SHAH ALAM - Konsep Keluarga Malaysia merupakan satu tangkal keramat rakyat yang boleh meredakan 'taufan' dalam negara seperti kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kemelut tiga Perdana Menteri.
Timbalan Pengarah Institusi Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib berkata, makna konsep tersebut diibaratkan seperti 'air dicincang tidak akan putus' dan keluarga bersedia menerima kekurangan dan bertolak ansur.
Beliau berkata, ikatan kekeluargaan itu jauh lebih ampuh dan kukuh untuk menarik keupayaan sentimen aspirasi Keluarga Malaysia.
"Saya kira aspirasi Keluarga Malaysia ini supaya rakyat boleh menerima perbezaan kebersamaan untuk memastikan negara ketika ini menang melawan Covid-19.
"Selain itu, aspirasi ini juga untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang seharusnya memberi kesedaran kepada individu, keluarga, komuniti dan masyarakat,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Edisi ke-308 bertajuk 'Keluarga Malaysia: Halatuju dan Harapan' yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian pada Khamis.
Turut menjadi panelis ialah pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fatimah Zuraidah Salleh dan pakar geostrategik, Dr Azmi Hassan, sementara Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar bertindak selaku moderator.
Sementara itu, Kartini berkata, sentimen itu seharusnya berusaha ke arah pemulihan dengan merapatkan jurang ekonomi selain menyatukan rakyat tanpa melihat perbezaan politik khususnya di saat negara sedang beralih kepada fasa endemik.
"Faktor ini sebenarnya mendorong kepada merealisasikan aspirasi konsep Keluarga Malaysia yang boleh diterima dengan baik oleh rakyat secara umumnya,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, PPN merupakan faktor penting kerana ia menggariskan hala tuju strategik yang melibatkan rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan negara dalam berganding bahu memulihkan negara dan kesan daripada impak Covid-19.
"Visi Keluarga Malaysia ini memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi bermatlamat sebagai aspirasi jangka masa panjang yang kalis cabaran masa hadapan.
"Dalam mencapai visi itu perlu berlandaskan keberhasilan kebahagiaan. Ini bukan sahaja meletakkan dalam aspek mental tetapi kekuatan dan kemampuan ekonominya. Kalaulah duit tiada, makan tiada, nak cari sesuap nasi pun sukar, ramai yang kesihatan mental terganggu,” jelas beliau.
Kartini berkata, kesenjangan ekonomi yang berlaku perlu diperkukuhkan dan diperkasakan supaya bantuan yang diberikan dapat disampaikan dengan berterusan serta konsisten.
"Di sini kita minta bukan sahaja kerajaan fokus kepada kebajikan tetapi menggalakkan bantuan daripada sektor korporat kerana mereka telah mengaut keuntungan yang saya kira berkala dan menguntungkan.
"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga harus bergandingan sesuai dengan maksud Keluarga Malaysia itu supaya urusan kebajikan ini dialas bersama,” katanya.
Tambah beliau, rakyat boleh memainkan peranan dengan memahami visi dan misi Keluarga Malaysia dan berusaha untuk bersama menjayakan konsep itu terutama dalam negara bergerak dari krisis pandemik ke endemik.