DALAM Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung baru-baru ini, prestasi Barisan Nasional (BN) dilihat begitu cemerlang dan memberangsangkan. Tidak sesiapapun menjangkakan bahawa Barisan Nasional boleh memenangi 21 daripada 28 kerusi... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung baru-baru ini, prestasi Barisan Nasional (BN) dilihat begitu cemerlang dan memberangsangkan.

Tidak sesiapapun menjangkakan bahawa Barisan Nasional boleh memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

Parti UMNO berjaya merangkul 16 kerusi dengan MCA dua kerusi serta MIC satu kerusi dalam memperoleh dua pertiga majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

Dalam masa yang sama, Pakatan Harapan (PH hanya memenangi lima buah kerusi sahaja. Kemenangan kesemua kerusi tersebut disumbangkan oleh parti DAP (4) dan Amanah (1).

Sebagai induk bagi PH, parti PKR yang bertanding di 11 kerusi menemui kekalahan di semua kawasan tersebut yang mempunyai majoriti pemilih Melayu dan campuran.

Parti Amanah yang bertanding di sembilan kerusi hanya mampu memenangi satu kerusi dan itupun disebabkan kerusi tersebut adalah merupakan kerusi bekas Ketua Menteri Melaka kerajaan PH sebelum ini.

Sementara itu, parti DAP berjaya memenangi empat daripada lapan kerusi yang rata-ratanya mempunyai peratus majoriti pengundi Cina lebih daripada 50 peratus.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) pula hanya memenangi dua kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Daripada 15 kerusi yang bertanding, Bersatu hanya dapat meraih dua kerusi. Satu lagi parti komponen PN, iaitu Parti Gerakan yang bertanding lima kerusi dan Pas yang bertanding lapan kerusi sekadar berputih mata.

ANALISA KEPUTUSAN PRN

PRN pada kali ini merupakan pilihan raya yang julung kali rakyat menyaksikan pertandingan sesama parti yang bergabung untuk membentuk dan mentadbir kerajaan Persekutuan.

PRN Melaka ini juga jelas menunjukkan bahawa majoriti pengundi sudah mula menolak budaya lompat parti dalam medan politik negara yang sudak agak sinonim dengan politik Malaysia pada dewasa ini.

Prestasi BN didapati amat memperangsangkan, manakala prestasi PH dan PN merosot. PKR tidak memenangi sebarang kerusi yang bertanding.

Bersatu pula tidak banyak berubah berbanding PRU14 kerana masih kekal dengan kemenangan dua kerusi di Melaka.

Namun begitu, Bersatu berjaya menembusi kawasan Melayu apabila berjaya merampas kerusi N.11 Sungai Udang daripada UMNO yang mempunyai majoriti pengundi Melayu 79.7 peratus dan N.24 Bemban daripada PKR yang juga terdiri daripada majoriti undi Melayu iaitu 61.23 peratus.

PRESTASI MCA, MIC

Prestasi MCA juga agak memberangsangkan kerana parti ini berjaya memenangi dua kerusi yang mempunyai majoriti Melayu iaitu N.08 Macap Jaya dan N.14 Kelebang.

DUN N08 Macap Jaya hanya mempunyai 40 peratus pengundi Cina, manakalah pengundi Melayu adalah 43.7 peratus dan India 14.2 peratus. Di DUN 14 Kelebang pula, pengundi Cina hanya 30.6 peratus, manakala pemilih Melayu adalah 66.3 peratus dan India 2.6 peratus.

Begitu juga dengan prestasi MIC yang cukup cemerlang kerana berjaya merampas kembali kerusi DUN N.07 Gadek yang dimenangi oleh DAP pada PRU14.

DUN Gadek yang memiliki hanya 17.3 peratus pengundi India berjaya menjatuhkan calon DAP melalui sokongan hebat pengundi Melayu (59.7 peratus) dan Cina (23.5 peratus).

Ini jelas menunjukkan pengundi India kembali sokong MIC kepimpinan Tan Sri SA. Vigneswaran.

Kemenangan MCA dan MIC tersebut jelas menunjukkan bahawa sebahagian besar pengundi Melayu menyokong calon MCA dan MIC seperti yang berlaku pada awal zaman kemerdekaan apabila parti Perikatan, gabungan antara UMNO, MCA dan MIC terbentuk oleh Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan.

Pada keseluruhannya, sokongan tradisi pengundi Cina kepada DAP masih didapati tidak banyak berubah.

Meskipun Bersatu tidak berjaya memenangi banyak kerusi yang ditandinginya di kawasan Melayu, namun didapati sokongan pengundi Melayu kepada parti Bersatu tidak banyak berubah.

Faktor pengundi Melayu pecah atau terbahagi antara Bersatu, PKR, PAS dan Amanah telah menguntungkan UMNO dan boleh dikatakan antara faktor utama yang menyebabkan UMNO memenangi kebanyakan kerusi di kawasan Melayu.

Analisa juga menunjukkan sokongan sebahagian pemilih (signifikan) bukan Melayu mencondong kepada calon BN menyumbang BN mendahului pesaingnya.

Barisan Nasional membuat kebangkitan pada PRN Melaka. - Bernama

Apapun, faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan hebat BN adalah perpecahan pemilih Melayu kepada beberapa parti Melayu sementara sebahagian pemilih bukan Melayu khususnya pemilih India kembali menyokong BN.

Faktor semangat kerjasama antara parti gabungan BN dan jentera pilihan raya BN yang kemas dan teratur juga banyak membantu kemenangan hebat BN.

Sementara itu, salah faham dan perpecahan antara komponan PH terutamanya PKR dan DAP dan jentera pilihan raya PH yang kurang teratur dilihat penyumbang kepada kekalahan teruk PH terutama PKR.

Persoalanya, adakah BN yang berjaya hebat pada PRN Melaka kali ini akan kekalkan semangat untuk menghadapi PN khususnya Bersatu yang dijangka akan terus bergabung bersama PAS pada PRU15.

* Datuk M. Periasamy ialah Penganalisis Sosial Politik

Klik di sini untuk terus membaca