[MUKADIMAH] Menjelang penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 Isnin ini, ramai pemerhati politik yang berpandangan skrip kemenangan dilakar Barisan Nasional (BN) Sarawak pada pilihan raya negeri tahun 2016 dijangka bakal... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Menjelang penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 Isnin ini, ramai pemerhati politik yang berpandangan skrip kemenangan dilakar Barisan Nasional (BN) Sarawak pada pilihan raya negeri tahun 2016 dijangka bakal berulang.

Bahkan, parti-parti dalam BN Sarawak yang telah dijenamakan semula sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas kekalahan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), turut dijangka mendapat kelebihan berbanding pencabarnya termasuk Pakatan Harapan (PH).

Persoalannya, mampukah Tan Sri Abang Johari Tun Openg (Abang Jo) menambahkan lagi kerusi GPS pada PRN kali ini mengatasi kemenangan besar Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) yang mendapat 72 kerusi pada PRN11.

Berikutan itu, wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN berkesempatan mendapatkan pandangan Timbalan Ketua, Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), PROFESOR DATUK DR JAYUM ANAK JAWAN bagi mengupas peluang GPS dan PH serta masa hadapan politik Sarawak selepas pilihan raya negeri itu.

Bagi saya, gabungan parti dalam GPS tiada masalah memenangi semula PRN pada tahun 2021 kelak - Jayum Jawan

SINAR PREMIUM (SINAR): Adakah GPS di bawah teraju bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mampu mengekalkan penguasaan lebih 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagaimana dicapai koalisi itu pada PRN Sarawak ke-11 di bawah nama BN Sarawak?

JAYUM JAWAN: Kedudukan GPS (sebelum ini BN Sarawak) adalah kukuh. Pertukaran nama adalah bersifat kosmetik.

Sama ada GPS atau BN, parti utama dalam GPS dan BN masih merupakan Parti Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang mewakili semua etnik di negeri berkenaan.

Sebelum tahun 2018, yang menang ialah PBB, PRS, SUPP dan PDP bukan BN. Begitu juga sekiranya GPS kelak, parti yang akan menang pada PRN Sarawak tahun 2021 adalah parti sama iaitu gandingan PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Bagi saya, gabungan parti dalam GPS tiada masalah memenangi semula PRN pada tahun 2021 kelak.

Peluang memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga kerusi DUN Sarawak juga bukan di luar kemampuan GPS secara keseluruhannya walaupun saya nampak ada ‘kecederaan’ berlaku dalam struktur kepimpinan PRS, SUPP dan PDP.

PBB yang dipimpin Abang Johari dijangka dapat menyapu bersih semua kerusi majoriti Melayu dan Melanau yang ditandingi, manakala bagi kerusi majoriti Dayak pula, parti itu berkemungkinan akan hilang sama ada satu atau dua kerusi.

Sementara itu, saya ramalkan bahawa SUPP akan memperoleh sedikit kerusi kembali daripada DAP kerana rakyat sudah tidak percaya kepada DAP.

Penyokong DAP masih mendambakan banyak janji manis yang ditabur pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tetapi DAP bersama koalisi PH gagal menunaikannya di peringkat Persekutuan.

Justeru, DAP dijangka akan dihukum sedikit oleh pengundi Cina.

Tekanan paling besar akan dirasai PRS pada PRN Sarawak kali ini kerana parti itu baru sahaja kehilangan seorang pemimpin utama yang sangat berpengaruh iaitu bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mendiang Tan Sri James Jemut Masing baru-baru ini.

Justeru, kehilangan aura dan karisma bekas panglima besar PRS akan dirasai parti itu melalui beberapa kerusi panas yang bakal ditandingi mereka.

Terakhir melibatkan parti PDP, parti itu dilihat cuba berkelakuan 'nakal' kerana pucuk kepimpinan seolah-olah cuba berebut kerusi-kerusi DUN yang lazimnya ditandingi rakan sekutu iaitu SUPP, seperti di DUN Bawang Assan.

Berdasarkan situasi di atas, unjuran GPS mampu memenangi sekurang-kurangnya 60 kerusi DUN pada PRN Sarawak adalah realisitik kerana pihak lawan berada dalam keadaan lemah.

Bagaimana Datuk melihat kedudukan pencabar GPS terutama PH menjelang PRN Sarawak?

PH dijangka tidak akan memberikan saingan hebat kepada GPS.

Kegagalan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk mengekalkan keputusan menggunakan lambang PH sebelum ini dan memutuskan kembali menggunakan lambang parti sendiri pada PRN Sarawak membuktikan tiada kata sepakat antara mereka.

Lebih-lebih lagi DAP akan dihukum oleh penyokong etnik Cina kerana parti itu telah berjanji banyak dan gagal menunaikan janji tersebut sebaik sahaja PH mengambil alih kerajaan Pusat daripada BN selepas PRU14.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dijangka tidak akan mendapat sambutan kerana parti berkenaan gagal mengenali nadi Sarawak secara penyeluruh.

PKR Sarawak juga berhadapan dengan krisis kepimpinan susulan parti itu sudah bertukar pengerusi beberapa kali dengan bekas pengerusinya mengambil keputusan keluar parti.

Ini menunjukkan PKR seolah-olah tidak mempunyai kualiti pemimpin yang diperlukan rakyat Sarawak selain parti itu sering dianggap tidak memahami tuntutan masyarakat negeri berkenaan.

Apakah isu-isu penting yang mungkin akan menjadi tumpuan dalam kempen PRN Sarawak kali ini dan adakah isu-isu berkenaan mampu mempengaruhi landskap politik negara di peringkat Pusat?

Setakat ini, saya tidak nampak ada isu baharu yang akan didendangkan oleh mana-mana parti.

Sebaliknya, isu-isu politik yang akan dibangkitkan adalah merupakan isu kitar semula seperti tuntutan tanah adat, janji memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembangunan negeri yang tidak seimbang antara kawasan dan etnik serta monopoli satu etnik ke atas sumber kekayaan negeri dan agihan sumber serta pentadbiran kerajaan.

Sejujurnya, keputusan PRN Sarawak tidak dapat digunakan sebagai cermin bagi melihat atau meramalkan apa yang akan berlaku di peringkat PRU Persekutuan.

Hal ini kerana Sarawak adalah negeri terdiri daripada rakyat berbilang etnik dengan kerajaan tidak dapat dibentuk tanpa kerjasama antara dua atau lebih etnik.

Hal ini berbeza dengan keadaan di peringkat Persekutuan di mana kerajaan Persekutuan boleh ditegakkan dengan sokongan dan kemenangan mana-mana parti majoriti Melayu seperti UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, PKR atau Parti Amanah Negara (Amanah) tanpa memerlukan sokongan etnik lain.

Begitu juga dengan landskap politik di kebanyakan negeri di Semenanjung. Ini kerana struktur atau sifat perundangan di peringkat Parlimen dan DUN di negeri-negeri di Semenanjung membenarkan keadaan itu berlaku.

Bagaimana Datuk melihat keputusan Pas bertanding pada PRN Sarawak kali ini?

Etnik Melayu dan Melanau dijangka tidak akan memberikan walau satu kerusi kepada Pas atau mana-mana parti Semenanjung lain, baik parti tempatan mahupun parti dari luar Sarawak.

Hal ini kerana kekuatan dan tuntutan mengemudikan kerajaan Sarawak bergantung kepada solidariti undi dan sokongan etnik Melayu dan Melanau yang majoritinya berada di belakang PBB.

Saya tidak hairan kalau Pas bakal hilang wang pertaruhan apabila calonnya bertanding di kawasan etnik Melayu dan Melanau di Sarawak.

Melihat keadaan sebegitu, keputusan Pas itu juga tidak akan memberi kesan kepada hubungan kerajaan campuran BN-PN dengan GPS sekiranya parti itu berjaya mengekalkan mandat mentadbir kerajaan negeri Sarawak kelak.

Dengan keputusan UMNO dan Bersatu tidak bertanding pada PRN Sarawak, adakah itu satu isyarat PRN Sarawak masih berpaksikan landskap sokongan rakyat berasaskan kenegerian dan etnik kaum?

UMNO tidak akan bertanding di Sarawak kerana parti itu tidak lagi mempunyai rakan sekutu sebagaimana sebelum PRU14.

Secara mudah, BN dan UMNO lesap daripada Sarawak apabila PBB, PRS, SUPP dan PDP bersalin kulit menjadi GPS.

Bersatu juga tidak bersedia untuk masuk bertanding kerana wakil rakyat parti itu terhad kepada dua ahli Parlimen yang dahulunya bebas sebelum membuat keputusan menyertai parti itu.

Selain itu, parti itu masih mendambakan hubungan baik dengan GPS di peringkat Pusat susulan gagasan itu ketika ini cenderung mengekalkan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN).

Adakah PRN Sarawak bakal menyaksikan limpahan penyertaan calon Bebas sebagaimana berlaku pada PRN Melaka, 20 November lalu?

Lazimnya, calon Bebas tidak ada peluang untuk menang.

Sekalipun mereka mampu menang, ia berlandaskan dua faktor utama iaitu mendapat sokongan daripada pihak tidak dicalonkan dalam pilihan raya berkenaan atau ada pihak belakang tabir yang cuba mengugat kedudukan DUN berkenaan dengan memastikan rakan sekutu mereka kalah.

Saya anggap calon Bebas sukar menang kerana mereka tidak ada jaringan dan jentera pilihan raya yang kukuh untuk membantu mereka berkempen.

Atas faktor itu, amat sukar untuk kita menyaksikan penyertaan lebih ramai calon Bebas pada PRN Sarawak.


INFO PRN SARAWAK


Jumlah kerusi DUN Sarawak: 82 kerusi

Jumlah pengundi: 1.2 juta

Kos: RM150 juta

Kerusi dimenangi GPS (Dahulu BN) pada PRN11: 72 DUN

Kerusi dimenangi PH pada PRN11: 10 DUN

Jumlah pengundi etnik Cina: 365,417 (30.45 peratus)

Jumlah pengundi etnik Iban: 306,942 (25.57 peratus)

Jumlah pengundi etnik Melayu/Melanau: 304,781 (25.4 peratus)

Jumlah pengundi etnik Bidayuh: 85,044 (7.1 peratus)

Jumlah pengundi etnik Ulu: 45,406 (3.8 peratus)

Klik di sini untuk terus membaca