SHAH ALAM - Konsep Keluarga Malaysia membawa satu makna yang besar dan hasrat serta nafas baharu kepada negara. Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fatimah Zuraidah Salleh berkata, aspirasi itu perlu dihayati oleh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Konsep Keluarga Malaysia membawa satu makna yang besar dan hasrat serta nafas baharu kepada negara.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fatimah Zuraidah Salleh berkata, aspirasi itu perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata, konsep itu bersandarkan kepada tiga prinsip iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

"Dalam hal ini, kebersamaan yang bagaimana yang ingin kita terapkan dalam konteks Keluarga Malaysia apabila kita bercakap tentang ramai masyarakat di luar sana masih memerlukan bantuan.

"Seramai 515,581 rakyat kita yang berada di bawah JKM. Bagaimana kita nak mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan. Bagaimana Keluarga Malaysia itu boleh membantu rakyat yang sedang memerlukan ini untuk keluar.

"Kalau dalam konteks JKM, kita tidak gembira pun dengan jumlah yang begitu ramai. Kita seboleh mungkin memikirkan bahawa ada jalan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Edisi ke- 308 bertajuk 'Keluarga Malaysia: Halatuju dan Harapan' yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian pada Khamis.

Turut menjadi panelis ialah pakar geostrategik, Dr Azmi Hassan dan Timbalan Pengarah Institusi Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib, sementara Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar bertindak selaku moderator.

Sementara itu, Fatimah Zuraidah berkata, konsep Keluarga Malaysia perlu membantu mereka begitu juga anak-anak yang memerlukan perlindungan serta yang terlibat dengan konflik undang-undang.

"Hampir 5,000 anak memerlukan perlindungan, selain 5,000 perlukan pemulihan untuk kembali ke jalan yang benar.

"Jadi di bawah JKM, kita mengimpikan untuk tampil bersama membantu mereka memerlukan supaya meneruskan kelangsungan hidup dan berjalan di atas landasan yang betul.

"Kami di JKM mengharapkan tiada siapa yang tertinggal dalam menikmati segala kesejahteraan sosial,” ujarnya.

Beliau berkata, JKM mewujudkan skuad Keluarga Malaysia bagi membantu di peringkat akar umbi dengan melaksanakan program 'outreach' dengan rakyat Malaysia.

"Pendampingan sosial ini melibatkan semua pihak di peringkat akar umbi. Di sana kita ada di peringkat kampung, mukim, negeri dan komuniti yang besar yang akan membantu konsep Keluarga Malaysia itu satu sama lain.

"Skuad ini ialah sifat bahu membahu dan bantu membantu kerana membawa imej tiga prinsip yang diketengahkan.

"Dalam konteks sekarang, seramai 20,000 berdaftar sebagai jentera di bawah JKM yang akan bergerak yang berada di peringkat keseluruhan mereka yang akan menyalurkan informasi dan bantuan secara terus,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca