USAHA penandaarasan antarabangsa dalam menentukan tahap sekuriti bekalan makanan negara menunjukkan Malaysia telah mencapai prestasi agak baik dengan menduduki tempat ke-39 berbanding tempat ke-48 pada tahun sebelumnya menerusi Global Food Security Index (GFSI) 2021.
Berdasarkan laporan buletin Bank Negara Malaysia (BNM) bagi suku ketiga tahun 2021, kekuatan utama penarafan sekuriti makanan di Malaysia disebabkan skor dan penarafan yang lebih baik dari aspek ‘kemampuan’.
Kedudukan itu sebahagiannya disebabkan oleh kewujudan program jaringan keselamatan makanan bersama-sama dengan kawalan harga dan subsidi barangan keperluan.
Walau bagaimanapun, kedudukan Malaysia secara keseluruhan masih ketinggalan di belakang beberapa negara maju dan negara kekurangan sumber.
Sebagai contoh, laporan BNM itu turut mendedahkan dalam kalangan ekonomi serantau, Singapura berada pada kedudukan pertama di dunia dari aspek ketersediaan berdasarkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan pertanian mereka.
Meskipun negara itu terkenal dengan perdagangan di peringkat pelabuhan, komitmen Singapura sangat tinggi terhadap dasar sekuriti makanan, akses kepada makanan dan rintangan politik serta sosial yang rendah terhadap akses mendapatkan makanan.
"Bagi Malaysia pula, walaupun terdapat peningkatan yang ketara pada tahun 2021, prestasi Malaysia daripada aspek ‘ketersediaan’ kelihatan rapuh, dengan skor yang telah menurun di bawah purata global pada tempoh lima tahun yang lalu.
"Terdapat juga kemerosotan yang nyata dari segi aspek ‘kualiti dan keselamatan serta aspek sumber asli dan daya tahan’.
"Penelitian yang lebih mendalam terhadap penunjuk yang membentuk GFSI mendedahkan bahawa dari aspek ‘ketersediaan’, masih wujud ruang untuk menambah baik penyelidikan dan pembangunan pertanian, komitmen dasar sekuriti makanan serta akses kepada makanan, infrastruktur pertanian, pengeluaran pertanian yang tidak menentu dan bekalan yang mencukupi,” dedah laporan buletin BNM bagi suku ketiga tahun 2021.
Kebergantungan importBagi aspek ‘kualiti dan keselamatan’ pula, BNM mendedahkan kelemahan negara dari aspek ‘sumber asli dan daya tahan’ sekuriti makanan negara amat membimbangkan kerana Malaysia menunjukkan prestasi yang kurang baik disebabkan pergantungan tinggi terhadap import makanan dan sumber asli untuk output ekonomi.
Selain itu, BNM juga mendedahkan kadar sara diri untuk makanan ruji rakyat Malaysia iaitu beras dan sinonim dengan sekuriti makanan negara hanya berada pada kedudukan 69 peratus dan dianggap masih tidak mencukupi untuk memenuhi penggunaan dalam negara.
Hakikat itu amat membimbangkan meskipun kerajaan menyediakan 88 peratus daripada subsidi pertanian dan 45 peratus daripada jumlah belanjawan pertanian diperuntukkan kepada sektor pengeluaran beras.
"Walaupun peningkatan pengeluaran beras tempatan adalah penting, namun ia mungkin tidak benar-benar menangani kebimbangan terhadap sekuriti makanan di Malaysia, memandangkan peralihan corak penggunaan makanan yang didorong pertumbuhan penduduk, tahap pendapatan yang lebih tinggi, tahap pembandaran dan perubahan gaya hidup.
"Melangkaui pengeluaran beras, tahap sara diri untuk barangan makanan lain juga telah merosot,” katanya.
Selain itu, BNM mengemukakan perbandingan kadar sara diri untuk keseluruhan 31 barangan makanan terpilih untuk tahun 2020 dengan 2011.
Berbanding dengan tahun 2011, kadar sara diri bagi 19 daripada 31 barangan makanan terpilih menurun pada 2020 dengan sebanyak 13 daripada 14 barangan makanan yang berada di bawah paras sara diri yang mencukupi pada 2011, terus di paras yang sama selepas satu dekad.
"Daripada perspektif import, bahagian kandungan yang diimport dalam jumlah bekalan makanan mencakupi 24 peratus dengan penduduk semakin bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan ruminan dan buah-buahan serta sayur-sayuran,” lapor BNM.
Berikutan itu, BNM menganggap tahap kelangsungan sekuriti bekalan makanan negara ketika ini ibarat telur di hujung tanduk dengan kerajaan perlu berdepan dengan beberapa cabaran utama dalam memastikan sistem jaminan makanan di Malaysia terus berkesan.
"Menjelang tahun 2050, penduduk dunia diunjurkan mencecah 9.8 bilion orang dengan permintaan global untuk makanan sekurang-kurangnya 60 peratus lebih tinggi daripada masa kini.
"Dalam keadaan itu, terdapat keperluan penting untuk memastikan sekuriti makanan masa hadapan Malaysia terpelihara dengan menangani cabaran utama risiko bekalan, baik dalam mahupun luar negara,” kata BNM.
Klik di sini untuk terus membaca