KANDAHAR - Sejak Taliban menguasai ibu kota Afghanistan pada Ogos lalu, timbul persoalan sama ada Pemimpin Agung Taliban, Hibatullah Akhundzada masih mengetuai pergerakan Islam itu atau tidak.
Persoalan itu semakin meningkat kerana tiadanya wajah dan kelibat pemimpin tersebut dirakamkan serta tidak ada berita tentang dirinya disebarkan oleh media tempatan dan luar negara.
Kebanyakan penduduk Kabul juga berasa ragu-ragu sama ada Hibatullah masih hidup atau tidak.
Pada akhir Ogos lalu, Taliban pernah membuat kenyataan bahawa pemimpin dalam usia lingkungan 60-an itu akan membuat kemunculan di khalayak ramai selepas pergerakan tersebut berjaya menawan Kabul.
Ini adalah kerana setelah mengambil alih pemerintahan sejak pertengahan Ogos lalu, Hibatullah masih tidak membuat penampilan di khalayak umum.
Ketika itu, lokasi keberadaan Pemimpin Agung Taliban itu yang mula memegang jawatan tersebut pada tahun 2016 masih lagi tidak diketahui.
Kira-kira dua bulan selepas seorang jurucakap Taliban menegaskan beliau masih hidup dan tinggal di Kandahar, khabar angin mula tersebar bahawa Hibatullah telah menyampaikan ucapan di sebuah madrasah di selatan negara itu pada 30 Oktober lalu.
Pegawai Taliban turut mengesahkan tentang penampilan Pemimpin Agung pergerakan tersebut di Madrasah al-Hakimia dengan memperdengarkan suara miripnya menerusi satu rakaman audio berdurasi selama lebih 10 minit.
Dalam rakaman itu, beliau dikatakan memohon kepada ALLAH memberikan ganjaran kepada penduduk yang bangkit menentang orang bukan Islam dan para penindas selama 20 tahun.
Itulah satu-satunya bukti menunjukkan bahawa Pemimpin Agung Taliban itu masih hidup.
"Apabila Hibatullah melakukan lawatan ke madrasah itu, beliau diiringi oleh tiga pengawal keselamatan,” lapor AFP memetik kenyataan Ketua Keselamatan Madrasah al-Hakimia, Massum Shakrullah.
Jelasnya, telefon bimbit dan perakam suara tidak dibenarkan dibawa masuk ke mandrasah itu ketika kunjungan beliau.
Salah seorang pelajarnya yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammed, 19, menyatakan: "Kami semua memerhatikannya dan menangis.”
Ketika ditanya oleh AFP sama ada beliau dapat mengesahkan lelaki tersebut ialah Hibatullah, remaja itu berkata, beliau dan rakan-rakan sebayanya berasa sangat gembira sehingga mereka terlupa melihat wajahnya.
Seorang remaja lain, Mohammad Musa, 13, yang memerhatikan Hibatullah dari jauh menyatakan wajah Pemimpin Agung Taliban itu sama dengan fotonya yang tersebar sebelum ini.
Kemunculan Pemimpin Agung Taliban itu sekali gus menafikan khabar angin yang mendakwa beliau sudah meninggal dunia.
Beberapa bekas pegawai rejim Afghanistan yang digulingkan dan penganalisis-penganalisis Barat percaya bahawa Hibatullah sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Bagi mereka, lawatan ke madrasah itu hanyalah satu penipuan yang dirancang dengan teliti kerana Hibatullah telah lama meninggal dunia dan tidak mempunyai peranan sebelum Taliban mengambil alih Kabul.
Beliau didakwa sudah meninggal dunia bersama saudara kandung lelakinya dalam serangan berani mati di Quetta, Pakistan kira-kira tiga tahun lalu.
Beberapa agensi perisikan asing dipercayai mengetahui tentang teori kematian Hibatullah.
Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) enggan mengulas khabar angin tentang Pemimpin Agung Taliban itu yang dikatakan sudah meninggal dunia.
Sumber keselamatan serantau memberitahu AFP bahawa tiada pihak yang akan mengesahkan atau menafikan tentang perkara itu.
Apabila Taliban kembali berkuasa, namanya kembali dikaitkan untuk mengetuai pemerintahan baharu selepas bekas Presiden digulingkan, Ashraf Ghani melarikan diri.
Tetapi, jawatan ketua pentadbiran kerajaan tersebut dipegang oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Taliban, Mullah Mohammad Hassan Akhund yang dilantik sebagai Perdana Menteri sementara.
Justeru, propaganda yang mendakwa Hibatullah sudah meninggal dunia dipercayai sengaja disebarkan untuk ‘menghuru-harakan’ dan melemahkan kepimpinan Taliban serta kerajaan baharu Afghanistan.
Klik di sini untuk terus membaca