SHAH ALAM - Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disaran memperkenalkan semula inisiatif Jihad Perangi Orang Tengah bagi menangani isu kenaikan mendadak harga barang terutama makanan asas di Malaysia akhir-akhir ini.
Pakar sekuriti makanan negara daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Shukor Juraimi berkata, langkah itu penting bagi memastikan masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada perbuatan manipulasi orang tengah dan peniaga, dapat diatasi dengan segera.
Jelas beliau, meskipun negara berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, aktiviti berkaitan pertanian masih berjalan dan sepatutnya tidak timbul isu masalah pengeluaran hasil pertanian.
Tambah Shukor lagi, inisiatif Jihad Perangi Orang Tengah pernah diperkenalkan Ismail Sabri sewaktu beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2013 hingga 2015.
Beliau berkata, inisiatif itu terbukti berkesan dalam mengurangkan amalan manipulasi keuntungan daripada pihak orang tengah, sekali gus memberi manfaat kepada golongan petani dan pengguna akhir.
"Isu kenaikan harga barang terutamanya melibatkan makanan asas memang berpunca daripada perbuatan orang tengah dan segelintir penjual yang mengambil kesempatan dengan memanipulasikan kenaikannya.
"Berdasarkan pemantauan saya, golongan petani masih lagi menjual hasil pertanian kepada peraih atau orang tengah dengan harga sama, sedangkan harga produk itu sudah meningkat di pasaran domestik.
"Saya sangat kesal dengan perbuatan manipulasi keuntungan sebegini dan bersetuju inisiatif Jihad Perangi Orang Tengah yang pernah diperkenalkan Ismail Sabri sewaktu menjadi Menteri Pertanian diperkenalkan semula,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kenaikan mendadak harga barang termasuk makanan asas, alat ganti kenderaan dan bahan binaan yang memberi kesan kepada rakyat yang masih berdepan dengan pandemik Covid-19.
Tinjauan Sinar Premium di beberapa negeri mendapati kenaikan harga barang berlaku pada sekitar 10 hingga melebihi 80 peratus mengikut jenis harga barang dan dengan pengguna mengharapkan kenaikan itu hanyalah sementara.
Mengulas lanjut, Shukor juga tidak menolak kemungkinan faktor berlakunya manipulasi harga barang disebabkan ada orang tengah mahu menggunakan isu berkenaan bagi mendesak kerajaan menambahkan pengeluaran permit import (AP) produk makanan asas.
Meskipun tiada bukti kukuh, beliau mengakui trend itu boleh dilihat berasaskan alasan kenaikan harga barang kononnya disebabkan bekalan barangan berkaitan tidak mencukupi.
"Bagi saya, kerajaan perlu menyiasat perkara ini sehingga ke peringkat akar umbi dengan kebenaran pengeluaran AP produk makanan asas sepatutnya hanya berlandaskan data dan unjuran tepat dikemukakan kementerian.
"Saya tidak menafikan peranan orang tengah sedikit sebanyak penting untuk melancarkan pengedaran bekalan makanan asas ke seluruh negara.
"Namun, jika tiada satu usaha kawal selia atau pemantauan ketat terhadap mereka, sebarang inisiatif diperkenalkan kerajaan kelak bakal dianggap retorik kerana punca sebenar permasalahan tidak ditangani sebaiknya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca