PENGUNDURAN tentera Organisasi Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Amerika Syarikat (AS) daripada Afghanistan serta kebangkitan semula Taliban telah memberi kesan kepada Rusia. Ini kerana Rusia merupakan salah satu kuasa besar mempunyai... Klik di sini untuk terus membaca

PENGUNDURAN tentera Organisasi Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Amerika Syarikat (AS) daripada Afghanistan serta kebangkitan semula Taliban telah memberi kesan kepada Rusia. Ini kerana Rusia merupakan salah satu kuasa besar mempunyai kepentingan di rantau Asia Tengah. Selain itu, pengunduran tentera NATO dan AS dari Afghanistan telah menimbulkan kekosongan kuasa yang mampu mengganggu-gugat keselamatan dan kestabilan Asia Tengah serta Rusia.

Rusia bimbang politik dan kerajaan Afghanistan akan kembali bergolak sehingga tercetusnya perang saudara. Walaupun kumpulan Taliban telah berjaya menguasai dan menubuhkan kerajaan interim di Afghanistan pada September 2021 namun ini tidak bererti keamanan dan kestabilan sudah tercapai.

Beberapa peristiwa pengeboman telah berlaku semenjak Taliban mengambil alih kuasa misalnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai dan tempat-tempat awam seperti hospital, masjid dan pasar. Kumpulan Islamic State Khorasan Province (ISKP) telah dikatakan bertanggungjawab atas insiden itu. Penting untuk ditegaskan bahawa Taliban tidak berkongsi idealogi dengan ISKP. Malah Taliban bermusuhan dengan ISKP.

Selain kumpulan ISKP, Taliban juga terpaksa berhadapan dengan musuh politik lain seperti National Resistance Front (NRF) beroperasi di kawasan Lembah Panjshir. NRF diketuai Ahmad Massoud, anak lelaki bekas pemimpin Perikatan Utara, Ahmad Shah Massoud yang digelar ‘Singa Panjshir’ kerana usahanya menentang pemerintahan Taliban pada 1990-an.

Ketika AS menyerang Afghanistan pada 2001, Ahmad Shah Massoud telah bekerjasama dengan AS untuk menjatuhkan pemerintahan Taliban. Kini Ahmad Massoud seperti ayahandanya mahu meneruskan perjuangan menentang Taliban. NRF juga dipercayai telah membuka cawangannya di Washington DC untuk mendapat sokongan AS. Bagaimanapun menurut jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid kerajaannya tidak gentar berhadapan dengan NRF walaupun ia mendapat sokongan luar negara.

Perlu ditegaskan pada masa kini kerajaan Rusia tidak ada masalah dengan kumpulan Taliban, bagaimanapun Rusia amat bimbang dengan perkembangan politik di Afghanistan akibat kemunculan kumpulan anti-Taliban seperti ISKP dan NRF. Rusia bimbang jika Afghanistan akan menghadapi perang saudara semula sehingga menimbulkan masalah pelarian ke negara Asia Tengah seperti Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Tajikistan yang merupakan sekutu Rusia.

Di samping itu, Rusia juga bimbang akan masalah narkotik di Afghanistan. Sehingga 2021, 90 peratus dadah jenis heroin berasal dari Afghanistan dan pada masa sama lebih 95 peratus dadah heroin di Eropah juga berasal dari Afghanistan. Masalah narkotik di Afganistan bukan baru ia telah muncul sejak pendudukan Soviet Union (USSR) pada tahun 1980-an lagi. Namun begitu kerajaan-kerajaan Afghanistan berikut tidak mampu membasminya kerana perniagaan narkotik telah berkembang menjadi suatu ‘industri’.

KebimbanganApa yang menjadi kebimbangan Rusia adalah akibat pergolakan politik di Afghanistan kerana adanya kumpulan-kumpulan anti kerajaan. Panglima-panglima tempatan akan mempergunakan keadaan ketidaktentuan untuk memperhebatkan lagi perniagaan narkotik untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi mereka. Pada masa sama pemerintahan Taliban tidak mampu mengawal panglima tempatan kerana memerlukan sokongan mereka untuk menentang kumpulan anti-Taliban seperti NRF.

Oleh demikian, Afghanistan akan terus menjadi pusat pengeluar dadah heroin yang terbesar di dunia. Perkara ini amat dibimbangi kerana negara-negara jiran di rantau Asia Tengah, Rusia, Pakistan dan China akan menjadi laluan pengedar dadah serta kumpulan jenayah transnasional.

Rusia juga khuatir setelah NATO dan AS berundur dari Afghanistan kini AS sedang berusaha untuk mencari suatu pengkalan tentera baharu dalam kalangan negara-negara Asia Tengah.

Selain itu, AS mempunyai kemungkinan mendirikan pengkalan tentera baharu untuk mengimbangi pengaruh China di Asia Tengah dan Pakistan yang semakin berkembang.

Memandangkan Rusia tidak dapat mengawal situasi di Afghanistan, ia perlu bekerjasama dengan China, India, Pakistan dan Iran. Mereka juga mempunyai keselamatan dan kepentingan bagi memastikan Afghanistan yang stabil. Kebimbangan Rusia terhadap kestabilan dan keselamatan Afghanistan boleh ditangani melalui Shanghai Cooperation Organisation (SCO).

Pada Julai 2021, ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Luar SCO di Dushanbe, Tajikistan, para menteri luar SCO telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka berjanji membantu Afghanistan mengatasi cabaran keselamatan akibat narkotik dan pengganas.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca