SHAH ALAM - Cadangan penubuhan Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik atau ‘Better Malaysia Assembly’ merupakan satu inisiatif yang baik dalam merancakkan lagi proses pendemokrasian negara. Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Cadangan penubuhan Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik atau ‘Better Malaysia Assembly’ merupakan satu inisiatif yang baik dalam merancakkan lagi proses pendemokrasian negara.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, usaha tersebut dilihat akan dapat menyokong dan menambah baik proses perundingan demokrasi atau deliberative democracy yang ketika ini hanya melibatkan antara parti politik negara.

"Idea menubuhkan kumpulan sedemikian memang tiada masalah kerana ia sebahagian daripada proses pendemokrasian.

"Apa yang saya lihat, mereka mahu membuat satu perkumpulan pakar di dalam negara untuk membincangkan mengenai perkara yang perlu dirundingkan.

"Usaha ini baik kerana ia secara tidak langsung memberi ruang kepada kerajaan dan institusi lain seperti Parlimen untuk mendapatkan input dan idea terbaik bagi memandu perubahan positif di dalam negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada 25 November lalu, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak bersama 54 orang lagi tokoh masyarakat, bekas pemimpin dan tokoh korporat bergabung tenaga bagi membentuk Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik untuk berbincang, berbahas dan mengemukakan idea serta syor ke arah negara lebih baik pada masa hadapan.

Kumpulan tersebut difahamkan akan bekerjasama secara musyawarah selama dua tahun bagi mengeluarkan cadangan menambah baik beberapa isu di dalam negara antaranya mengenai sistem pilihan raya Malaysia, dana politik, hubungan antara Persekutuan dan negeri, peranan institusi-institusi utama negara, tindakan afirmatif dan masa depan sistem pendidikan.

Mujibu bagaimanapun berpendapat usaha tersebut perlu bertindak sebagai sebuah badan sokongan dan berfungsi di luar kerangka rasmi pentadbiran dan sistem politik negara sedia ada. Jelas beliau, semua pihak perlu memberi ruang kepada institusi politik dan pentadbiran negara yang ketika ini masih berada dalam fasa peralihan sejak perubahan kerajaan yang buat pertama kalinya berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Pada pandangan saya, kewujudan kumpulan ini jika hendak dijayakan, tidak boleh melebihi sehingga menidakkan fungsi institusi sedia ada.

"Kalau mahu menjadikan kumpulan ini serupa seperti majlis yang diwujudkan ketika Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada penghujung 1960-an itu, saya rasa tidak mencapai sehingga tahap itu kerana ketika itu memang perlu memandangkan kita dalam keadaan yang gawat ataupun darurat.

"Tapi pada masa sekarang mungkin tidak perlu. Kita sudah ada institusi yang bagus. Kemudian ada proses perubahan juga yang berlaku contohnya kerjasama antara pembangkang dan kerajaan melalui Memorandum Persefahaman (MoU),” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca