APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia sebagai teras pentadbirannya dalam ucapan sulungnya, ramai skeptikal dan mengaitkannya dengan gagasan Bangsa Malaysia dan 1Malaysia dalam bentuk... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia sebagai teras pentadbirannya dalam ucapan sulungnya, ramai skeptikal dan mengaitkannya dengan gagasan Bangsa Malaysia dan 1Malaysia dalam bentuk baharu.

Namun pada hemat saya, Keluarga Malaysia jauh daripada idealisme tersebut. Ia lebih bersifat ‘kampung’ dan merendah diri. Lebih mementingkan nilai dan perasaan berbanding struktur dan bentuk.

Justeru, dalam ucapan pertamanya itu tersebut Ismail Sabri tidak menyatakan susunan teras dan sebagainya.

Ismail Sabri hanya menyeru "...seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara. Marilah kita dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia.”

Menurut Ismail Sabri lagi, frasa Keluarga Malaysia digunakan kerana "sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Di mana kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.”

Hari ini konsep Keluarga Malaysia telah disusun dan distruktur menjadi satu kempen dengan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Bagi pentadbiran Ismail Sabri, Keluarga Malaysia adalah berkenaan perasaan untuk semua rakyat saling menyayangi dan membantu antara satu sama lain berhadapan ketidakstabilan politik, ekonomi dan ancaman pandemik Covid-19.

Ismail Sabri sendiri mengorak langkah mengotakan saranan beliau dengan menawarkan kerjasama politik dengan blok pembangkang yang disambut Pakatan Harapan. Walaupun ada yang melihat langkah ini juga adalah untuk menyelamatkan kedudukan Ismail Sabri yang hanya mempunyai majoriti tipis. Namun, ia tetap sesuatu yang menunjukkan kesungguhan beliau mengurangkan permusuhan sesama rakyat dan mewujudkan perasaan kekeluargaan dalam kalangan pemimpin politik dan rakyat.

Jika 1Malaysia dan Bangsa Malaysia bercakap soal integrasi kaum dan kesamarataan, Keluarga Malaysia pula membawa makna menerima seadanya kedudukan setiap kaum dan etnik serta saling membantu antara satu sama lain.

Minggu hadapan, kerajaan pula akan membentangkan pencapaian 100 hari bertemakan Aspirasi Keluarga Malaysia.

Selepas ini kita akan menyaksikan pelancaran pelbagai struktur penjenamaan Keluarga Malaysia. Sudah ada skuad Keluarga Malaysia, Yayasan Keluarga Malaysia dan lain-lain organisasi berasaskankan jenama ini.

Dari satu segi ia sangat membantu mewujudkan kesedaran awam mengenai hasrat dan matlamat ini.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak melahirkan kebimbangan Keluarga Malaysia hanya akan memenuhi catatan media, papan iklan dan laungan selebriti, namun tidak meresap ke hati dan sanubari rakyat.

Dalam pertemuan dengan penulis baru-baru ini, Salleh mengambil contoh konsep ‘Malaysia Boleh’ menjadi begitu meresap kepada rakyat negara ini kerana ia tidak menjadi terlalu rasmi atau dipenuhi dengan kempen propaganda kerajaan.

Justeru, dalam kita ghairah mempromosi Keluarga Malaysia, ia harus berkenaan nilai yang hendak disemai dalam hati sanubari rakyat.

Saya fikir anak penoreh getah dari Temerloh, Pahang yang kini menjadi Perdana Menteri mahukan kita mengikat tali kekeluargaan sesama rakyat. Beliau mahukan setiap rakyat menganggap rakan senegara sebagai sebahagian keluarga besar.

Sudah tentu bukan semua keluarga membawa nilai baik. Namun secara murninya setiap keluarga akan menjaga antara satu sama lain.

Tidak ada guna Keluarga Malaysia menjadi satu jenama besar jika ia gagal menangkap dan menambat hati rakyat negara ini.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca