DALAM sebuah firma dengan kakitangannya berjumlah berpuluh ribu orang dan beroperasi di seantero dunia, hanya ada satu cara sahaja untuk menyampaikan mesej secara jelas, jujur, berterus-terang serta berani iaitu melalui rakaman video.
Itulah yang dilakukan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz kepada seluruh kakitangannya baru-baru ini.
Petronas, firma gergasi minyak dan gas Malaysia yang disenaraikan di Fortune 500 telah dicemarkan dengan isu rasuah dan korupsi – satu amalan yang tidak pernah kita dengar sebelum ini – sehingga menggoncang dan menggegarkan menara berkembarnya ke tahap yang membimbangkan.
Kini, di tangan Tengku Taufik dan pengurusan kanannya, mandat untuk membersihkan nama Petronas serta memastikan organisasi itu tidak terjejas akibat korupsi menjadi harapan masyarakat dan negara.
Maka, hantaran mesej video Tengku Taufik itu bukan sahaja tepat pada masanya tetapi amat-amat diperlukan oleh Petronas walaupun reputasi dan integriti Petronas itu sendiri telah tercemar.
Tetapi pemimpin yang baik adalah pemimpin yang berazam untuk bangun daripada bencana dan enggan tunduk kepada ancaman yang berada di sekelilingnya.
Mesej video Tengku Taufik itu dibuat selepas Petronas mengambil tindakan memecat sembilan orang kakitangannya ekoran siasatan dalaman mendapati mereka terlibat dalam kegiatan korupsi dan rasuah ke tahap yang tidak pernah difikirkan.
Tengku Taufik bukan sahaja telah memberi teguran dan amaran keras kepada semua kakitangannya berhubung soal rasuah menerusi hantaran video tersebut, malah turut menegaskan Petronas tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan yang pecah amanah dan bertindak untuk kepentingan diri sendiri serta memperoleh imbuhan daripada pihak-pihak yang berurusan dengan mereka.
Dalam hantaran video secara dalaman itu, Tengku Taufik telah menyentuh tentang isu (amalan rasuah dan korupsi) yang beliau sendiri sifatkan sangat-sangat membimbangkan, sambil menegaskan bahawa soal integriti kekal menjadi keutamaan Petronas.
Dalam mesej videonya itu, Tengku Taufik secara spesifik menyentuh mengenai kes korupsi melibatkan kakitangan Petronas yang kini sudah pun di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Secara spesifik, mereka telah didapati terlibat dalam satu skim haram berkaitan kontrak-kontrak perkhidmatan dan penyelenggaraan di bawah projek subsidiari huluan dan juga urusan berkaitan dengan kontraktor Petronas.
"Apabila fakta-fakta mengenai kegiatan ini terbongkar, siasatan mendapati terdapat beberapa siri pembayaran tunai atau percutian yang dibayar ke lokasi eksotik yang ditanggung oleh para kontraktor Petronas.
"Biarlah saya berterus terang di sini. Ia adalah sangat-sangat mengecewakan untuk perkara seperti ini muncul di saat kita semua sedang berhadapan dengan ujian yang pelbagai, sedangkan sebahagian besar daripada anda semua telah berkorban dan terus bekerja dengan penuh tekun untuk mengekalkan Petronas terus berdaya saing,” ujar Tengku Taufik.
Tambahnya, kos yang terpaksa ditanggung akibat perbuatan rasuah itu telah menjejaskan ekosistem bisnes Petronas.
Dalam rakaman video tersebut, beliau menegaskan betapa akibat perbuatan berkenaan, keselamatan aset, keselamatan rakan-rakan sekerja yang lain telah dikompromi.
Ia termasuklah meningkatkan kos operasi harian Petronas, menjejaskan hasil projek dan yang paling menyedihkan adalah menghancur serta memusnahkan reputasi Petronas.
PEMECATAN
Sinar Harian difahamkan, siasatan lanjut dalaman masih berterusan dan memetik kata-kata Tengku Taufik sendiri dalam rakaman video itu: "Yakinlah, sebarang bukti salah laku akan menjurus kepada pemecatan tanpa kompromi, tanpa penyesalan.”
Dan beliau menambah, tanggungjawab dan amanah sangat-sangat diperlukan pada saat ia amat sukar untuk dilakukan.
Malah, integriti adalah sebahagian daripada nilai bersama yang dijunjung oleh Petronas dan ia harus diterjemahkan oleh setiap seorang eksekutif Petronas.
"Hanya dengan menegakkan nilai-nilai bersama yang kita kongsi dan diberi peluang serta keistimewaan untuk memberikan perkhidmatan sebagai rakan kongsi, sama ada kepada pemegang taruh kita, pelabur, pelanggan, vendor dan masyarakat di dalam dan luar negara sahaja yang dapat menyelamatkan Petronas daripada ancaman korupsi ini.
"Pemegang taruh dan pemegang saham menuntut setiap seorang daripada kita berpegang kepada amanah serta kepercayaan yang diletakkan di atas bahu kita ini," ujarnya lagi.
Tambah beliau, pada saat dan ketika inilah, daya setiap seorang daripada kakitangan Petronas akan diuji dan pada saat inilah juga, mereka seharusnya menunjukkan keberanian serta kekuatan menentang korupsi dan menolak rasuah.
Dalam video tersebut, pemimpin nombor satu Petronas itu turut menyeru semua kakitangannya menghormati apa yang telah diamanahkan ke atas mereka dan berpegang teguh kepada sikap yang sepatutnya ditunjukkan oleh mereka sebagai ketua serta pemimpin organisasi untuk dicontohi oleh kakitangan di bawah pimpinan mereka.
"Pihak pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM serta pihak berkuasa yang lain dalam usaha membanteras ancaman korupsi ini ke atas Petronas,” tegas beliau lagi.
Malah, Tengku Taufik berikrar bahawa beliau akan melaksanakan tanggungjawabnya untuk menyingkirkan mana-mana individu yang mengamalkan korupsi, sama ada secara sendirian atau atas kapasiti sebagai kakitangan Petronas atau berkolaboratif dengan pihak luar yang menyalurkan perkhidmatan kepada Petronas mahupun kontraktor-kontraktor Petronas.
"Kepada individu-individu ini, izinkan saya untuk melafazkan satu ikrar bagi pihak pengurusan dan kakitangan Petronas yang lain.
"Sebaik sahaja kamu didapati terlibat dengan apa juga bentuk korupsi dalam Petronas dan selepas siasatan, kamu memang didapati terlibat serta bersalah mencemarkan nama baik dan masa depan organisasi ini, kami akan menyingkirkan kamu tanpa rasa kesal dan penyesalan.”
Pada saat dan ketika inilah, daya setiap seorang daripada kakitangan Petronas akan diuji dan pada saat inilah juga, mereka seharusnya menunjukkan keberanian serta kekuatan menentang korupsi dan menolak rasuah.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca