PERTEMUAN dengan wakil Turkish Aerospace Industries Incorporation (TAI), Abdullah Ucak di Putrajaya seminggu lalu sangat ringkas tapi penuh bermakna. Ucak menjelaskan Turkish Aerospace memilih Malaysia sebagai pangkalan baharu di rantau... Klik di sini untuk terus membaca

PERTEMUAN dengan wakil Turkish Aerospace Industries Incorporation (TAI), Abdullah Ucak di Putrajaya seminggu lalu sangat ringkas tapi penuh bermakna. Ucak menjelaskan Turkish Aerospace memilih Malaysia sebagai pangkalan baharu di rantau Asia Tenggara antara faktornya ialah selepas membaca artikel bertajuk ‘Malaysia Perlu Contohi Turki’ terbitan Sinar Harian pada 3 September lalu.

Paling menarik, Ketua Pegawai Eksekutif TAI, Profesor Dr Temel Kotil pula menjelaskan pemilihan Malaysia disebabkan TAI sudah lama menjalinkan persahabatan dengan beberapa jabatan penting di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) khususnya MIMOS Berhad.

Dalam perbualan penulis dengan seorang Pengarah Kanan Mimos, terselit cerita tentang penglibatan Turki di rantau Asia Tenggara sejak zaman Kesultanan Melaka pada era 1500-an. Selain Melaka, Turki pada zaman Empayar Usmaniah turut menghantar bala tentera membantu Sultan Acheh memerangi Belanda.

Namun, dalam konteks kerjasama di antara TAI dan Selangor Technical Skills Development Centre Shah Alam (STDC), penulis percaya ia umpama ‘orang mengantuk disorongkan bantal’.

Keputusan TAI meyakinkan penulis bahawa industri aeroangkasa di Selangor dan Malaysia mampu diangkat ke tahap memberangsangkan.

PLATFORM ANAK MUDA MALAYSIA

Sebenarnya bidang kejuruteraan seperti aeronautik, perkakasan komputer, elektronik dan mekanikal ialah platform kepada anak muda yang cemerlang dalam subjek asas fizik, kimia dan matematik.

Jurutera aeroangkasa kebiasaannya menjadi pakar satu atau lebih bidang berkaitan aerodinamik, termodinamik, metalurgi, mekanik cakerawala, mekanik penerbangan, pendorongan, akustik, sistem bimbingan dan sistem kawalan mantap.

Sementara itu, sub bidang kemahiran profesional pula berkaitan aeroelastik, getaran, reka bentuk struktur dan badan, dinamik struktur, analisis operasi, pengurusan projek, kejuruteraan angkasa lepas, enjin jet, enjin roket, simulator penerbangan, kemudahan tanah, avionik, sistem keselamatan dan pertahanan, model dan reka bentuk sistem kawalan, alat pembangunan aplikasi perisian, ujian penerbangan dan ujian makmal.

Justeru, penulis tabik kepada kejayaan MITI dan kerajaan Selangor dalam meyakinkan TAI untuk membuka pejabat baharu kejuruteraan dan reka bentuk di Putrajaya Futurise. Majlis pembukaan pejabat baharu TAI disaksikan Menteri Kanan MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kepentingan jalinan kerjasama dua negara disebut dalam Surah Al-Anfal ayat [8:60-61] bermaksud, ‘Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka (dengan) kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh ALLAH, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang ALLAH mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan ALLAH nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan); Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada ALLAH. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.’Penulis percaya kerjasama ini membolehkan gabungan kepakaran bagi membangunkan aliran kerja berteknologi tinggi dan profesional demi industri aeroangkasa Turki serta Malaysia. Justifikasinya ialah Turki telah membangunkan sektor pertahanan aeroangkasa paling pesat di dunia. TAI juga telah mencapai banyak kejayaan teknologi pertama dalam bidang ini untuk dunia Islam.

Bagi memastikan kerjasama TAI-Malaysia-Selangor berjaya menepati sasarannya, anak muda di negara ini perlu segera memanfaatkan keputusan Kotil. Dalam dunia aeroangkasa, nama beliau cukup besar kerana pernah mengetuai Jabatan Penyelidikan, Perancangan dan Penyelarasan di Advance Innovative Technologies Inc di New York. Ketika ini, beliau ialah Presiden Persatuan Syarikat Penerbangan Eropah (AEA) sejak 2014. Pengalamannya dalam bidang kejuruteraan aeronautik, memastikan Turki muncul pembangun dan pengamal teknologi serta inovasi ketenteraan tercanggih di dunia.

Kesimpulannya, keputusan terbaru TAI memilih Malaysia sebagai pangkalan baharu di rantau Asia Tenggara boleh dianggap pemangkin kepada sektor industri aeroangkasa di negara ini.

* Profesor Ir Dr Muhidin Arifin ialah Ketua Operasi Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) Selangor

Klik di sini untuk terus membaca