SHAH ALAM - Bekalan pengeluaran lembu tempatan yang terjejas 30 hingga 40 peratus sejak awal tahun ini menyebabkan harga bagi seekor lembu hidup dan daging lembu melambung hampir 30 peratus. Pemilik Lenggong Valley Farm, Mohd Hashim Ayub... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekalan pengeluaran lembu tempatan yang terjejas 30 hingga 40 peratus sejak awal tahun ini menyebabkan harga bagi seekor lembu hidup dan daging lembu melambung hampir 30 peratus.

Pemilik Lenggong Valley Farm, Mohd Hashim Ayub berkata, peningkatan harga seekor lembu hidup adalah refleksi kepada peningkatan harga daging dengan golongan penternak sebenarnya sudah menjangka berlaku kenaikan harga berkenaan sejak beberapa bulan dahulu.

Jelas beliau, hal ini kerana berlaku peningkatan kos dalam setiap rantaian pengeluaran bekalan lembu hidup bermula daripada golongan penternak, pedagang atau feedlotter, pengimport lembu serta pembekal daging lembu 'carcass' ketika ini.

Hashim Ayub

"Golongan penternak yang membela lembu daripada usia kecil terpaksa berdepan kos kenaikan harga pelbagai barang termasuk kos logistik.

"Bagi golongan penggemuk lembu atau 'feedlotter' pula, mereka berdepan dengan masalah harga kos makanan haiwan termasuk dedak dan rumput napier yang terlalu tinggi, daripada RM31 bagi seguni beg kini melambung mencecah RM40 bagi satu beg makanan dedak.

"Bagi golongan pengimport lembu hidup dan daging lembu terutama dari negara Thailand, mereka berdepan dengan masalah kos import mahal kerana nilai mata wang negara kini semakin jatuh berbanding nilai mata wang semasa negara itu," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas punca sebenar berlakunya masalah kenaikan harga makanan asas di negara sejak kebelakangan ini, yang turut melibatkan bekalan daging ruminan, ayam dan telur, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Berikutan itu, timbul tanda-tanya mengenai sejauh mana kelangsungan tahap sekuriti bekalan makanan negara pada saat Malaysia baru keluar daripada krisis pandemik.

Mengulas lanjut, Mohd Hashim menegaskan isu kenaikan harga lembu hidup dan daging haiwan itu tidak boleh sekadar dikaitkan dengan perbuatan orang tengah mengambil keuntungan berlebihan dengan memanipulasi harga.

Tambah beliau lagi, bagi golongan pengimport lembu hidup dan daging lembu yang mendapat permit import (AP), mereka juga terkesan dengan langkah kerajaan menghentikan serta-merta kebenaran mengimport lembu dari Thailand pada bulan April lalu disebabkan serangan penyakit kulit kental (LSD).

Justeru, hakikat sebenar dihadapi golongan penternak dan pengimport lembu adalah senario itu menyebabkan berlaku fenomena kekurangan bekalan di sebalik tahap permintaan pengguna yang tinggi selepas ekonomi domestik dibuka semula.

"Sebagai contoh, berlaku kenaikan harga bagi bekalan daging lembu 'carcass' yang telah disembelih dan disiat kulit iaitu daripada RM26 hingga RM27 sekilogram telah meningkat kepada RM32 sekilogram daging dalam masa singkat.

"Ditambah dengan harga makanan lembu dan kos logistik yang berterusan melambung selain kebenaran mengimport lembu Thailand masih dibeku, akhirnya Malaysia berdepan kekurangan bekalan lembu dan daging mencecah 30 hingga 40 peratus ketika ini," katanya.

Mengakui tahap kelangsungan bekalan sekuriti makanan negara kini menjadi tanda-tanya berikutan kerajaan lebih suka bergantung kepada bekalan import daging lembu dan kambing, Hashim mencadangkan kerajaan mencontohi inisiatif kerajaan Australia yang memperkenalkan subsidi kos pengeluaran lembu diternak oleh penternak.

Harga bagi sekilogram daging lembu 'carcass' kini meningkat kepada RM32 hingga RM34 sekilogram berbanding RM26 hingga RM28 sekilogram sebelum ini.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan inisiatif perolehan hasil import (export earning) dengan kadar perolehan bagi setiap bekalan eksport daging keluar negara akan dibayar kerajaan mengikut jumlah tan metrik.

"Berpengalaman menternak dan mengimport bekalan lembu dan daging selama 27 tahun, saya juga menyarankan kerajaan memperkenalkan lebih banyak projek pembiakan lembu untuk jangka masa panjang.

"Inisiatif ini penting bagi memastikan kita dapat mengurangkan kadar bergantungan bekalan lembu dan daging import, di samping menjadi industri pertanian dan makanan asas sebagai sektor perusahaan yang menguntungkan rakyat negara," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha lembu bagi kategori feedlotter, Kamarulzaman Ahmad menyuarakan kebimbangan harga bagi seekor lembu untuk tujuan ibadah korban pada masa hadapan akan meningkat mencecah RM6,000 seekor.

Hal ini disebabkan Kamarulzaman mendedahkan berlaku peningkatan harga lembu jaras (berusia tiga hingga lima bulan) daripada RM2,300 seekor sehingga mencecah RM3,000 seekor disebabkan langkah kerajaan mengharamkan sementera pengimportan lembu daripada Thailand.

"Ditambah dengan peningkat kos harga dedah yang signifikan, kami berkemungkinan terpaksa menjual seekor lembu bagi tujuan ibadah korban dengan harga RM5,500 hingga RM6,000," katanya.

Berikutan itu, Kamarulzaman menegaskan kerajaan perlu menitikberatkan usaha pengeluaran lembu dan daging tempatan untuk skala besar kerana negara tidak boleh berterusan bergantung kepada hasil import daging.

"Selain itu, kerajaan menerusi pihak universiti perlu mencari jalan menghasilkan sendiri produk makanan haiwan, dedak atau palet yang lebih kos efektif kerana kita tidak boleh berterusan mengimport dari luar.

"Paling penting, kerajaan perlu berani mewujudkan kawasan pertanian khas bagi tujuan penanaman tumbuhan untuk dijadikan makanan haiwan seperti jagung dan rumput napier," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca