SEMUA orang mempunyai perasaan takut, tidak kiralah takut mati atau takut pada tempat yang tinggi. Namun bukan semua anak kecil merasai perasaan yang sama apabila memanjat balkoni di tingkat 20 kondominium. Pemandangan di luar tingkap atau... Klik di sini untuk terus membaca

SEMUA orang mempunyai perasaan takut, tidak kiralah takut mati atau takut pada tempat yang tinggi. Namun bukan semua anak kecil merasai perasaan yang sama apabila memanjat balkoni di tingkat 20 kondominium.

Pemandangan di luar tingkap atau balkoni boleh berubah ibarat warna-warni pelangi. Apatah lagi pada usia itu, mereka sentiasa mahu meneroka tanpa mengetahui ajal yang menunggu di bawah sana.

Mungkin inilah penjelasan mengapa kejadian kanak-kanak khususnya di bawah usia lima tahun terjatuh dari kediaman bertingkat tinggi terus berlaku dari masa ke masa.

17 November 2021: Kanak-kanak berusia lima tahun maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Batu Caves, Selangor. Situasi: Mangsa memanjat katil di tepi tingkap yang tidak berjeriji.

16 November 2021: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Situasi: Mangsa dipercayai ditinggalkan bersendirian di rumah oleh bapanya yang keluar membeli barang dalam keadaan pintu berkunci.

26 Oktober 2021: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kuarters penjawat awam di Putrajaya. Situasi: Mangsa sedang belajar secara dalam talian di bilik tidur seorang diri, bilik itu berkunci dari dalam manakala jeriji tingkap terbuka.

Tragedi kanak-kanak maut terjatuh bangunan berlaku di seluruh dunia, seiring banyaknya kediaman bertingkat. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Asia Tenggara mempunyai salah satu kadar kematian paling tinggi akibat terjatuh dan menjadi penyebab kematian ke-12 dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 hingga 9 tahun - 66 peratus daripada kes melibatkan kanak-kanak berlaku dari tempat tinggi.

Insiden ini nampak terpencil, malangnya sering menghantui banyak keluarga yang tinggal dalam kediaman bertingkat yang cantik dengan sambungan balkoni menarik.

PEMAJU PERUMAHAN

Susulan beberapa insiden ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, baru-baru ini mengusulkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya memastikan pemaju projek perumahan bertingkat mengutamakan keselamatan penghuni dengan membina penghadang yang lebih tinggi iaitu sekurang-kurangnya separas dada orang dewasa.

Sehebat mana pun sesebuah kondominium ia masih tidak sempurna jika masih terdedah kepada bahaya kerana tiada jeriji keselamatan, kata beliau.

Shahidan tentulah lebih memahami isu ini susulan anak bongsu beliau yang berusia tiga tahun, Ameer Mohammad Fawwaz, meninggal dunia setelah terjatuh dari tingkat 31 kondominium Sri Bistari, Jalan Putra, Kuala Lumpur pada 10 Disember 2001.

Penduduk Lembah Klang sudah lebih enam juta sekarang. Pihak pemaju sudah lama sedar tentang hal ini, jadi makin banyak kondominium dibina untuk memenuhi kehendak pembeli yang mahu tinggal dekat dengan bandar.

Tidak dinafikan ramai yang mengidamkan rumah landed. Tapi harga rumah teres di Lembah Klang sekarang tiada yang di bawah RM500,000.

Lebih-lebih lagi rumah semi-D atau banglo, mampu ternganga sajalah menengoknya. Pilihan yang ada ialah kediaman bertingkat sama ada flat, apartmen atau kondominium. Harga di bawah RM400,000 masih boleh dicari.

Lebih bertuah kalau ia mempunyai balkoni dengan pemandangan indah kota metropolitan, gunung-ganang atau lebuh raya bertingkat.

Buat masa ini, keperluan pemasangan jeriji di kediaman tinggi bukan perkara yang disyaratkan oleh undang-undang, namun menjadi satu keperluan terutama untuk melindungi keluarga yang mempunyai anak kecil.

Sudah sampai masanya pemasangan jeriji di bangunan kediaman diwajibkan. Khabarnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang mempertimbang cadangan agar pemaju dikehendaki membina jeriji atau penghadang yang lebih tinggi.

Harapnya ia akan menjadi kenyataan, bukan hangat-hangat tahi ayam. Kita tidak mahu insiden jatuh bangunan menjadi norma baharu di bandar.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca