KEKECOHAN tentang harga barang naik sekali lagi melanda Malaysia. Sudah beberapa kali rakyat merungut dengan kenaikan harga barang.
Malah, harga ayam, sayur-sayuran dan alat ganti kenderaan juga melonjak naik.
Seperti biasa, kerajaan membuat kenyataan akan melihat keadaan tersebut.
Namun, agak kecewa apabila penyelesaian yang diharapkan rakyat dibalas dengan mengatakan - "Oh, bukan di Malaysia sahaja, di luar negara harga barang juga melonjak naik.”
"Oh, ini di luar kawalan kementerian,” katanya lagi.
Rakyat masih menunggu penyelesaian yang padu dan berjangka panjang kerana keadaan itu akan berulang setiap tahun.
Apa yang dikatakan - kerajaan akan menyelesaikan masalah tersebut nampaknya berjangka pendek sahaja.
Baru-baru ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyatakan pendapatnya.
Katanya - "Orang nak hidup, gaji tak naik, elaun tak naik, melainkan elaun menteri sahaja naik.
Tapi rakyat, gaji, elaun tak naik, harga barang naik dan menaik bukan sedikit.
"Kita dah cadangkan di Parlimen, kita kata menteri pengguna sahaja tak mampu buat, dia kena menteri pertanian kerana agensi-agensi itu terlibat, panggil buat kabinet komuniti,” ujar Anwar.
Seperti biasa, beberapa orang kuat, wakil rakyat dan ahli Parlimen memberi sebab kenapa berlaku kenaikan harga barang.
Ada yang mengatakan ia kesilapan menteri menyebabkan harga barang naik kerana tidak menangani masalah kekurangan pekerja.
Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan bekalan ayam import dan ikan sejuk beku dilambakkan di pasaran sebagai langkah menstabilkan harga pasaran.
"Kita banjirkan pasaran dengan ayam dari luar yang harganya lebih murah berbanding harga ayam tempatan supaya pengguna ada pilihan.
"Ikan juga semakin naik harga kerana musim tengkujuh sudah bermula tetapi kita boleh melambakkan pasaran dengan stok ikan sejuk beku di bawah program Q'Fish yang tujuannya untuk dikeluarkan pada musim tengkujuh,” kata Perdana Menteri.
Seperti biasa, rakyat menunggu.
Yang nampak hanya tindakan jangka pendek dan dijangka kejadian kenaikan harga akan berulang setiap tahun terutama pada musim perayaan.
EKONOMI
Pelan tindakan jangka panjang? Nampaknya masih belum ada lagi agaknya.
Sudah sampai masanya kerajaan berfikir secara menyeluruh dan mendalam untuk tindakan jangka masa panjang - bagaimana menangani perkara tersebut.
Bukan bila timbul isu kenaikan harga barang, baru kerajaan hendak berfikir solusinya, itu pun hanya untuk jangka pendek.
Bak kata pepatah Melayu, bertanya supaya tahu, berjalan supaya sampai, bukannya berminyak tak licin.
Dalam konteks ekonomi kapitalis, ekonomi fundamental yang digunakan berdasarkan kepada kerangka permintaan dan penawaran.
Apabila banyaknya permintaan dengan keadaan barang sedikit, maka harga akan naik dan begitu juga sebaliknya.
Keadaan tersebut mewujudkan situasi pengawalan barang untuk mengawal harga supaya lebih menguntungkan kapitalis.
Ia menyebabkan kenaikan harga, sekali gus rakyat yang terpaksa menanggungnya.
Mungkin kerajaan perlu berfikir sebagai langkah jangka panjang untuk menubuhkan Pusat Berkuasa Merancang (PBM) yang akan mempunyai kuasa terhadap barang asas keperluan rakyat.
Mekanisme pengeluaran seperti kos, harga dan keuntungan hendaklah dikawal oleh PBM.
Ia bermakna material, pengeluaran dan pengurusannya di bawah PBM yang dimiliki kerajaan.
Keperluan untuk mengeluarkan apa juga keperluan rakyat akan dikawal atau diuruskan oleh PBM.
Pengeluaran barang keperluan adalah berasaskan keperluan minimum rakyat, berharga tetap dan dijual melalui kedai atau pusat jualan milik kerajaan.
Ia akan menyelesaikan masalah kenaikan harga tanpa kawalan dan aktiviti monopoli.
PBM juga bertindak sebagai insentif kepada rakyat untuk melakukan perkara sesuai dengan sasaran pelan yang telah dirancang dan berperanan sebagai pusat pemasaran.
Maka, keputusan hendak mengeluarkan, bagaimana untuk mengeluarkan dan kepada siapa barang keperluan asas rakyat hendak dikeluarkan adalah di bawah kuasa perancangan kerajaan yang akan menjadi penyelesaian kepada kestabilan harga.
* Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca