PADA 2019, saya telah diundang oleh Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) untuk terlibat dalam Ekspo 2020 di Dubai terutama untuk kempen #MyButterflyEffect. Saya telah menggariskan pencapaian masyarakat yang terhasil daripada... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 2019, saya telah diundang oleh Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) untuk terlibat dalam Ekspo 2020 di Dubai terutama untuk kempen #MyButterflyEffect.

Saya telah menggariskan pencapaian masyarakat yang terhasil daripada perubahan yang dicipta secara kolektif dan menyebut tentang kuasa spesifik media sosial dalam ucapan pelancaran saya.

Selepas dua tahun, disebabkan oleh Covid-19 yang telah membuatkan Ekspo 2020 ditunda dan penyusunan semula kerajaan Malaysia, saya akhirnya tiba di Dubai bulan lalu.

Ekspo Dunia mempunyai sejarah yang boleh dijejaki kembali sehingga ke Pameran Agung 1851 di London dan Malaysia mempunyai rekod penyertaan yang baik.

Pada 1964, negara Malaysia yang baharu menampilkan astaka dengan reka bentuk bumbung Negeri Sembilan telah mempamerkan getah, kayu balak dan bijih timah serta menghidangkan sate kepada pelawat.

Pada 2010, sebuah struktur dengan rekaan yang lebih berkonsepkan Minangkabau telah mewakili Malaysia di Shanghai, China.

Ekspo 2020 Dubai adalah ekspo pertama yang saya hadiri dan ia amat besar.

Berpusatkan Plaza Al Wasl yang besar dan berkubah, tapak seluas 438 hektar yang dibina bagi tujuan ekspo berkenaan dibahagikan kepada beberapa bahagian menempatkan 219 astaka (kebanyakannya astaka negara yang ditaja kerajaan masing-masing) dan pameran, dilengkapi dengan auditorium, pentas, taman, restoran serta beberapa tempat menarik yang ditempatkan di serata tapak ekspo.

Destinasi pertama saya tentulah Astaka Malaysia, di mana pasukan MGTC telah bekerja keras sepanjang tahun lalu dalam menyelia pembinaannya sebelum menghadapi tempoh sibuk menganjurkan pelbagai acara.

Bangunan tersebut direka oleh seorang arkitek, Serina Hijjas, menggunakan konsep kanopi hutan hujan dan secara tepatnya karbon sifar dengan cara mengimbangi pelepasan karbon dalam pembinaan, operasi, bahan pembinaan dan pemulihan.

Di dalam astaka Malaysia, terdapat video bertemakan hutan hujan yang dimainkan, menceritakan kisah pembangunan Malaysia di samping menggariskan komitmen alam sekitar.

Paparan oleh beberapa syarikat terbesar negara telah membawa pengunjung kepada jualan dan demonstrasi kraf tangan. Dua juadah yang disediakan telah menjadi buah mulut pengunjung walaupun pada mulanya menimbulkan sedikit kerisauan.

Setakat ini, astaka Malaysia telah merekodkan 300,000 kunjungan (berbanding empat juta kunjungan untuk keseluruhan ekspo walaupun mempunyai langkah pencegahan Covid-19 yang ketat).

SOKONG

Sepanjang seminggu keberadaan saya di sana, saya berbesar hati untuk menyokong usaha perdagangan dan pelaburan astaka negara.

Sebagai contoh, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) berada di sana untuk mempamerkan perkhidmatan halal dan menyokong rakan kongsi mereka, manakala syarikat kebersihan dan perkakas meja yang berpusat di Johor, Claytan pula menyambut ulang tahun ke-100 mereka bersama pemegang taruh serantau.

Tatkala Emiriah Arab Bersatu sibuk dengan pelbagai acara (seperti Pertunjukan Udara Dubai) dan menjadi hab sambungan kepada pelbagai destinasi, ramai rakyat Malaysia mengambil peluang itu untuk mewujudkan rangkaian serta mencari sinergi perniagaan.

Walaupun ada yang bersikap sinis, tindakan-tindakan tersebut sebenarnya aktiviti penting yang akan membantu membina semula ekonomi kita ketika pasca-Covid-19.

Sudah tentu bukan hanya inisiatif ekonomi. Saya telah berucap pada satu Majlis Dunia, membincangkan perniagaan belas kasihan, manakala Alena Murang menyertai sebuah panel untuk membincangkan isu-isu berkenaan masyarakat peribumi di serata dunia sebelum memberikan persembahan sape’nya.

Komposer terkenal, AR Rahman memperkenalkan sebuah konsert oleh Firdaus Orchestra miliknya dengan semua ahlinya terdiri daripada wanita berbilang bangsa, manakala Poland dan Ireland masing-masing mempersembahkan Chopin serta Riverdance.

INSPIRASI

Saya mendapat tahu bahawa astaka-astaka itu ada dalam pelbagai saiz - bermula dari dewan asas berbentuk kuboid sehingga struktur besar seperti astaka tujuh tingkat Maghribi yang menyerupai medina di bandar-bandarnya atau bangunan tuan rumah yang dilindungi panel-panel gergasi diinspirasikan daripada sayap burung helang.

Terdapat juga pelbagai jenis astaka, melangkaui sekadar tujuan memperkenalkan pengunjung kepada ciri-ciri utama negara pempamer.

Terdapat sebahagian astaka konseptual, menumpukan kepada keindahan seni bina dan membuatkan pengunjung merenung secara mendalam.

Terdapat juga astaka yang menumpukan kepada pelancongan, menunjukkan ia adalah ekonomi tunjang utama kepada negara tersebut.

Beberapa astaka menonjolkan sumbangan teknologi mereka, sama ada dalam pengembaraan angkasa, robot atau kereta-kereta futuristik.

Sebahagian yang lain seperti Malaysia, cemerlang dalam menggunakan astaka sebagai tapak untuk pelbagai agensi dan syarikat menarik perdagangan serta pelaburan.

Sudah tentu kunjungan ke astaka-astaka berkenaan perlu dilakukan dengan minda kritis. Terdapat banyak aspek yang telah dipilih dan ditinggalkan.

Pihak kerajaan tidak akan menunjukkan penyalahgunaan hak asasi manusia, kediktatoran, konflik berdarah dan rasuah.

Namun, hal itu bukanlah satu alasan untuk kita mengkritik keseluruhan Ekspo Dunia. Dalam sejarah penganjuran Pameran dan Ekspo Dunia, secara tipikalnya sumbangan golongan yang paling optimistik, inovatif serta berpandangan jauh ke hadapan dari negara-negara peserta yang akan bersinar.

Berkumpul di satu tempat untuk menunjukkan yang terbaik mampu ditawarkan oleh kemanusiaan, berbanding terburuk, para pengunjung akan dapat melihat sepintas lalu apakah bentuk kerjasama antarabangsa yang mampu dicapai pada masa hadapan.

Tanpa kita sedari, Ekspo Dunia telah mengubah dunia menjadi lebih baik sebelum ini, walaupun bukan semua Ekspo Dunia menghasilkan simbol cinta yang berkekalan seperti Menara Eiffel (dibina bersempena Pameran Dunia 1889).

Saya yakin penyertaan Malaysia dalam Ekspo Dunia 2020 Dubai akan sekali lagi mengubah dunia menjadi lebih baik sebagaimana rama-rama mengepakkan sayapnya.

* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan duta kempen #MyButterflyEffect sempena penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai

Klik di sini untuk terus membaca