenangan besar NLD dalam pilihan raya umum pada tahun 2015.
Terdapat kekecewaan global ekoran tindakan keras tentera itu ke atas Rohingya sehingga menyebabkan kira-kira 750,000 etnik tersebut yang tidak pun memiliki kerakyatan sanggup melarikan diri dari kampung-kampung ke negara jiran Myanmar, Bangladesh setelah sebahagian rumah mereka telah dibakar.
Namun, wanita itu masih kekal popular di Myanmar tetapi bagi kebanyakan penduduk muda, revolusi perlu bergerak dengan lebih jauh dan melangkaui gerakan demokrasi yang pernah dipimpinnya pada beberapa dekad lalu.
Pihak junta tentera sebelum ini pernah menawarkan untuk menamatkan penahanan Suu Kyi pada bila-bila masa ketika beliau memperjuangkan demokrasi dengan syarat anak wira kemerdekaan Burma itu perlu meninggalkan negara tersebut buat selama-lamanya tetapi wanita berkenaan enggan melakukannya.
Ia berlaku selepas parti NLD pimpinannya memenangi pilihan raya umum pada tahun 1990 tetapi tidak pernah diberikan peluang memerintah. Sebaliknya pihak tentera terus menahan Suu Kyi di rumahnya selama 15 tahun sejak tahun 1989 di bawah undang-undang tentera kerana usahanya yang memperjuangkan demokrasi.
Pada akhirnya, pihak tentera membebaskan Suu Kyi pada tahun 2010 iaitu beberapa hari selepas pilihan raya umum tetapi pilihan raya itu diboikot oleh parti Suu Kyi.
Lima tahun kemudian, parti NLD pimpinan wanita itu menang besar dalam pilihan raya 2015 dan majoriti yang diperoleh partinya terus meningkat pada pilihan raya November 2020 menyebabkan ia kembali memerintah selama lima tahun lagi.
Bagaimanapun kemenangan besar itu tidak disenangi pihak tentera yang mula mencampuri peranan politik di negara tersebut.
KEPUTUSAN
Walaupun mempunyai hubungan tidak selesa dengan tentera, wanita tersebut masih menafikan etnik Rohingya yang melarikan diri dari negaranya telah dirogol, dibunuh di luar undang-undang dan rumah mereka dibakar tentera pada tahun 2017 dengan beliau sanggup membuat penafian tersebut di sebuah mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Belanda.
Anehnya, beberapa bulan kemudian jeneral-jeneral tentera menggulingkan sebuah kerajaan awam sebelum menangkap beberapa pemimpin NLD termasuk Suu Kyi dan membicarakannya atas pelbagai tuduhan yang boleh menyebabkannya beliau dipenjarakan selama beberapa dekad.
Pada Selasa lalu, sebuah mahkamah yang sepatutnya membuat keputusan berhubung kes beliau menghasut menentang tentera yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun telah ditangguhkan sehingga 6 Disember ini.
Berikutan itu, seorang penganalisis yang pernah berpangkalan di Myanmar, David Mathieson memberitahu AFP bahawa penangguhan tersebut adalah ganjil dan ia bermotifkan politik dan perbicaraan tersebut merupakan satu komedi.
Sebelum ini pun, Suu Kyi turut dituduh di mahkamah kerana didakwa tidak memiliki lesen walkie-talkie, melanggar sekatan Covid-19 semasa pilihan raya umum November tahun lalu, melanggar Akta Rahsia Rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya.
Jika disabit kesalahan atas tuduhan-tuduhan itu, beliau akan dipenjarakan selama beberapa dekad. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca