SEMPENA sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa pada 9 Disember ini, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub mengajak rakyat Malaysia bersama-sama membuat ikrar menentang rasuah agar negara tidak lagi kerugian berbilion ringgit... Klik di sini untuk terus membaca

SEMPENA sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa pada 9 Disember ini, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub mengajak rakyat Malaysia bersama-sama membuat ikrar menentang rasuah agar negara tidak lagi kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Kata beliau, akibat rasuah, kurang integriti, percanggahan kepentingan dan ketidaktelusan, negara menderita kerugian antara RM40 bilion dan RM60 bilion setiap tahun.

Mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pernah menganggarkan yang sehingga 30 peratus atau kira-kira RM400 bilion peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 dapat diselamatkan jika penyelewengan dibanteras.

Apa yang didedahkan Hussamuddin dan Ambrin itu akan lebih merungsingkan jika kita kaitkan dengan penularan rasuah sejak 10 hingga 12 tahun sehinggalah sebahagian daripadanya dibongkar oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam masa 22 bulan pemerintahannya.

Rasuah menular menjadi pandemik dan sistemik seperti yang didedahkan di mahkamah dalam perbicaraan kes-kes sensasi melibatkan bekas pemimpin negara, konco dan ahli keluarga mereka.

Bukan sahaja pemimpin melakukan rasuah malah pengikut, kakitangan awam, ahli keluarga dan konco mereka diajak turut sama tumpang sekaki.

Apabila rasuah menyebabkan ekonomi menjadi kurang produktif dan pertumbuhan mendatar, mereka memperkenalkan pelbagai skim pembiayaan dengan nama-nama yang hebat seperti Initiatif Pembiayaan Swasta (PFI), pertukaran tanah, penyusunan semula aset dan tawaran awam permulaan.

Majoriti orang ramai hanya dengar mengenai beban hutang 1MDB yang pernah mencecah RM50 bilion pada tahun 2016. Oktober lepas, Kementerian Kewangan memaklumkan yang bakinya sehingga hujung Jun lalu berjumlah RM32 bilion.

Sehingga September lalu, kerajaan telah menggunakan RM12.8 bilion duit negara dan rakyat jelata bagi membayar faedah dan melangsaikan tanggungan kewangan ke atas hutang tersebut.

Itu pun ada lagi orang yang buta angka dan fakta kerana termakan dedak berkata, 1MDB dan penyelewengan ke atasnya adalah rekaan dan fitnah semata-mata.

Katakan kita tolak sebelah kes-kes bersangkutan 1MDB dan SRC International kerana jenayah berkaitan dengannya sedang dibicarakan. Tetapi apa halnya dengan skandal-skandal korporat dan kewangan lain yang bukan saja mengancam kewangan negara malah turut menggugat pertahanan dan keselamatan?

Kita harus tahu dan bimbang mengenai hutang raksasa lain pada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak seperti RM4 bilion yang diambil daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) – iaitu duit pencen kakitangan awam – untuk diberi kepada SRC International.

Kita tidak tahu apa perniagaan SRC International dan hasil yang dijana oleh hutang itu. Perbicaraan kes SRC International telah diberitahu bahawa hutang RM4 bilion yang diambil pada 2011 dan 2012 itu akan menjadi RM9.2 bilion dalam masa 20 tahun.

Itu tidak besar jika dibandingkan dengan hutang sebuah lagi syarikat Kementerian Kewangan yang dikenali sebagai Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Dalam jawapan kepada Parlimen pada 11 Jun 2015, Najib, selaku Menteri Kewangan berkata, sebahagian besar tanggungan hutang syarikat itu adalah ke atas pinjaman RM25 bilion yang diperoleh daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Laporan media pada Julai 2018 mengatakan jumlah hutang dan tanggungan Pembinaan PFI melebihi RM50 bilion tetapi KWSP memberi jaminan syarikat membayar balik hutangnya mengikut jadual.

Itu belum diambil kira skandal kewangan, projek, kontrak dan perakaunan yang berlaku di agensi-agensi seperti Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera serta kontrak-kontrak pembekalan yang berkecamuk dan tidak tertunai oleh kementerian-kementerian.

Kesimpulannya, kebimbangan dan amaran yang disuarakan Hussamuddin, Ambrin dan ramai lagi itu adalah nyata dan berasas.

Kita telah dan masih mengalami masalah rasuah, penyelewengan dan manipulasi kewangan awam yang teruk yang jika tidak ditangani boleh menjadikan kita negara muflis dan gagal. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca