KASHMIR yang ditadbir oleh India menghadapi peningkatan ancaman daripada kumpulan yang dikenali sebagai militan hibrid sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pasukan keselamatan India. Nama militan hibrid Kashmir itu telah... Klik di sini untuk terus membaca

KASHMIR yang ditadbir oleh India menghadapi peningkatan ancaman daripada kumpulan yang dikenali sebagai militan hibrid sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pasukan keselamatan India.

Nama militan hibrid Kashmir itu telah didengari sejak Julai lalu tetapi ia semakin mendapat perhatian pada Oktober lepas di wilayah tersebut selepas dua orang guru menjadi sasaran pembunuhan yang dirancang terlebih dahulu.

Perkataan hibrid mula muncul selepas militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan yang kurang dikenali iaitu The Resistance Front (TRF) atau Barisan Penentangan bertindak membunuh dua guru bukan Islam di dalam sebuah sekolah kerajaan pada 7 Oktober lalu.

Militan-militan hibrid itu dianggap oleh Ketua Polis Kashmir, Vijay Kumar sebagai pengganas yang menyamar sebagai orang awam dan melakukan pembunuhan sebagai pekerjaan sampingan.

Mereka dipercayai melakukan banyak serangan dan selepas melakukan perbuatan itu, militan tersebut kembali bergaul dalam masyarakat dan ia menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk melakukan pengesanan apatah lagi membuat tangkapan.

Kebanyakan pembunuhan itu dilakukan ke atas orang awam dan anggota keselamatan India.

Bagaimanapun, para militan hibrid yang sanggup melakukan pembunuhan itu tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah pada masa lampau dan nama mereka juga tidak ada dalam senarai rekod agensi perisikan di negara tersebut.

Berikutan rekod yang bersih, mudah bagi mereka untuk bergerak secara bebas dan tanpa dapat dikesan oleh pihak berkuasa India.

Pembunuh-pembunuh sambilan itu juga dikatakan lebih suka menggunakan senjata api yang kecil kerana mereka melepaskan tembakan ke arah mangsa pada jarak dekat dan melarikan diri dengan cepat bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

Selepas melakukan tugas membunuh itu, militan itu kembali menjalani kehidupan seharian dan bercampur dengan masyarakat.

PENINGKATAN SERANGAN

Dalam kejadian pembunuhan dua guru di Srinagar iaitu bandar paling besar di Kashmir dan Jammu, lebih 300 orang ditahan untuk disoal siasat dengan kebanyakannya dibebaskan dan antara yang ditahan itu ialah anggota-anggota organisasi haram Jamat-e-Islami.

Sehingga kini tiada militan hibrid yag berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa India.

Pada masa lalu, kerajaan India mampu melemahkan aktiviti 'keganasan tradisonal' di Kashmir kerana pada kebiasaannya, ancaman tersebut datangnya daripada organisasi yang kurang mendapat sokongan namun ia kini mengalami cara baharu penentangan terhadap New Delhi di Kashmir.

Penduduk Kashmir berjuang menuntut kemerdekaan dari India dan sebahagian mereka mahu menjadi wilayah dalam Pakistan. - Foto AFP

Peningkatan serangan ganas di Kashmir yang ditabir oleh India itu meningkat sejak akhir-akhir ini sehingga 33 orang dilaporkan terbunuh sejak Oktober lalu manakala operasi-operasi bagi memerangi kejadian tersebut oleh pasukan keselamatan negara itu juga meningkat.

India dan Pakistan terlibat dalam perbalahan dengan Pakistan berhubung tuntutan pemilikan penuh wilayah Kashmir yang didiami majoriti penduduk Islam dan ia juga menjadi tempat kebangkitan penentangan terhadap pentadbiran New Delhi sejak tahun 1990an lagi.

Sebelum ini, India menyalahkan Pakistan kerana menyokong kebangkitan penduduk bagi menentang New Delhi di wilayah tersebut tetapi dakwaan tersebut dinafikan oleh Islamabad yang menjelaskan bahawa ia hanya memberikan sokongan moral ke atas penduduk Kashmir.

Selama berdekad-dekad lalu, India bergelut untuk melemahkan sentimen pemisahan Kahsmir dari pemerintahan New Delhi dalam kalangan penduduk tempatan kerana ia satu-satunya wilayah di India yang mempunyai majoriti penduduk Islam di negara tersebut.

Pada tahun 2019, Perdana Menteri India, Narendra Modi menghapuskan Artikel 370 Perlembagaan negara tersebut bagi menamatkan kuasa autonomi wilayah tersebut dan memisahkan taraf negeri yang dinikmati oleh Kashmir kepada wilayah milik Persekutuan.

Wilayah milik Persekutuan itu bukan sahaja mengandungi Kashmir dan Jammu tetapi turut disertai wilayah Ladakh yang mempunyai majoriti penduduk beragama Buddha.

Sehubungan itu, kumpualan TRF muncul ketika wilayah Kashmir distrukturkan semula iaitu pada tahun 2019.

Kumpulan-kumpulan pemberontak juga telah berjuang menentang askar-askar India sejak lebih tiga dekad lalu bagi menuntut kemerdekaan untuk Kasmir atau bergabung dengan negara jiran India iaitu Pakistan.

Konflik itu telah menyebabkan puluhan ribu orang awam, askar dan pemberontak terbunuh. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca