TAHNIAH kepada Kuala Lumpur City kerana berjaya menjulang Piala Malaysia baru-baru ini.
Lebih manis kejayaan itu diperoleh sempena ulang tahun ke-100 piala tertua di Asia Tenggara.
Penantian selama 32 tahun adalah sangat berbaloi setelah tidak diberikan harapan yang tinggi oleh peminat bola sepak untuk merangkul piala cukup berprestij itu.
Bagi pasukan yang kalah, gandakan usaha untuk terbang lebih tinggi selepas ini.
Ramai seronok dengan kejayaan itu bukannya kerana ‘memperlekehkan’ pasukan kalah, namun gembira kerana pasukan yang tidak diberikan harapan boleh menewaskan pasukan begitu hebat serba-serbi.
Sebetulnya, telah lama warga Malaysia tidak ‘bergembira’. Terima kasih ‘bola sepak’ kerana telah menggembirakan kami.
Walaupun hampir seminggu berlalu, bicara berkaitan hal tersebut masih segar dan berterusan.
Yang menarik, ramai mengaku warga Kuala Lumpur (KL). Ada yang pernah bekerja di KL pun mengaku menjadi warga KL.
Begitu juga yang ada saudara-mara di KL, pernah lahir di hospital KL, ada jiran lama di KL, malah baru balik daripada mesyuarat di KL pun mengaku menjadi warga KL. Kesemuanya itu adalah gambaran keseronokan hasil ‘kuasa bola sepak’.
Pun begitu, ada juga yang tidak manis melakukan troll atau kenyataan provokatif sehingga mengundang sindir-menyindir di alam maya.
Namun, perlakuan itu melibatkan sebahagian kecil sahaja. Hakikatnya, sajian kegembiraan jauh melebihi kesedihan.
Pada hemat saya, kegembiraan itu walaupun sekejap, sekurang-kurangnya dapat mengubati jiwa yang bersedih dengan kenaikan harga barang berterusan, tularnya berita berkaitan virus Omicron yang dikatakan sangat berbahaya dan boleh mencetuskan gelombang baharu Covid-19, rasuah masih berleluasa, ceritera politik yang tidak pernah habis serta pelbagai lagi isu yang boleh ‘pecahkan kepala’ jika difikirkan secara berpanjangan.
Hakikatnya, rakyat perlukan ketenangan dan kemakmuran.
Apa yang jelas, hari demi hari kancah kekecewaan semakin serius. Justeru, tidak hairanlah apa juga peristiwa yang menggembirakan disambut dengan meriah kerana sudah terlalu lama tidak merasai perasaan tersebut.
Pendek kata, kita perlukan pemimpin yang tegas dan cekap menguruskan segala isu rakyat.
Kegagalan menguruskan kenaikan harga barang akan merosakkan banyak perkara.
Selain itu, isu berkaitan integriti pemimpin, pengurus dan pegawai yang diberikan amanah menjalankan tanggungjawab perlu dijadikan agenda yang besar serta ditangani secara serius.
Lantaran itu, meningkatnya kadar inflasi dan ketirisan pengurusan integriti membolehkan negara kita tersungkur sewaktu orang lain telah lama bangkit.
Walaupun begitu, sebagai seorang yang beriman, kita harus meyakini bahawa kesemuanya itu berlaku kerana takdir ALLAH SWT yang ada hikmahnya.
Ingatlah, takdir atau ketentuan ALLAH SWT bukan berdasarkan aturan kita, namun kesombongan manusia menyebabkan kita diuji sehingga kini.
Berkaitan hal itu, ALLAH SWT berfirman:
"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan kami) sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH.
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah) ALLAH tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah Al-Hadid, 57: 22-23).
Selain berdoa, usaha membersihkan negara daripada kepincangan integriti harus dilakukan sehingga berjaya.
Semoga kita tidak lagi berharap kepada ‘bola sepak’ untuk berasa gembira.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca