SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Stok bekalan makanan ruji negara pada masa ini hanya mampu bertahan untuk tempoh empat hingga enam bulan sahaja, sekali gus menyebabkan kestabilan bekalan makanan negara berada pada tahap membimbangkan. Pakar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Stok bekalan makanan ruji negara pada masa ini hanya mampu bertahan untuk tempoh empat hingga enam bulan sahaja, sekali gus menyebabkan kestabilan bekalan makanan negara berada pada tahap membimbangkan.

Pakar sekuriti makanan negara daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Juraimi berkata, hal ini disebabkan negara terlalu bergantung kepada sumber bekalan makanan import yang menyebabkan kadar sara diri bagi makanan juri bersifat stagnant (di takuk sama).

Jelas beliau, sehubungan itu, stok penimbal makanan perlu ditambah supaya tahap sekuriti bekalan makanan negara mampu bertahan bagi tempoh lebih panjang selain penumpuan pelaburan tidak sewajarnya ditumpukan semata-mata kepada komoditi seperti kelapa sawit.

"Dari segi jangka masa panjang, negara bakal berhadapan dengan pertambahan populasi penduduk dengan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia menjangkakan kadar populasi rakyat Malaysia menjangkau sehingga 40 juta.

"Ketika ini, kalau kita ambil contoh kadar sara diri pengeluaran padi tempatan adalah sebanyak 70 peratus untuk keperluan 32.7 juta rakyat ketika ini, kadar itu dijangka menurun sekiranya bilangan rakyat meningkat 40 juta.

"Justeru, kadar sara diri bagi setiap produk makanan penting negara tidak boleh terus 'stagnant'. Kerajaan perlu menambah keluasan tanaman pertanian kritikal selain menumpukan kepada penggunaan teknologi terkini serta sistem pertanian efisien," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor turut menekankan kepentingan kerajaan mewartakan setiap kawasan pertanian yang menyumbang kepada sekuriti makanan negara sebagai zon sekuriti makanan negara yang tidak boleh ditebus guna bagi tujuan lain.

Jelas beliau, sekiranya jumlah keluasan kawasan pertanian semakin berkurang akibat aktiviti tebus guna, beliau bimbang tahap sara diri bagi setiap bekalan makanan ruji akan menjadi semakin rendah.

"Sebagai contoh, saya menerima maklumat sejumlah 8,000 hektar kawasan pertanian padi milik Lembaga Pertanian Kemajuan Muda (Mada) ditebus guna untuk kegunaan pembangunan dan pertanian lain dalam setahun.

"Senario sebegini tidak sihat untuk kelangsungan tahap sekuriti makanan negara, ditambah pula jumlah keseluruhan 300,000 hektar sawah di Malaysia hanya mencukupi untuk pengeluaran 70 peratus daripada keperluan beras negara," katanya.

Pada masa sama, Abdul Shukor turut berpandangan kerajaan tidak boleh berterusan menganaktirikan sektor pertanian yang menyumbang sekuriti makanan negara berbanding sektor pertanian komoditi bernilai tinggi seperti kelapa sawit dan getah.

"Kerajaan kena lebih proaktif dalam memastikan golongan petani yang menjadi 'dian membakar diri demi kepentingan rakyat' mendapat manfaat sewajarnya, termasuk pemberian elaun sara hidup khas, subsidi kos input pertanian dan kemudahan logistik untuk mereka menjual hasil pertanian masing-masing.

"Kerajaan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan melambakkan produk import makanan atas alasan menstabilkan harga kerana senario itu akan memberi mudarat besar kepada golongan petani dan tahap sekuriti makanan negara untuk jangka masa panjang," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca