PERUBATAN Islam bukanlah asing dalam kehidupan orang Islam di Malaysia. Malah ia juga diterima oleh sebahagian orang bukan Islam juga.
Usaha tokoh seperti Allahyarham Datuk Dr Haron Din untuk memartabatkan perubatan Islam telah membuahkan hasil apabila Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2016 (Akta 775) telah memasukkan ia sebagai pengubatan komplimentari yang diberi pengiktirafan untuk diamalkan di beberapa hospital moden.
Akta 775 tersebut merupakan suatu akta bagi mengawal selia perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia termasuk perubatan Islam.
Ia memberi lembaran baharu kepada perubatan Islam dan membolehkannya diiktiraf sebagai salah satu cabang perubatan yang diterima kerajaan.Namun, walaupun tersenarai dalam salah satu perubatan komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih ragu-ragu memberi ruang perubatan Islam ini dilaksanakan di hospital kerajaan. Alasan diberikan ialah perubatan Islam ini berasaskan kepercayaan bukan berdasarkan bukti atau kajian saintifik.
Saya berpandangan sikap begini tidak sejajar dengan hasrat kerajaan menggubal Akta 775. Apa gunanya akta tersebut digubal dan diluluskan sekiranya masih terdapat halangan bagi melaksanakan perkhidmatan itu.
Seharusnya KKM menyediakan kemudahan yang perlu bagi melaksanakan perkhidmatan perubatan Islam ini tanpa apa-apa alasan. Apatah lagi permintaan untuk perubatan Islam semakin hari semakin bertambah.
Perubatan moden dan Islam seharusnya saling melengkapi antara satu sama lain. Bukan hasrat perubatan Islam ingin bersaing atau menandingi perubatan moden namun kedua-dua cabang perubatan ini mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Oleh itu rakyat seharusnya diberikan manfaat untuk menikmati kebaikan daripada kedua-dua jenis perubatan ini.
Sebenarnya perubatan Islam bukanlah terhad kepada penyakit rohani semata-mata seperti sihir, santau dan sebagainya tetapi ia juga boleh berfungsi merawat penyakit fizikal seperti barah, kencing manis dan sebagainya. Walaupun kaedah rawatannya berbeza daripada rawatan moden namun dalam banyak keadaan pesakit fizikal juga dapat diubati melalui perubatan Islam.
Namun, suatu mekanisme hendaklah digarap agar perubatan Islam yang diamalkan tersebut hendaklah merupakan perubatan yang betul-betul tidak melanggar hukum syarak bersumberkan kepada al-Quran, sunnah, pengalaman ulama dan pakar yang tidak bertentangan dengan syariah. Hal ini amat penting diperhalusi supaya perkara-perkara khurafat dan syirik tidak berselindung di bawah nama perubatan Islam.
Perkara ini amat penting kerana sejak kebelakangan ini ramai kalangan bomoh yang mendakwa mereka mengamalkan perubatan Islam tetapi hakikatnya mereka membuat suatu perkara khurafat dan syirik. Hanya dengan memakai songkok atau serban serta memulakan amalan dengan bismillah acapkali mereka memperdaya umat Islam dengan amalan jahat mereka.
Berbalik kepada isu pengamalan perubatan Islam di hospital kerajaan, saya berpendapat sudah tiba masanya KKM memberikan ruang secukupnya kepada perubatan Islam diamalkan di hospital kerajaan. Pihak hospital atau KKM tidak akan menanggung sebarang kerugian malah jika pesakit berjaya diubati ia akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan merawat pesakit tersebut.
Saya tidak menjangkakan sebarang mudarat akan berlaku kepada pesakit kerana perubatan Islam tidak menggunakan bahan-bahan berbahaya atau beracun.
Apa yang penting ialah manfaat yang baik akan dapat dinikmati rakyat tanpa mengira ia bersandarkan perubatan moden ataupun perubatan komplementari lain termasuklah perubatan Islam.
Perubatan Islam bukanlah sekadar alternatif tetapi komplimentari yang melengkapkan perubatan moden. Ia bukan untuk bersaing dengan perubatan moden tetapi saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Dalam era pasca pandemik Covid-19 ini kita tidak mempunyai pilihan selain mengambil apa jua jenis perubatan yang dapat melawan merebaknya penyakit Covid-19 ini termasuklah perubatan Islam.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca