SHAH ALAM - Isu ketidakcukupan bekalan makanan di peringkat isi rumah kini merupakan kebimbangan utama negara lebih-lebih lagi setelah ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan dan terjejas pendapatan susulan krisis pandemik Covid-19.
Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara, Profesor Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata, walaupun pada umumnya ketika ini tiada isu signifikan berkaitan sekuriti makanan di peringkat nasional di mana negara berada di tangga ke-39 daripada 113 buah negara oleh Indeks Sekuriti Makanan Global 2021, namun isu ketidakcukupan makanan semakin banyak berlaku.
Beliau menegaskan, dalam sebuah kajian oleh Rusidah et. al. (2015) menunjukkan bahawa 13.4 peratus orang dewasa telah mengurangkan saiz makanan dan melewatkan makanan utama kerana masalah kewangan.
"Sekiranya angka itu dipecahkan mengikut demografi rakyat Malaysia di Malaysia Timur, angkanya adalah 20.3 peratus manakala di Semenanjung Malaysia adalah 11.5 peratus.
"Angka itu dijangka meningkat pada pasca pandemik di mana ramai kehilangan pekerjaan dan penurunan pendapatan sekali gus menyebabkan golongan paling rentan adalah miskin bandar, penduduk kawasan terpencil, pendatang dan pekerja tidak formal.
"Justeru, pada masa ini, adalah mustahak untuk meningkatkan daya tahan sistem rantaian bekalan makanan negara," katanya kepada Sinar Harian.
Berikutan itu, Mad Nasir yang juga Timbalan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan usaha meningkatkan daya tahan sistem rantaian bekalan makanan negara hanya dapat dilakukan dengan memperkukuhkan pengurusan pasaran dan mencegah gangguan rantaian bekalan makanan.
Tambah beliau, kelancaran kegiatan berkaitan aktiviti pengeluaran hasil makanan, penyimpanan, pengedaran, pemprosesan, pembungkusan, peruncitan dan pemasaran makanan perlu dititikberatkan.
Beliau juga mencadangkan beberapa langkah untuk memperkasakan sistem rantaian bekalan makanan bagi mengelakkan insiden kekurangan makanan.
"Antaranya petani mesti mempunyai akses berterusan ke pasaran, memastikan bekalan input pertanian seperti benih, baja dan makanan ternakan tidak terputus dan mengurangkan kerugian lepas tuai melalui peningkatan kapasiti penyimpanan dan pemprosesan skala kecilan.
"Selain itu, kerajaan perlu memastikan penyimpanan stok makanan yang mencukupi dan bagi pengguna terkesan dengan pandemik, kerajaan perlu memastikan kesinambungan bantuan mata pencarian mereka terutamnya di kalangan miskin bandar B40 yang tiada perkerjaan tetap," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca