SHAH ALAM - Langkah kerajaan meningkatkan pengeluaran permit import (AP) bekalan makanan asas bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang sebenarnya bukan solusi jangka panjang dalam menjaga kemampanan tahap sekuriti makanan negara.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Langkah kerajaan meningkatkan pengeluaran permit import (AP) bekalan makanan asas bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang sebenarnya bukan solusi jangka panjang dalam menjaga kemampanan tahap sekuriti makanan negara.

Sebaliknya, pengasas Malaysian Agropreneur Network, Amy Ashraff Suriadi, 35, menegaskan inisiatif kebergantungan kepada import makanan asas untuk menstabilkan harga sebenarnya memberi kesan mudarat yang jauh lebih besar kepada industri pertanian dan asas tani sendiri.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya membenarkan pengeluaran AP bekalan makanan asas hanya pada saat kritikal di mana tahap pengeluaran produk pertanian di peringkat domestik benar-benar berkurangan dan terjejas daripada angka disasarkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI).

Amy Ashraff (kanan) meninjau proses pengeluaran hasil tembikai di salah satu kebun miliknya di Kuantan, Pahang.

Selain itu, beliau menegaskan punca berlakunya kenaikan harga melibatkan produk makanan asas seperti sayur-sayuran, ruminan, ayam dan telur serta buah-buahan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu orang tengah.

"Untuk makluman, di peringkat persatuan, kami bukan menolak keperluan import produk makanan asas secara total memandangkan kadar sara diri untuk tanaman penting seperti cili di negara ini hanya mencapai 30 peratus sahaja.

"Bagaimanapun, kerajaan perlu meletakkan had pengeluaran kuota AP bagi setiap produk makanan asas dengan kuota tidak boleh dikekalkan sama pada sepanjang tahun.

"Pihak kementerian perlu mewujudkan satu sistem data berasaskan 'real time dashboard data' di mana keperluan mengimport hanya dipertingkatkan pada saat berlaku kekurangan bekalan, sekali gus tidak menyebabkan lambakan pada saat pengeluarannya di peringkat domestik memberangsangkan," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan bekalan ayam import dan ikan sejuk beku yang disimpan sebagai stok di bawah program Q'Fish dilambakkan dalam pasaran sebagai langkah segera menstabilkan harga.

Mengulas lanjut, Amy Ashraff menegaskan kerajaan melalui MAFI sepatutnya lebih cakna mendengar permasalahan dihadapi golongan petani dan pekebun di negara ini yang ketika ini bukan sahaja berhadapan dengan masalah kenaikan harga input pertanian melebihi 200 peratus, bahkan turut berdepan kenaikan harga makanan haiwan melebihi 50 peratus.

HARGA LANTAI MAKANAN ASAS

Selain itu, Amy turut menggesa kerajaan memperkenalkan harga lantai bagi setiap produk makanan asas yang dijual termasuk sayur-sayuran.

Hal ini kerana apabila pendekatan harga lantai diwujudkan kerajaan, golongan petani sudah boleh nampak angka keuntungan minimum yang diperolehi mereka selain mengurangkan aktiviti manipulasi harga daripada orang tengah.

"Jika tiada solusi kerajaan dalam menangani masalah harga produk pertanian yang tidak menentu ditambah masalah lambakan hasil pertanian disebabkan kemasukan import makanan asas yang tidak terkawal, saya bimbang trend peningkatan orang muda untuk menceburi aktiviti pertanian ketika ini akan semakin terhakis.

Produk pertanian dikumpulkan terlebih dahulu di pusat pengumpulan ladang sebelum dibeli oleh pemborong.

"Dengan negara sanggup membelanjakan RM50 bilion bagi tujuan mengimport bekalan makanan, mengapa kerajaan tidak menggunakan dana itu untuk memperkukuhkan pengeluaran pertanian domestik selain mempertingkatkan keberkesanan di setiap rantaian pengeluaran makanan asas demi keperluan rakyat?," katanya.

JAUH KETINGGALAN

Menyentuh soal hala tuju tahap sekuriti bekalan makanan negara, Amy Ashraff mengakui Malaysia masih lagi jauh ketinggalan dalam usaha mencapai garisan selamat.

Tambahnya, dengan kadar sara diri bagi setiap produk pertanian dan makanan asas perlu mencapai 65 hingga 75 peratus bagi mencapai garisan selamat, Malaysia masih berdepan masalah besar dalam mencukupkan bekalan daging kambing, bebiri, lembu, kerbau, susu segar, cili merah, sotong, kobis bulat dan halia.

Hal ini kerana tahap kebergantungan import untuk semua produk makanan berkenaan masih lagi melebihi 50 peratus dengan produk ruminan mencatat peratusan tertinggi melebihi 90 peratus.

Klik di sini untuk terus membaca